Cara Memohon Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia

Bagi pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang ingin memohon Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia, permohonan telah dibuka.

Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia merupakan inisiatif di bawah Belanjawan 2022 diterajui oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) dengan kerjasama daripada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Tujuan inisiatif ini diwujudkan adalah untuk membantu proses pembelajaran mahasiswa Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang berada dalam kelompok keluarga B40 melalui pemberian sebuah peranti.

Pelaksanaan inisiatif ini akan memberikan manfaat kepada 400,000 pelajar daripada keluarga B40 dengan peruntukan sebanyak RM450 juta.

Oleh itu, pelajar IPT yang berminat boleh membuat permohonan inisiatif ini mulai 15 April 2022 secara atas talian.

Syarat Umum

Syarat umum bagi pelajar yang ingin memohon inisiatif ini adalah seperti berikut:

  1. Warganegara Malaysia.
  2. Pelajar datang daripada kategori keluarga B40 iaitu pendapatan isi rumah RM4,850 dan ke bawah.
  3. Pelajar sedang mengikuti pengajian di peringkat Diploma, Diploma Lanjutan atau Ijazah Sarjana Muda.
  4. Pelajar bukan pelajar tahun akhir pada tahun 2022.
  5. Pelajar mengikuti pengajian secara sepenuh masa.
  6. Pelajar tidak pernah menerima bantuan peranti daripada mana-mana program di bawah kerajaan.

Terma Inisiatif

Terma yang ditetapkan bagi pelajar yang ingin memohon inisiatif ini adalah seperti berikut:

  1. Inisiatif ini hanya melibatkan pemberian peranti tanpa pelan data Internet.
  2. Peranti akan diberikan secara Kaedah Guna Pakai (KGP) kepada pelajar dan perlu diserahkan semula mengikut kaedah yang ditetapkan setelah tamat pengajian atau dalam tempoh yang ditentukan oleh pentadbir program.
  3.  Peranti perlu dipulangkan apabila mahasiswa tersebut:
    – Menamatkan pengajian
    – Berhenti pengajian
    – Dibuang pengajian
    – Menyalahgunakan peranti yang dibekalkan sehingga mendatangkan kemudaratan atau menyalahi undang-undang negara; atau
    – Melanggar apa-apa syarat yang ditentukan oleh pentadbir program dari semasa ke semasa.
  4. Penerima peranti perlu melaporkan kerosakan, kehilangan atau kecurian tablet tersebut melalui kaedah pelaporan yang akan ditentukan kelak untuk tindakan lanjut oleh pentadbir program.
  5. Pentadbir Program atau mana-mana pihak yang diberi kuasa oleh pentadbir program berhak untuk mengarahkan penerima peranti untuk menyerahkan tablet tersebut untuk diperiksa pada bila-bila masa.
  6. Penerima peranti adalah bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan peranti yang diterima.
  7. Penerima peranti juga perlu memastikan peranti yang diterima tidak diconteng, ditulis atau dibuat sebarang jenis perlakuan yang boleh mengakibatkan kerosakan atau kecacatan kepada peranti tersebut.
  8. Penerima peranti perlulah mematuhi peraturan/polisi keselamatan siber IPT atau agensi-agensi kerajaan yang berkuatkuasa.
  9. Peranti hendaklah digunakan dengan sebaik-baiknya untuk pembelajaran kendiri dan tidak digunakan untuk mengakses laman sesawang yang menyalahi undang-undang negara.
  10. Penerima peranti yang melanggar apa-apa syarat atau menyebabkan sesuatu kehilangan atau kerosakan ke atas peranti disebabkan kecuaian boleh dikenakan penalti yang akan ditetapkan oleh Pentadbir Program.
  11. Penerima peranti adalah tertakluk kepada terma dan syarat-syarat lain yang ditetapkan oleh Kerajaan dari semasa ke semasa.

Cara Memohon

Untuk memohon inisiatif ini, sila ikuti langkah-langkah berikut iaitu:

  1. Layari laman web iaitu https://perantisiswa.kkmm.gov.my/.
  2. Klik butang ‘Daftar Pengguna.’
  3. Masukkan maklumat pengguna dan maklumat akaun diikuti dengan klik butang ‘Daftar.’
  4. Semak email untuk tujuan pengesahan pendaftaran akaun baharu dan klik ‘Aktifkan Akaun.’
  5. Log Masuk menggunakan alamat email dan kata laluan yang telah didaftarkan dan klik butang ‘Log Masuk.’
  6. Lengkapkan Borang Permohonan PerantiSiswa yang wajib diisi.
  7. Pilih perakuan pelajar dan klik terma dan syarat.
  8. Klik butang ‘Hantar Permohonan.’

Pertanyaan Lanjut

Sebarang pertanyaan lanjut berkenaan permohonan Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia, sila hantar email ke [email protected] atau menghubungi talian berikut 03‐8911 5351/03‐8911 5258/03‐8911 5265/03‐8911 5188.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: