Senarai Tindakan KPT Mengatasi Kenaikan Kos Sara Siswa

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Kos Sara Hidup Siswa Keluarga Malaysia untuk mengatasi masalah kenaikan kos sara hidup yang dihadapi oleh pelajar di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara.

Penubuhan jawatankuasa ini atas dasar keperihatinan KPT dalam menyokong dan memantapkan tadbir urus serta kecekapan penyaluran bantuan kebajikan kepada siswa di IPT.

Jawatankuasa ini dipengerusikan sendiri oleh Menteri Pengajian Tinggi di peringkat tertinggi KPT dan di peringkat pelaksana, jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Naib Canselor/Rektor/Pengarah.

Antara tindakan yang diambil oleh KPT dalam mengatasi kos sara hidup pelajar IPT adalah seperti berikut:

1. Pengecualian Bayaran Sewaan Kepada Pengusaha Kafeteria & Penyedia Makanan

Pengusaha kafeteria dan penyedia perkhidmatan makanan diberikan pengecualian bayaran sewa selama 6 bulan di kampus IPT Awam.

Pengecualian ini diberikan agar tanggungan kos boleh diserap bagi penurunan harga makanan yang dijual kepada pelajar.

2. Pengenalan Food Basket Siswa

Menu Keluarga Malaysia yang bernilai RM3.50 di bawah inisiatif Food Basket Siswa diperkenalkan mengambil kira kepelbagaian komposisi kaum di IPT.

Untuk memantau kenaikan harga/kos barangan dan perkhidmatan yang melibatkan sara hidup siswa di IPT, Pasukan Pemantau KPT-Kos Sara  Hidup Siswa (KPTPantau) akan membuat pemantauan secara berterusan.

3. Pemerkasaan Food Basket Siswa

Penubuhan Hab Food Bank Siswa bagi memperkasakan inisiatif ini sebagai pusat pengumpulan dan pengagihan barang keperluan siswa.

6 hab akan ditubuhkan mengikut zon,iaitu Zon Utara, Zon Tengah, Zon Timur, Zon Selatan,Zon Sabah dan Zon Sarawak.

Sebagai projek rintis, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersetuju untuk beroperasi sebagai hab bagi Zon Tengah.

4. Penyelarasan Kadar Upah JoC

Kadar upah bagi Program Job on Campus (JoC) akan diteliti semula agar selaras dengan Perintah Gaji Minimum 2022 oleh pihak Kerajaan.

Pihak IPT turut dinasihatkan untuk meningkatkan jumlah penempatan JoC agar lebih ramai pelajar, khususnya golongan berkeperluan dibantu dan memperoleh manfaat menerusi program tersebut.

5. Pembangunan Pelan Tindakan Sara Hidup Siswa

Pelan Tindakan Sara Hidup Siswa akan dibangunkan sebagai panduan kepada IPT dalam usaha memperkasakan kebajikan siswa.

Selain daripada aspek kos makanan, pelan ini turut mengambil kira konteks sara hidup siswa yang lebih luas termasuk aspek keperluan pengajaran dan pembelajaran (seperti pelan data dan peranti), penginapan, pengangkutan, dan yuran.

6. Rebat/Pengecualian Cukai

KPT akan mengadakan perbincangan bersama pihak Kementerian Kewangan bagi melihat kebolehlaksanaan pemberian rebat atau pengecualian cukai kepada para penyumbang yang menyalurkan tajaan dalam pelbagai bentuk.

Ini termasuklah bantuan tunai, barangan atau perkhidmatan berkaitan  keperluan siswa bagi menggalakkan kolaborasi bersama pihak korporat, industri dan juga orang perseorangan.

7. Pergerakan Pengangkutan Yang Lebih Kerap

Kekerapan pergerakan pengangkutan di dalam dan luar kampus oleh pihak IPT ditambah bagi memastikan pelajar tidak terbeban dalam mengeluarkan kos pengangkutan.

Untuk maklumat lanjut mengenai tindakan KPT mengatasi kos sara hidup, sila layari laman web KPT iaitu https://www.mohe.gov.my/.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: