Permohonan Biasiswa SPAN Pelajar Asasi & Matrikulasi 2022

Pelajar di peringkat Asasi dan Matrikulasi kini boleh memohon biasiswa yang ditawarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menerusi Biasiswa SPAN.

Untuk makluman, SPAN adalah sebuah badan kawal selia teknikal dan ekonomi yang berperanan untuk menyelia dan mengawal selia perkhidmatan bekalan air dan perkhidmatan pembetungan di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan.

Selain itu, SPAN juga turut bertanggungjawab memberikan biasiswa kepada pelajar di peringkat Asasi dan Matrikulasi.

Untuk pelajar yang berminat, permohonan biasiswa ini boleh dibuat sehingga 13 Februari 2022.

Mengenai Biasiswa SPAN

Biasiswa SPAN adalah biasiswa yang diberikan kepada pelajar-pelajar cemerlang Semester 2 Asasi/Matrikulasi untuk melanjutkan pelajaran dari peringkat Pengajian Asasi/Matrikulasi hingga ke Ijazah Pertama di universiti-universiti awam dalam negara.

Menariknya, biasiswa ini bukan hanya merangkumi yuran pengajian dan pelbagai elaun tetapi SPAN juga menyediakan program pembangunan yang diatur dan disusun bagi mengasah bakat kepemimpinan, kemahiran interpersonal dan pemikiran kritis pelajar sebagai persediaan sebelum melangkah ke alam pekerjaan sebenar.

Pelajar yang layak dan berjaya dalam permohonan akan mendapat peluang untuk berkhidmat di SPAN selepas tamat pengajian kelak.

Bentuk Penajaan

Bentuk penajaan yang bakal diterima pelajar yang layak adalah seperti berikut:

  • Yuran pengajian mengikut kadar yang ditetapkan oleh universiti.
  • Elaun-elaun seperti:
    – Sara hidup
    – Penginapan
    – Buku
    – Alat Perkakas
    – Tesis
    – Latihan Amali
  • Komputer riba diberikan sekali sepanjang pengajian.

Bidang Tajaan

Pelajar yang mengambil bidang berikut layak memohon biasiswa ini adalah seperti berikut:

  • Teknikal
  • Ekonomi/Perniagaan
  • Perakauan/Kewangan
  • Teknologi Maklumat/Data Sains

Syarat Permohonan

Para pemohon wajib memenuhi syarat-syarat permohonan seperti berikut:

  1. Pemohon merupakan warganegara Malaysia.
  2. Pemohon mempunyai kesihatan yang baik.
  3. Pemohon aktif dalam aktiviti kokurikulum.
  4. Tidak menerima bantuan kewangan/tajaan dari mana-mana agensi untuk peringkat atau pengajian sama.
  5. Pemohon perlu memenuhi syarat-syarat khusus berikut:
    – Umur belum mencapai 19 tahun (20 tahun bagi pelajar peralihan) pada 31 Disember 2021.
    – Pelajar hendaklah mendapat sekurang-kurangnya keputusan PNGK 3.50 bagi Semester 1 Matrikulasi/Asasi.

Cara Memohon

Untuk membuat permohonan biasiswa ini, sila ikuti langkah-langkah berikut:

  1. Layari laman web http://www.metropolitancorridor.com/sfa-span-bm.php.
  2. Klik butang ‘Mohon Sekarang.’
  3. Isi maklumat yang diperlukan dengan lengkap.
  4. Pastikan semua maklumat diisi dengan lengkap sebelum menghantar permohonan.
  5. Hantar permohonan dengan klik butang ‘Submit.’

Maklumat Lanjut

Maklumat lanjut mengenai Biasiswa SPAN, sila layari laman web di pautan http://www.metropolitancorridor.com/sfa-span-bm.php

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: