Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR)

Kerajaan telah memperkenalkan satu skim untuk memberi perlindungan kepada suri rumah iaitu Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).

Untuk makluman, SKSSR yang diperkenalkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 bertujuan memberi perlindungan kepada suri rumah yang mengalami kemalangan, penyakit atau apa-apa insiden semasa melakukan urusan berkaitan rumah tangga sehingga menyebabkan hilang upaya kekal atau keilatan yang menjelaskan keupayaan suri rumah untuk menguruskan rumah tangganya.

Skim ini juga melindungi suri rumah yang ditimpa penyakit atau keuzuran, di mana penyakit atau keuzuran tersebut diperakukan keilatannya oleh penilai perubatan atau Jemaah Doktor Rayuan.

Takrifan Suri Rumah

Takrifan suri rumah untuk melayakkan skim ini adalah seorang perempuan sama ada berkahwin atau belum, yang menguruskan rumah tangga secara sepenuh masa atau tidak, termasuk isteri, ibu, janda, balu atau ibu tunggal.

Kadar Caruman Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR)

Kadar caruman yang ditetapkan adalah RM120 bagi tempoh 12 bulan berturut-turut yang perlu dibayar terlebih dahulu.

Caruman ini juga boleh dibuat oleh suami, suri rumah, keluarga atau mana-mana pihak ketiga bagi suri rumah tersebut.

Prinsip ‘once in, always in’ akan terpakai bagi suami yang memilih untuk membuat caruman bagi isterinya.

Faedah Perlindungan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR)

Skim ini memberi perlindungan bencana domestik kepada suri rumah yang mengalami kemalangan atau apa-apa insiden semasa melakukan urusan berkaitan rumah tangga meliputi:

  • Faedah Perubatan
  • Faedah Hilang Upaya Kekal
  • Elaun Layanan Sentiasa
  • Faedah Pengurusan Mayat
  • Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Dialisis
  • Pencen Penakat

Selain itu juga, skim ini melindungi suri rumah yang ditimpa penyakit atau keuzuran meliputi:

  • Elaun Keuzuran
  • Elaun Layanan Sentiasa
  • Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Dialisis
  • Faedah Pengurusan Mayat
  • Pencen Penakat

Syarat Kelayakan

Syarat kelayakan bagi skim ini adalah seperti berikut:

  1. Warganegara Malaysia/pemastautin tetap.
  2. Suri rumah yang belum mencapai umur 55 tahun/belum mencapai umur 54 tahun pada tarikh pertama kali hendak mencarum SKSSR.
  3. Membayar caruman untuk tempoh 12 bulan, yang dibayar terlebih dahulu.

Cara Mendaftar Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR)

Untuk mendaftar, sila layari langkah-langkah berikut:

  1. Muat turun borang permohonan di pautan https://www.perkeso.gov.my/images/skssr/dokumen/BORANG_SR_1_-_PENDAFTARAN_SURI_RUMAH.pdf
  2. Isi borang permohonan dengan lengkap dan betul.
  3. Hantar borang permohonan ke Pejabat PERKESO yang berhampiran.

Info Lanjut

Info lanjut mengenai SKSSR, sila layari laman web https://www.perkeso.gov.my/perkhidmatan-kami/perlindungan/suri-rumah.html

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: