SumberKU KPM: Repositori Bahan Sokongan PdP Digital

Para guru, murid dan ibu bapa yang ingin mendapatkan bahan sokongan bagi Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) secara digital, bahan sokongan tersebut boleh diperolehi melalui repositori SumberKU yang diwujudkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Untuk makluman, SumberKU ialah satu sistem penyimpanan digital yang mengurus, menyimpan serta menyediakan akses kepada sumber dan koleksi bahan PdP digital dari peringkat sekolah rendah hingga sekolah menengah.

SumberKU diwujudkan sebagai pusat sehenti untuk memudahkan guru, murid dan ibu bapa mengakses pelbagai bentuk bahan PdP digital yang boleh dijadikan sebagai aktiviti pembugaran, pengukuhan dan pengayaan murid ketika berada di rumah.

Keistimewaan SumberKU

Terdapat beberapa kesitimewaan yang dinikmati oleh guru, murid, dan ibu bapa yang menggunakan repositori SumberKU ini antaranya:

  • Akses kepada SumberKU adalah percuma kepada guru, murid dan ibu bapa tanpa dikenakan sebarang bayaran.
  • SumberKU boleh diakses melalui peranti digital seperti komputer, komputer riba, tablet atau telefon pintar.
  • Pengguna boleh memuat turun bahan dalam repositori ini.
  • Carian yang mudah dan tiada ID atau kata laluan yang diperlukan.

Bahan Sokongan PdP

SumberKU juga menyediakan pautan 4 bahan sokongan PdP digital lain yang boleh diakses oleh guru, murid, dan ibu bapa iaitu:

i) Kit Pemugaran Literasi dan Numerasi

Kit Pemugaran Literasi dan Numerasi adalah kit yang bertujuan memperkukuh kemahiran asas literasi dan numerasi dalam kalangan murid Tahap I yang belum menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi.

Modul yang terkandung dalam kit ini ialah:

  • Panduan Umum Pelaksanaan Pemugaran Literasi dan Numerasi
  • Modul Asas Literasi Bahasa Melayu 
  • Modul Asas Numerasi Versi Bahasa Melayu/Bahasa Inggeris/Bahasa Cina/Bahasa Tamil.

ii) SELF (Student Enrichment Learning Framework)

SELF adalah koleksi pembelajaran kendiri yang menyediakan cadangan aktiviti pengukuhan dan pengayaan untuk membolehkan semua murid membuat aktiviti dan latihan secara kendiri.

Ini bertujuan bagi memaksimumkan potensi diri serta menguasai kemahiran dan pengetahuan yang dipelajari.

Koleksi pembelajaran kendiri SELF ini melibatkan beberapa mata pelajaran iaitu:

  • Bahasa Melayu (Tahun 2 dan 3)
  • Bahasa Melayu SJK (Tahun 1 dan 2)
  • Bahasa Inggeris (Tahun 1 hingga 6)
  • Sejarah (Tahun 4 hingga 6)
  • Bahasa Cina SJKC (Tahun 1)
  • Bahasa Tamil SJKT (Tahun 1 dan 2)

iii) Strategi Mampatan, Pecutan dan Pengayaan (M2P)

Strategi Mampatan, Pecutan, dan Pengayaan (M2P) adalah satu pilihan strategi yang boleh dipertimbangkan dan digunakan oleh guru untuk memastikan murid dapat menguasai kandungan kurikulum yang dihasratkan dalam tempoh yang ditetapkan.

Melalui M2P, guru boleh memampatkan kandungan kurikulum sebagai PdP mengikut kesesuaian, kebolehan dan keperluan murid tersebut.

iv) u-Pustaka

u-Pustaka ialah portal perpustakaan secara atas talian yang membolehkan guru, murid, dan ibu bapa mendapatkan bahan-bahan bacaan secara atas talian.

Kewujudan portal u-Pustaka adalah sinergi kolaboratif yang diwujudkan antara Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dengan sokongan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).

Cara Membuat Carian

Untuk membuat carian repositori SumberKU, sila ikuti langkah-langkah berikut:

  1. Layari laman web SumberKU https://sumberku.moe-dl.edu.my/.
  2. Klik bahagian ‘Carian Bahan.’
  3. Klik butang ‘Proceed.’
  4. Pilih tahun/tingkatan, mata pelajaran, aktiviti, bentuk bahan, dan sasaran bahan.
  5. Klik mata pelajaran yang diingi tersebut.

Pertanyaan Lanjut

Untuk pertanyaan lanjut mengenai SumberKU, sila hubungi Helpdesk KPMPerkasaKU di talian 03-8884 2279 atau email ke [email protected].

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: