SKIPMA MARA 2022: Skim Pinjaman Komputer Pelajar IPMa

Pelajar yang sedang melanjutkan pengajian di Institusi Pendidikan MARA (IPMa) kini boleh membuat mendapatkan pinjaman komputer menerusi Skim Pinjaman Komputer Pelajar IPMa (SKIPMA).

SKIPMA diwujudkan bagi membantu pelajar di IPMa memiliki komputer untuk kemudahan dalam melaksanakan aktiviti pembelajaran masing-masing seiring dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi serta kaedah baharu dalam pembelajaran.

Pelaksanaan skim pinjaman ini diharapkan mampu membantu pelajar mendapatkan komputer untuk tujuan pembelajaran terutamanya mereka daripada golongan berpendapatan rendah.

Pemohon yang berminat untuk memohon, permohonan dibuka pada 4 April 2022 hingga 18 April 2022 secara atas talian.

Senarai IPMa

Pelajar yang menyambung pengajian di IPMa berikut layak untuk membuat permohonan iaitu:

  1. Kolej MARA (KM)
  2. Institut Kemahiran MARA (IKM)
  3. Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM)
  4. MARA Japan Industrial Institute (MJII)
  5. Kolej Profesional MARA (KPM)
  6. Universiti Kuala Lumpur (UniKL)
  7. Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KUPTM)
  8. Kolej Poly-Tech MARA (KPTM)
  9. German Malaysian Institute (GMI)

Amaun Pinjaman

Amaun maksimum pinjaman komputer ini bagi pemohon yang layak adalah sebanyak RM3,000 sahaja.

Syarat Kelayakan

Syarat kelayakan bagi pemohon yang ingin memohon skim pinjaman ini adalah seperti berikut:

  1. Pelajar berstatus Bumiputera.
  2. Ibu atau bapa berstatus Bumiputera.
  3. Pelajar yang ditawarkan mengikuti pengajian di IPMA secara sepenuh masa bagi peringkat seperti berikut:
    – Persediaan/Pra-Universiti
    – Sijil
    – Diploma
    – Ijazah Sarjana Pertama (Sarjana Muda)
  4. Had umur bagi pelajar yang layak adalah tidak melebihi umut berikut:
    – Persediaan/Pra-Universiti: 20 tahun
    – Sijil/Diploma: 35 tahun
    – Ijazah Sarjana Muda: 45 tahun
  5. Pelajar baharu atau pelajar sedia ada (aktif) yang mempunyai baki pengajian tidak kurang 1 tahun daripada tarikh permohonan dibuat.
  6. Pelajar layak memohon 1 kali pinjaman komputer bagi setiap peringkat pengajian. Pelajar yang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi adalah layak untuk dipertimbangkan pinjaman komputer seterusnya tertakluk kepada pinjaman komputer terdahulu telah diselesaikan.
  7. Pelajar tidak mendapat kemudahan pinjaman atau kemudahan komputer dari badan penaja/pihak lain.

Penjamin Yang Diperlukan

Untuk makluman, skim pinjaman ini memerlukan seorang penjamin dan syarat-syarat penjamin adalah seperti berikut:

  1. Warganegara Malaysia.
  2. Berumur 21 tahun dan ke atas.
  3. Penjamin merupakan ibu/bapa/penjaga/ahli Keluarga.
  4. Pendapatan kasar sekurang-kurangnya RM500 sebulan.

Pembayaran Balik Pinjaman

Pelajar yang layak menerima skim pinjaman ini perlu membayar balik pinjaman sepenuhnya dan tidak layak memohon pengurangan pinjaman ini.

Bayaran boleh dibuat sekaligus atau secara ansuran bulanan dalam tempoh 18 bulan dan penyelesaian awal juga adalah dibenarkan.

Bayaran ansuran pinjaman bermula setelah tamat pengajian melalui potongan daripada akaun aktif yang telah dipersetujui oleh peminjam.

Pengiraan bayaran ansuran bulanan yang ditetapkan adalah seperti berikut:

Nilai Pinjaman (RM) ÷ Ansuran (RM) bulanan Tempoh Bayaran Balik (18 bulan) = Jumlah

Adalah diingatkan peminjam yang menarik diri atau diberhentikan pengajian dan menamatkan pengajian adalah bertanggungjawab untuk menjelaskan keseluruhan pinjaman
tersebut dalam tempoh 3 bulan selepas tarikh tamat pengajian.

Cara Memohon

Pemohon yang ingin membuat permohonan perlu mengikuti langkah-langkah berikut:

  1. Layari laman web permohonan iaitu https://aplikasi.mara.gov.my/skip/.
  2. Klik butang ‘Permohonan Online.’
  3. Isi maklumat yang diperlukan dan dan klik butang ‘Next’ pada setiap paparan.
  4. Lengkapkan semua maklumat dan hantar permohonan.

Maklumat Lanjut

Maklumat lanjut mengenai SKIPMA, sila layari http://aplikasi.mara.gov.my/skip.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: