SVM: Sijil Vokasional Malaysia Lepasan Tingkatan 3

Salah satu kelayakan yang boleh menjadi pertimbangan pelajar untuk meneruskan pengajian dalam bidang TVET adalah Sijil Vokasional Malaysia (SVM).

Berikut dikongsikan lebih lanjut tentang program ini untuk makluman bersama.

Pengenalan SVM (Sijil Vokasional Malaysia)

SVM merupakan sijil yang ditawarkan kepada murid yang telah tamat pengajian di Tingkatan 3. 

Murid lepasan Tingkatan 3 daripada sekolah menengah harian yang berminat dan cenderung mengikuti aliran vokasional berpeluang menyambung pengajian di peringkat SVM sebelum melanjutkan pengajian di peringkat Diploma Vokasional Malaysia (DVM).

Menariknya, sijil ini diiktiraf oleh Lembaga Peperiksaan (LP) dan setara dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ini bermakna, lulusan SVM juga akan dianugerahkan dengan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap 3 sekiranya layak.

Tempoh Pengajian Sijil Vokasional Malaysia

Tempoh pengajian ini adalah selama 2 tahun dan dilaksana berdasarkan Sistem Semester yang merangkumi 4 semester.

Sistem penilaian pelajar pula adalah melalui Pentaksiran Berterusan (PB) yang diadakan sepanjang semester dan Penilaian Akhir (PA) pada setiap penghujung semester.

PB dan PA adalah di bawah pemantauan LP Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Kurikulum Pembelajaran

Kurikulum pembelajaran adalah menggunakan Kurikulum Standard Kolej Vokasional (KSKV) di mana ia mengutamakan pembelajaran secara praktikal (hands-on) berbanding teori.

Selain itu, pelajar juga perlu menduduki kertas Bahasa Melayu dan Sejarah pada setiap semester.

Syarat Penganugerahan

Syarat penganugerahan bagi melayakkan untuk mendapat Sijil Vokasional Malaysia ini adalah seperti berikut:

  1. Lulus Bahasa Melayu SVM 1104.
  2. PNGK Akademik melebihi atau sama dengan 2.00.
  3. PNGK Vokasional melebihi atau sama dengan 2.67.
  4. Kompeten semua kursus vokasional.

Untuk kemasukan ke IPTA/IPTS, pelajar perlu lulus Sejarah 1251 SVM sebagai syarat am kemasukan ke institusi terbabit.

Maklumat Lanjut

Maklumat lanjut mengenai sijil ini, sila layari laman web https://kvmelakatengah.moe.edu.my/index.php/program/svm.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: