Permohonan Tabung Simpanan Pendidikan Anak Perak RM200

Kerajaan Negeri Perak melalui Yayasan Perak telah memperuntukkan RM200 kepada bayi yang dilahirkan di Negeri Perak mulai tahun 2010 menerusi Tabung Simpanan Pendidikan Anak Perak.

Tabung Simpanan Pendidikan Anak Perak merupakan tabung simpanan yang diperuntukan menerusi Skim Simpanan Pendidikan Tinggi Nasional Akaun Simpanan (SSPN PRIME) kepada bayi yang dilahirkan di negeri tersebut.

Kewujudan tabung ini adalah untuk:

  • Memberi kesedaran dan menggalakkan rakyat untuk membuat simpanan bagi kegunaan anak apabila melanjutkan pengajian di universiti.
  • Mendidik kita supaya tidak terlalu bergantung kepada skim pinjaman pengajian tinggi.
  • Mengurangkan tanggungan beban hutang pendidikan yang tinggi di kemudian hari.

Bgai ibu bapa yang ingin memohon, permohonan tabung ini dibuka sepanjang tahun.

Keistimewaan Tabung Simpanan Pendidikan Anak Perak

Tabung ini menawarkan beberapa keistimewaan iaitu:

  • Merupakan satu cara atau kaedah simpanan yang direka khas oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi tujuan pendidikan tinggi.
  • Menawarkan pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun.
  • Perlindungan takaful secara percuma ke atas pendeposit yang mempunyai simpanan RM1,000 dan ke atas.
  • Pemberian Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk sebuah keluarga yang layak (syarat keluarga berpendapatan bulanan tidak melebihi RM4,000 sebulan layak Geran Sepadan apabila anak diterima dan mendaftar masuk ke IPT).
  • Simpanan serendah RM20.00 sahaja pada bila-bila masa.
  • Kadar dividen yang menarik serta kompetitif dan dikecualikan daripada cukai pendapatan.
  • Kemudahan simpanan melalui potongan gaji.
  • Perlindungan takaful secara percuma berupa manfaat dan atau khairat kematian hanya layak untuk pendeposit yang berumur 18 hingga 65 tahun. Sementara penerima manfaat yang berumur 1 hari hingga 28 tahun layak mendapat khairat kematian jika berlaku kematian ke atasnya. Namun, ia tertakluk kepada syarat dan peraturan yang ditetapkan.

Syarat Permohonan Tabung Simpanan Pendidikan Anak Perak 2023

Syarat permohonan yang ditetapkan adalah seperti berikut:

  1. Penerima manfaat (anak) hendaklah warganegara Malaysia dan kelahiran Negeri Perak mulai 1 Januari 2010 selepas jam 12.00 tengah malam.
  2. Ibu atau bapa kelahiran Negeri Perak; atau
  3. Ibu atau bapa kelahiran Negeri Perak tetapi sedang beralamat di luar Negeri Perak dan telah bermastautin di Negeri Perak lebih daripada 10 tahun; atau
  4. Ibu atau bapa kelahiran luar Negeri Perak tetapi telah bermastautin di Negeri Perak lebih dari 10 tahun.
  5. Ibu atau bapa kelahiran Negeri Perak tetapi anak lahir di daerah bersempadanan dengan Negeri Perak (hospital bersalin terletak di Pulau Pinang, Kedah dan Selangor).
  6. Pendapatan (isirumah) di bawah RM7,500 sebulan.

Tatacara Permohonan

Permohonan boleh dibuat dengan mengisi borang permohonan juga boleh didapati secara percuma di Pejabat Yayasan Perak, Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan masing-masing atau memuat turun di pautan https://yayasanperak.gov.my/v6/wp-content/uploads/2023/05/BORANG-TASPEN-2023-11052023.pdf.

Borang permohonan beserta dokumen yang diperlukan perlu dihantar ke alamat berikut:

Yayasan Perak,
Tingkat 1, Wisma Yayasan Perak
No 111, Jalan Sultan Idris Shah
30000 Ipoh Perak

Dokumen Yang Diperlukan

Dokumen yang diperlukan adalah seperti berikut:

  1. Salinan sijil kelahiran atau MyKid, kad pengenalan bapa atau ibu yang lahir di Perak.
  2. Penyata pendapatan (isirumah) bapa & ibu/penjaga yang disahkan oleh Pegawai daripada Kumpulan Pengurusan dan Profesional Gred 41/Gred 3, Kumpulan A ke atas dan sekiranya pesara sila kepilkan salinan penyata pencen bulanan atau jika bekerja sendiri sila dapatkan pengesahan pendapatan daripada Penghulu/Ketua Kampung kawasan masing-masing.
  3. Borang permohonan pembukaan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) yang siap diisi yang boleh dimuat turun menerusi pautan http://yayasanperak.gov.my/v6/wp-content/uploads/2023/01/BORANGPEMBUKAANAKAUNSSPNPRIME2023.pdf

Maklumat Lanjut

Untuk maklumat lanjut mengenai Tabung Simpanan Pendidikan Anak Perak, sila layari https://yayasanperak.gov.my/v6/tabung-simpanan-pendidikan-anak-perak/.

Baca juga :

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: