Semakan Tawaran & Permohonan Rayuan Tingkatan 6 2025

Bagi individu yang telah memohon kemasukan ke Tingkatan 6, semakan tawaran dan permohonan rayuan bagi mereka yang tidak berjaya dalam permohonan boleh dibuat mulai 19 Mei 2025.
Berikut adalah maklumat dan info mengenai perkara ini.

Pengenalan Tingkatan 6
Tingkatan 6 di Malaysia telah mula beroperasi di sekolah menengah kerajaan dan sekolah menengah bantuan kerajaan kira-kira lebih daripada 50 tahun dahulu.
Pada masa tersebut, bilangan kelas Tingkatan 6 yang di tawarkan ialah minimum 2 kelas dan maksimum 22 kelas dengan 2 bidang yang ditawarkan iaitu bidang Sains Sosial (Kemanusiaan dan Agama) dan Bidang Sains.
Namun mulai tahun 2008, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengambil langkah penambahbaikan dari segi pengurusan dan fungsi Tingkatan 6 serta kebajikan murid diberi tumpuan untuk mendaikan proses pengajaran dan pembelajaran Tingkatan 6 lebih menarik serta menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif.
Ini kemudiannya membawa kepada pelaksanaan sistem pentaksiran baharu Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang dimulakan pada tahun 2012 setelah diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM) pada 4 Januari 2012.
Program Pendidikan Tingkatan 6 Mulai 2025
Mulai tahun 2025, KPM juga akan melaksanakan Program Pendidikan Tingkatan Enam di Universiti Awam melalui kerjasama silang bersama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Program ini akan dilaksanakan secara rintis di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).
Terdapat 2 bidang pengajian ditawarkan iaitu Sains dan Sains Sosial.

Tempoh Pengajian & Bilangan Semester Tingkatan 6
Bagi murid yang meyambung pengajian di Tingkatan 6, tempoh pengajian yang akan dilalui adalah adalah selama 1 ½ tahun.
Dalam tempoh ini, murid-murid akan menempuh 3 semester iaitu:
- Semester 1 yang berlangsung selama 26 minggu merangkumi :
– Pengajaran dan Pembelajaran (PdP)
– Kerja Kursus (mata pelajaran berkenaan sahaja)
– Peperiksaan Semester 1 (S1)
- Semester 2 yang berlangsung selama 20 minggu merangkumi:
– Pengajaran dan Pembelajaran (PdP)
– Kerja Kursus (mata pelajaran berkenaan sahaja)
– Peperiksaan Semester 2 (S2)
- Semester 3 yang merangkumi 26 minggu akan melibatkan pembelajaran seperti:
– Pengajaran dan Pembelajaran (PdP)
– Kerja Kursus (mata pelajaran berkenaan sahaja)
– Peperiksaan Semester 3 (S3), peperiksaan Ulang 1 (U1) dan peperiksaan Ulang 2 (U2)
Subjek Pembelajaran Tingkatan 6
Bagi pelajar Tingkatan 6, sebanyak 22 mata pelajaran ditawarkan dalam sistem pentaksiran baharu STPM.
Walau bagaimanapun, hanya 4 atau 5 mata pelajaran sahaja yang perlu dipilih termasuk mata pelajaran Pengajian Am sebagai mata pelajaran wajib manakala mata pelajaran MUET wajib diambil oleh semua murid.
Mulai tahun 2019 mata pelajaran Tahfiz Al-Quran telah dimasukkan sebagai salah satu mata pelajaran STPM, menjadikan jumlah keseluruhan mata pelajaran yang ditawarkan adalah sebanyak 23 mata pelajaran.
- Pengajian Am
- Bahasa Melayu
- Bahasa Cina
- Bahasa Tamil
- Bahasa Arab
- Literature in English
- Kesusasteraan Melayu Komunikatif
- Syariah
- Usuluddin
- Sejarah
- Geografi
- Ekonomi
- Pengajian Perniagaan
- Perakaunan
- Mathematics (M)
- Mathematics (T)
- Information and Communications Technology (ICT)
- Physics
- Chemistry
- Biology
- Sains Sukan
- Seni Visual
- Tahfiz Al-Quran
Syarat Kemasukan Tingkatan 6
Syarat kemasukan bagi Tingkatan 6 adalah terdiri daripada syarat am dan syarat khas.
Syarat am yang ditetapkan adalah seperti berikut:
- Murid lulus SPM dengan mendapat sekurang-kurangnya kepujian bagi mata pelajaran Bahasa Melayu.
- Murid berumur antara 17 hingga 20 tahun pada 1 Januari tahun semasa.
Syarat khas pula yang perlu dipenuhi murid adalah seperti berikut:
- Bidang STEM: Mendapat sekurang-kurangnya TIGA kepujian dengan jumlah mata gred tidak melebihi 18 unit bagi 3 mata pelajaran dalam kumpulan yang ditetapkan.
- Bidang Sains Sosial
-Sekolah Menengah Harian: Mendapat sekurang-kurangnya TIGA kepujian dengan jumlah mata gred tidak melebihi 12 unit bagi 3 mata pelajaran dalam kumpulan yang ditetapkan.
– Sekolah Menengah Agama Di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Menengah Agama Bantuan Kerajaan (SABK): Mendapat sekurang-kurangnya Gred D bagi mata pelajaran Bahasa Arab/Al-Lughah Al-Arabiah Al-Mu’asirah/Turath Bahasa Arab dan mendapat sekurang-kurangnya 3 kepujian dengan jumlah mata gred tidak melebihi 14 unit bagi 3 mata pelajaran dalam kumpulan yang ditetapkan.
– Sekolah Menengah Agama Di Sekolah Berasrama Penuh bagi Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) dan Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu: Mendapat sekurang-kurangnya Gred C dalam mata pelajaran Bahasa Arab/Al-Lughah Al-Arabiah Al-Mu’asirah/Turath Bahasa Arab dan mendapat sekurang-kurangnya 3 kepujian dengan jumlah mata gred tidak melebihi 14 unit bagi 3 mata pelajaran dalam kumpulan yang ditetapkan.
Bagi murid bekeperluan khas, syarat khas yang ditetapkan adalah seperti berikut:
- Bidang STEM: Mendapat sekurang-kurangnya TIGA kepujian dengan jumlah mata gred tidak melebihi 18 unit bagi 3 mata pelajaran dalam kumpulan yang ditetapkan.
- Bidang Sains Sosial
– Sekolah Menengah Harian- Mendapat sekurang-kurangnya TIGA kepujian dengan jumlah mata gred tidak melebihi 18 unit bagi 3 mata pelajaran dalam kumpulan yang ditetapkan.
– Sekolah Menengah Agama Di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Menengah Agama Bantuan Kerajaan (SABK): Mendapat sekurang-kurangnya Gred D bagi mata pelajaran Bahasa Arab/Al-Lughah Al-Arabiah Al-Mu’asirah/Turath Bahasa Arab dan mendapat sekurang-kurangnya 3 kepujian dengan jumlah mata gred tidak melebihi 18 unit bagi 3 mata pelajaran dalam kumpulan yang ditetapkan.
– Sekolah Menengah Agama Di Sekolah Berasrama Penuh bagi Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) dan Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu: Mendapat sekurang-kurangnya Gred C dalam mata pelajaran Bahasa Arab/Al-Lughah Al-Arabiah Al-Mu’asirah/Turath Bahasa Arab dan mendapat sekurang-kurangnya 3 kepujian dengan jumlah mata gred tidak melebihi 18 unit bagi 3 mata pelajaran dalam kumpulan yang ditetapkan.
Cara Semakan Tawaran Tingkatan 6
Semakan tawaran dan permohonan rayuan boleh dibuat menerusi pautan yang sama iaitu https://sst6.moe.gov.my.
Lepasan SPM Tahun 2024 yang berjaya dan menerima tawaran ke Tingkatan Enam serta memenuhi syarat yang ditetapkan boleh membuat permohonan untuk kemasukan ke Program Pendidikan Tingkatan 6 di Universiti Awam mulai 19 Mei hingga 25 Mei 2025.
Keputusan kemasukan ke program ini boleh disemak pada 3 Jun 2025 melalui pautan https://sst6.moe.gov.my/.
Tarikh Lapor Diri
Semua murid yang menerima tawaran ke Tingkatan 6 perlu melapor diri di Pusat Tingkatan Enam yang dinyatakan dalam surat tawaran pada 10 Jun 2025.
Permohonan Rayuan
Bagi mereka yang tidak menerima tawaran, rayuan boleh dibuat mulai 19 Mei hingga 25 Mei 2025.
Keputusan rayuan boleh disemak melalui kaedah yang sama pada 3 Jun 2025.
Maklumat Lanjut
Info lanjut mengenai kemasukan ke Tingkatan 6, sila layari laman web https://sst6.moe.gov.my.
Baca juga: SPAK: Permohonan Sijil Pendidikan Awal Kanak-Kanak KEMAS 2025
