iOS 17: Ketahui 17 Ciri Menarik iPhone Anda

Apple telah memperkenalkan iOS terbaharu untuk pengguna iPhone seluruh dunia iaitu iOS 17.

iOS ini menwarkan pelbagai ciri serta fungsi baharu yang akan mula diterima pengguna bermula 19 September 2023.

Sekurang-kurangnya sebanyak 17 ciri menarik pada iOS ini yang ditawarkan kepada pengguna.

Ciri Menarik iOS 17

Ciri menarik iOS ini yang boleh dinikmati pengguna adalah seperti berikut:

1) Contact Poster

Contact Poster membolehkan pengguna memaparkan gambar, emoji atau grafik berbeza untuk insan tertentu di skrin kunci.

Ini bermakna skrin telefon ini turut boleh dihias dengan sistem yang sama seperti teks yang berbeza, teks yang menyorok di sebalik objek, pelbagai penuras warna untuk gambar dan sokongan bahasa Jepun/Cina yang menegak.

2) Name Drop

Menerusi NameDrop, Contact Poster peribadi boleh dikongsi kepada pengguna iPhone atau Apple Watch secara nirsentuh.

Pengguna hanya perlu merapatkan kedua-dua peranti ini dan tekan bukan berkongsi apabila ia muncul di skrin.

Pertukaran Contact Poster antara kedua-dua pemilik peranti dilalukan sepantas AirDrop.

3) AirDrop Tanpa Had Jarak

Kini, apabila pengguna berada di luar lingkungan AirDrop, fail-fail akan dihantar pula menggunakan sambungan internet pula asalkan kedua-dua peranti mempunyai akaun iCloud.

Ini berbeza sebelum ini apabila AirDrop memerlukan dua iPhone atau lebih berada dalam lingkungan 10 meter untuk menghantar gambar, video atau sebarang jenis dokumen.

4) Ciri StandBy

Ciri StandBy menjadikan kesemua iPhone menjadi skrin pintar apabila diletakkan pada kedudukan landskap.

Ia boleh memaparkan waktu, agenda harian, muzik yang dimainkan, kalender, pemain muzik dan widget untuk mengawal pelbagai peranti internet di rumah.

5) Mesej Dalam Bentuk Video Di FaceTime

Menerusi iOS ini, pemilik Apple boleh meninggalkan mesej dalam bentuk video yang dihantar dalam FaceTime.

6) Live Voicemail

Menerusi Live Voicemail, pengguna iPhone boleh memilih untuk membaca transkrip yang dihasilkan secara automatik.

Ini bermakna pengguna boleh membaca mesej yang ditinggalkan sekiranya tidak boleh mendengar audio atas sebab-sebab tertentu.

Walau bagaimanapun, pada ketika ini, ciri ini hanya diperlihatkan menyokong Bahasa Inggeris sahaja.

7) Transkrip Automatik Untuk Mesej Audio Menerusi iMessage

Semua mesej dalam bentuk audio akan hadir dengan transkrip yang dipaparkan dengan jelas dalam aplikasi iMessage.

8) FaceTime disokong pada Apple TV

Kini, kamera iPhone boleh digunakan sebagai kamera untuk melakukan panggilan video menerusi Apple TV.

9) Carian Terus Dari Dalam Video Menerusi Look Up

Pencarian objek dalam gambar kini boleh dilakukan menggunakan ciri Look Up.

Klik sahaja imej subjek dalam video yang telah dijeda dan menu Look Up akan muncul supaya anda boleh mencari apakah jenis kucing, model kereta atau nama insan dalam video secara terus.

10) LockDown Mode Secara Serentak

iOS ini membolehkan apabila Lockdown Mode diaktifkan, semua peranti lain yang dimiliki akan memasuki mod ini secara serentak.

11) Ciri Ketercapaian yang Lebih Banyak

Ciri ketercapaian akan lebih banyak seperti Live Caption yang menghasilkan kapsyen sari kata secara masa nyata dengan audio yang keluar daripada speaker.

Selain itu, VoiceOver yang merupakan ciri membaca teks pada skrin untuk OKU penglihatan dengan sokongan 20 lagi bahasa baharu seperti Melayu, Mandarin, dan Vietnam.

Door Detection pula akan mengenalpasti pintu bagi golongan OKU penglihatan dengan memberitahu pengguna kedudukan pintu, jarak, sama ada ia terbuka atau tutup dan bagaimana pintu boleh dibuka.

12) Aplikasi Siri Lebih Pintar

Siri akan menjadi lebih pintar dengan ia boleh diseru dengan hanya menyebut “Siri” sahaja.

Selepas arahan diberikan, pemilik boleh terus memberikan arahan seterusnya tanpa perlu menyebut “Hey Siri” lagi. 

13) Perkongsian Kata Laluan dan Apple Passkey

Menerusi iOS ini, akan ada ciri berkongsi kata laluan dan passkey dengan sekumpulan pengguna yang benar-benar dipercayai.

Ini bermakna apabila ingin log masuk, ianya sudah dikongsi menggunakan ciri ini tanpa mereka tahu kata laluan sebenar.

14) Profil Safari Berbeza

iOS ini akan memberikan ciri profil digunakan untuk melayari web bagi tujuan berbeza.

Setiap profil mempunyai sejarah laman yang dilawati, penanda buku, tab, dan pemalam berbeza agar dapat dibezakan dengan lebih mudah.

15) Live Stickers

Pelekat beranimasi Live Stickers boleh dihasilkan sendiri oleh pemilik iOS ini menggunakan Live Photo yang pernah diambil.

Selain animasi, pelekat rekaan sendiri ini juga boleh diubah menggunakan templat yang telah diberikan. 

16) Check In

Menerusi Check In, pengguna boleh menghantar mesej kepada ahli keluarga yang mengatakan mereka selamat tiba.

Jika mereka gagal tiba ke lokasi yang dituju, ahli keluarga atau rakan lebih rapat akan diberikan notifikasi lengkap dengan lokasi GPS terakhir.

17) Journal

Menerusi ciri Journal, sebuah jurnal boleh ditulis dengan digabungkan dengan aktiviti sukan, gambar-gambar, video dan muzik yang berkaitan dengan hari jurnal ditulis.

Sumber: https://amanz.my/2023397026/

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: