Strok Haba: Gejala & Langkah Pencegahan

Ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga susulan berlakunya penyakit Strok Haba di dalam negara.

Srok Haba berlaku apabila suhu badan meningkat dengan cepat (41 darjah celcius atau lebih) akibat terdedah kepada cuaca panas yang berterusan semasa menjalankan aktiviti fizikal.

Cuaca panas yang berlaku akan memberi tekanan fizikal kepada tubuh badan manusia.

Kesan terhadap kesihatan boleh terjadi daripada tahap sederhana (mild) kepada yang boleh menyebabkan maut contohnya akibat strok haba.

Golongan Berisiko

Golongan yang berisiko untuk terkena penyakit ini adalah:

  • Mereka yang terbabit dengan kegiatan aktiviti fizikal di luar seperti buruh, peladang, ahli sukan, tentera, polis dan lain-lain.
  • Orang dewasa (berumur 40 tahun ke atas mempunyai risiko 10 kali ganda berbanding dengan mereka yang lebih muda).
  • Kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah • Penghidap penyakit sistem pemafasan.
  • Penghidap penyakit darah tinggi, jantung, kencing manis dan penyakit kelenjar tiroid.

Gejala Yang Boleh Berlaku

Gejala yang boleh berlaku akibat penyakit ini adalah seperti:

  • Peningkatan suhu badan secara mendadak (41°C)
  • Denyutan jantung menjadi cepat
  • Pernafasan cepat dan pendek
  • Tekanan darah menurun
  • Badan kering dan panas
  • Tidak selesa, keliru dan mungkin menjadi tidak sedar
  • Rasa kepala berpusing
  • Pening
  • Rasa mual
  • Sawan atau pengsan
strok haba

Langkah Pencegahan Strok Haba

Langkah pencegahan untuk mengelakkan daripada terkena penyakit ini adalah seperti berikut:

  • Minum air kosong dengan banyak tanpa mengira tahap aktiviti fizikal yang anda lakukan dan tunggu sehingga anda dahaga.
  • Minum minuman isotonik kerana ia boleh menggantikan garam dan mineral yang hilang semasa berpeluh.
  • Seboleh-bolehnya berada di dalam rumah/bangunan.
  • Hadkan aktiviti luar.
  • Kerap berehat.
  • Mandi atau gunakan kipas angin untuk menyejukkan tubuh badan anda.
  • Pakai pakaian yang ringan, berwarna-terang dan longgar.
  • Pakai topi atau payung yang besar.
  • Elakkan minum minuman yang mengandungi kafein, alkohol, atau kandungan gula yang tinggi.

Langkah Pencegahan Di Sekolah

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengeluarkan peringatan kepada semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan semua institusi pendidikan bawah KPM untuk melaksanakan langkah-langkah pencegahan seperti berikut:

  • Menangguhkan semua aktiviti luar bilik darjah jika cuaca terlalu panas.
  • Memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas.
  • Bagi kawasan yang bacaan IPU melebihi 100, semua aktiviti di luar bilik darjah yang melibatkan murid hendaklah dihentikan.
  • Memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi di institusi pendidikan bawah KPM dan menggalakkan murid membawa air minuman sendiri.
  • Menasihati dan menggalakkan murid mengambil air minuman dalam kuantiti yang sesuai bagi mengawal suhu badan.
  • Membekalkan air minuman kepada murid asrama sekiranya keadaan kritikal dan tiada sumber lain bagi mendapatkan air minuman.
  • Sentiasa berwaspada serta bekerjasama dengan klinik dan hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi ke atas murid akibat cuaca panas.

Maklumat Lanjut Berkenaan Strok Haba

Maklumat lanjut mengenai Strok Haba, sila layari laman web http://www.myhealth.gov.my/strok-haba-heat-stroke/.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: