SOP Aktiviti Kokurikulum Secara Bersemuka Dalam Sekolah KPM

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengumumkan kebenaran pelaksanaan aktiviti kokurikulum secara bersemuka dalam sekolah di bawah kementerian tersebut mulai 21 Mac 2022.

Kebenaran ini adalah tertakluk kepada tatacara pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum di dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.

Selain itu, KPM turut membenarkan penganjuran aktiviti/pertandingan/kejohanan sukan dan kokurikulum namun pelaksanaannya adalah terhad dalam kawasan sekolah dan hanya melibatkan murid/guru/jurulatih/pengajar sekolah berkenaan sahaja.

Namun, pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum dalam kawasan sekolah yang melibatkan agensi luar pula perlu mendapat kebenaran KPM.

Pelaksanaan Aktiviti Sukan & Kokurikulum

Pelaksanaan kegiatan kokurikulum merujuk kepada apa-apa kegiatan yang dirancang lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah yang memberikan murid peluang untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan kemahiran dan nilai-nilai yang dipelajari di bilik darjah.

Aktiviti yang dimaksudkan merangkumi aktiviti sukan dan permainan, kelab dan persatuan, pasukan badan beruniform serta aktiviti lain yang diluluskan oleh KPM.

Panduan pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum ini hendaklah dibaca bersama-sama dengan SOP Pembukaan Sektor Sukan dan Rekreasi yang dikeluarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dari semasa ke semasa.

Pengurusan Umum

Pengurusan umum bagi pelaksanaan pelaksanaan aktiviti kokurikulum secara bersemuka dalam sekolah adalah seperti berikut:

  1. Murid/ guru/jurulatih/pengajar yang bergejala tidak dibenarkan menyertai aktiviti sukan dan kokurikulum.
  2. Murid mempunyai imuniti badan yang rendah perlu mendapat kebenaran daripada ibu bapa/penjaga sebelum menyertai aktiviti.
  3. Aktiviti anjuran sekolah hanya boleh dilaksanakan di dalam kawasan sekolah dan melibatkan murid sekolah berkenaan sahaja dengan mematuhi prosedur yang telah ditetapkan.
  4. Aktiviti sukan dan kokurikulum secara bersemuka boleh dilaksanakan secara individu dan berkumpulan/berpasukan.
  5. Penganjuran aktiviti/pertandingan/kejohanan hanya dilaksanakan di dalam kawasan sekolah dan melibatkan murid/guru/jurulatih/pengajar sekolah berkenaan sahaja.
  6. Penggunaan fasiliti sekolah tertakluk kepada 50 peratus kapasiti dan kesesuaian ruang.
  7. Sekiranya penyertaan melebihi 50 peratus kapasiti, aktiviti boleh dilaksanakan secara penggiliran berdasarkan jadual yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Guru perlu menyediakan bahan tugasan bagi murid yang tidak hadir bersemuka.
  8. Pelaksanaan aktiviti di kawasan tertutup/dewan mestilah mempunyai sistem pengudaraan yang baik.
  9. Pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum bagi murid mestilah bawah seliaan guru/jurulatih/pengajar yang telah mendapat vaksin lengkap. Jurulatih/pengajar perlu menjalani ujian RTK-Antigen (kit ujian kendiri COVID-19) atas tanggungan sendiri sebelum melaksanakan aktiviti dalam kawasan sekolah.
  10. Kaedah penyampaian hadiah bagi semua kejohanan/pertandingan dilaksanakan tanpa melibatkan sentuhan fizikal.

Sebelum Aktiviti

Sebelum aktiviti, guru dan murid perlu memenuhi perkara-perkara berikut:

  1. Kehadiran guru/jurulatih/pengajar dan murid berdasarkan jadual serta penggiliran aktiviti sukan dan kokurikulum.
  2. Pelan susun atur disediakan dengan mengoptimumkan penggunaan padang, gelanggang dan ruang lain yang bersesuaian.
  3. Guru/jurulatih/pengajar dan murid mesti memakai pelitup muka sebelum melaksanakan aktiviti sukan dan kokurikulum.
  4. Peralatan berada dalam keadaan bersih dan perlu disanitasi serta selamat untuk digunakan.
  5. Murid digalak menggunakan peralatan sendiri seperti raket badminton, tali ikatan dan alat muzik.
  6. Bilik mandi/persalinan/tandas berada dalam keadaan bersih dan perlu disanitasi secara berkala sebelum dan selepas digunakan.
  7. Bilangan murid yang menggunakan bilik mandi/persalinan/tandas dihadkan mengikut kapasiti bilik.

Semasa Aktiviti

Semasa aktiviti berlangsung, para murid dan guru perlu mematuhi perkara berikut:

  1. Pelaksanaan aktiviti fizikal bagi tujuan kesihatan, kecergasan dan kemahiran kendiri perlu mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1 hingga 3 meter.
  2. Penyampaian maklumat atau arahan diberikan secara lisan tanpa melibatkan sentuhan fizikal (anggota badan).
  3. Guru/jurulatih/pengajar dan murid dibenar menanggalkan pelitup muka semasa melakukan aktiviti secara fizikal.
  4. Sekiranya penjarakan fizikal tidak dapat dilaksanakan atau sentuhan tidak dapat dielakkan, pemakaian pelitup muka dan mencuci tangan dengan air dan sabun atau pensanitasi tangan perlu diamalkan.
  5. Murid hendaklah membawa air minuman, makanan, pakaian, tuala muka dan peralatan peribadi sendiri serta tidak dibenarkan berkongsi dengan murid lain.

Selepas Aktiviti

Selepas aktiviti kokurikulum tamat, perkara-perkara berikut perlu dilaksanakan:

  1. Peralatan dibersihkan/disanitasi serta disimpan dengan baik selepas digunakan.
  2. Ruang/Tempat yang digunakan dibersihkan selepas aktiviti dijalankan.
  3. Murid tidak dibenarkan bersentuhan atau bersalaman selepas tamat aktiviti.
  4. Murid dan guru/ jurulatih perlu mencuci tangan dengan air dan sabun atau pensanitasi tangan selepas tamat aktiviti.
  5. Guru/Jurulatih/Pengajar dan murid mesti memakai semula pelitup muka selepas selesai melakukan aktiviti secara fizikal.
  6. Murid dan guru/jurulatih perlu meninggalkan kawasan aktiviti/sekolah dengan kadar segera selepas tamat aktiviti.

Pelaksanaan Aktiviti Sukan & Kokurikulum Dengan Penglibatan Agensi Luar

Pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum dengan penglibatan agensi luar perlu menepati perkara berikut:

  1. Pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum dengan pelibatan agensi luar adalah berdasarkan ketetapan KPM dari semasa ke semasa.
  2. Agensi luar perlu mengambil tindakan seperti berikut:
    – Mendapatkan kebenaran PPD/JPN/KPM untuk melaksanakan aktiviti.
    – Memastikan individu yang terlibat telah menerima vaksin lengkap sahaja dibenarkan melaksanakan aktiviti sukan dan kokurikulum bersama-sama murid
    – Memastikan individu yang terlibat menjalani ujian RTKAntigen (kit ujian kendiri COVID-19) sebelum melaksanakan aktiviti.
    – Menjalankan ujian RTK-Antigen (kit ujian kendiri COVID-19) kepada murid yang belum divaksin sebelum melaksanakan aktiviti.
    – Mendapatkan kebenaran ibu bapa/penjaga murid yang terlibat dengan aktiviti.
    – Memastikan murid/individu terlibat yang bergejala tidak dibenarkan menyertai aktiviti sukan dan kokurikulum.
    – Mematuhi semua SOP yang ditetapkan oleh KPM/MKN/KBS.
    – Memastikan penggunaan fasiliti tertakluk kepada 50 peratus kapasiti dan kesesuaian ruang.
    – Sekiranya penyertaan melebihi 50 peratus kapasiti, aktiviti boleh dilaksanakan secara penggiliran berdasarkan jadual yang ditetapkan oleh pihak agensi/sekolah.
    – Memastikan pelaksanaan aktiviti di kawasan tertutup/dewan mestilah mempunyai sistem pengudaraan yang baik.
    – Memastikan pelaksanaan aktiviti fizikal bagi tujuan kesihatan, kecergasan dan kemahiran kendiri perlu mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1 hingga 3 meter.
    – Memastikan murid dan guru/jurulatih/pengajar mencuci tangan dengan air dan sabun atau pensanitasi tangan selepas tamat aktiviti.
    -Memastikan peralatan yang digunakan secara berkongsi dibersihkan, disanitasi dan disimpan dengan baik.
    – Memastikan murid dan guru/jurulatih/pengajar bukan guru meninggalkan kawasan aktiviti dengan segera selepas tamat aktiviti.
  3. KPM/JPN/PPD berhak membatalkan pelaksanaan aktiviti jika berlaku ketidakakuran.

Maklumat Lanjut

Untuk maklumat lanjut mengenai SOP aktiviti kokurikulum secara bersemuka dalam sekolah di bawah KPM, sila layari laman web https://www.moe.gov.my/.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: