PKJM 2023: Permohonan Program Khas JPA-MARA

Pelajar Bumiputera lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022 untuk mendapatkan penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam bentuk Pinjaman Boleh Ubah (PBU) di bawah Program Khas JPA-MARA (PKJM) 2023.

PKJM 2023 merupakan penajaan untuk mengikuti pengajian peringkat persediaan dan Ijazah Pertama di luar negara iaitu di negara Jepun, New Zealand, United Kingdom, Amerika Syarikat, India, New Zealand dan Republik Korea dalam bidang Kejuruteraan, Sains & Teknologi (S&T), Sains Komputer, Sains, Ekonomi, Perakaunan, Sains Sosial dan Perubatan.

Program ini terdiri daripada tujuh sub program seperti berikut:

  • Program Akademik Jepun
  • Program Akademik United Kingdom
  • Program Akademik Amerika Syarikat
  • Program Khas India
  • Program Berkembar New Zealand
  • Program Sains dan Teknologi New Zealand
  • Program Sains dan Teknologi Republik Korea.

Struktur Pengajian Program Khas JPA-MARA (PKJM 2023)

Struktur pengajian bagi penajaan Program PKJM adalah seperti berikut:

i) Program Akademik Jepun

Program Akademik Jepun merupakan program penajaan ke Jepun dalam bidang Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (S&T) dan Sains Sosial.

Kerajaan Jepun menerusi Ministry of Education, Culture, Sports, Science and Technology (MEXT) menentukan kriteria pelajar tajaan Kerajaan Malaysia yang dibenarkan menyambung pengajian di universiti-universiti Jepun termasuklah pusat pengajian bagi program persediaan ke Jepun iaitu Ambang Asuhan Jepun (AAJ) dan Pusat Bahasa Teikyo (PBT).

Pelajar di bawah program ini akan mengikuti program persediaan khas di Ambang Asuhan Jepun (AAJ), Universiti Malaya bagi bidang Kejuruteraan dan S&T atau Pusat Bahasa Teikyo (PBT) bagi bidang Sains Sosial sebelum melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Pertama di universiti-universiti di Jepun.

Bermula tahun 2013, pelajar yang akan menyambung pengajian di Jepun hendaklah lulus program persediaan dan Japanese University Admission for International Students (EJU) selain daripada menunjukkan rekod kehadiran yang baik.

ii) Program Akademik United Kingdom

Program Akademik United Kingdom merupakan program penajaan ke United Kingdom (UK) dalam bidang Kejuruteraan dan Sains Sosial.

Pelajar akan ditindik bagi mengikuti program persediaan terpilih sebelum melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Pertama di 100 buah universiti terbaik di United Kingdom (UK) berdasarkan senarai Times Higher Education (THE) World University Rankings dan/ atau Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings dan /atau Academic Ranking of World Universities (ARWU).

Pelajar akan mengikuti program persediaan selama dua tahun di kolejkolej berikut mengikut bidang pengajian:

  • Malay College Kuala Kangsar (MCKK) atau Kolej Tunku Kurshiah (TKC) bagi bidang Kejuruteraan
  • International Islamic School Malaysia (IISM) bagi bidang Sains Sosial

iii) Program Akademik Amerika Syarikat

Program Akademik Amerika Syarikat merupakan program penajaan ke Amerika Syarikat (USA) dalam bidang Sains Komputer (terhad kepada Artificial Intelligence (AI), Robotic, Big Data, Internet of Things (IoT), Data Science) dan Ekonomi.

Pelajar akan mengikuti Program Persediaan di INTEC Education College selama 24 bulan sebelum melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Pertama di 100 buah universiti terbaik di Amerika Syarikat (USA) berdasarkan THE World University Rankings dan / atau QS World University Rankings dan /atau ARWU.

iv) Program Khas India

Penajaan bagi bidang Perubatan di India ini dijalankan sebagai satu kolaboratif strategik dengan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam menyokong program usaha sama yang dijalankan oleh Universiti Awam (UA) tersebut, serta merupakan laluan pengajian yang kos efektif dengan tempoh persediaan yang singkat.

Pelajar-pelajar akan mengikuti program persediaan Pra-U USM selama setahun di Kolej MARA Kulim (KMK) sebelum melanjutkan pengajian Ijazah Pertama di Universiti Sains Malaysia – Karnataka Lingayat Education University (USM-KLE), Belgaum, India.

Selain itu, program ini akan memberi keutamaan kepada pelajar-pelajar Bumiputera Sabah dan Sarawak sebagai usaha memenuhi sasaran nisbah doktor kepada penduduk Malaysia sebanyak 1:400 dan mengekang isu kekurangan doktor di Sabah dan Sarawak.

Pada masa ini, nisbah doktor kepada penduduk adalah 1:1400 di Sabah dan 1:1108 di Sarawak.

v) Program Berkembar New Zealand

Program Berkembar New Zealand merupakan program kolaboratif antara Kolej Yayasan Saad Business School (KYSBS) dan konsortium universiti di New Zealand yang melibatkan University of Auckland, Victoria University of Wellington dan University of Canterbury bagi pengajian dalam bidang Sains Sosial khususnya program Perakaunan, Ekonomi, Kewangan dan Sains Aktuari.

Tempoh pengajian adalah selama dua tahun di KYSBS, merangkumi setahun pengajian peringkat Persediaan dan setahun pengajian peringkat Ijazah Pertama serta dua tahun Ijazah Pertama yang seterusnya di New Zealand.

vi) Program Sains dan Teknologi New Zealand

Program Sains dan Teknologi New Zealand merupakan usaha penerokaan laluan pengajian baharu bagi bidang Sains dan Teknologi.

Penstrukturan semula laluan ini akan memberi sudut pandang serta perkongsian teknologi berbeza daripada negara di bawah tajaan sedia ada.

Pelajar akan mengikut program persediaan di INTEC College Education bagi tempoh 24 bulan di bawah American Degree Transfer Programme (ADTP) sebelum melanjutkan pengajian Ijazah Pertama di New Zealand.

Strategi ini juga merupakan satu usaha ke arah perbelanjaan berhemah Kerajaan dengan penjimatan kos kira-kira 50% daripada perbelanjaan penajaan melalui penajaan di negara yang lebih kos efektif.

vii) Program Sains dan Teknologi Republik Korea

Program Sains dan Teknologi Republik Korea merupakan penerokaan laluan baharu yang diperkenalkan di bawah PKJM tahun 2023.

Penawaran program ini adalah seiring dengan langkah Kerajaan dalam memperkasa cabang pelaksanaan Dasar Pandang ke Timur (DPT) melibatkan Republik Korea.

Laluan pengajian ini memfokuskan kepada bidang Kejuruteraan dan Sains & Teknologi dengan mengambil kira reputasi baik Republik Korea dalam bidang tersebut.

Selain itu, program ini adalah selaras dengan objektif penawaran PKJM dengan memberi peluang lebih besar kepada pelajar Bumiputera cemerlang melanjutkan pengajian di Republik Korea dalam bidang yang bersesuaian dengan keperluan negara dan kebolehpasaran pelajar.

Syarat Umum

Syarat umum untuk memohon program ini adalah seperti berikut:

  1. Pemohon dan salah seorang ibu atau bapa berketurunan Melayu/Bumiputera dan warganegara Malaysia.
  2. Mempunyai kesihatan yang baik.
  3. Ibu dan/atau bapa tidak disenarai hitam oleh JPA atau sedang dalam tindakan undang-undang oleh JPA.
  4. Tidak menerima bantuan kewangan/tajaan dari mana-mana agensi untuk pengajian atau peringkat yang sama.
  5. Menduduki peperiksaan SPM 2022 buat kali pertama di manamana sekolah menengah termasuk sekolah khas, sekolah swasta atau calon-calon persendirian.
  6. Umur belum mencapai 19 tahun (20 tahun bagi pelajar peralihan) pada 31 Disember tahun peperiksaan SPM diduduki.

Tatacara Permohonan

Permohonan dibuka secara dalam talian (online) di http://www.mara.gov.my mulai 12 Jun 2023 (Isnin), 12.00 tengah hari hingga 16 Jun 2023 (Jumaat), 11.59 malam.

Pemohon dibenarkan mendaftar, mengemas kini dan meminda maklumat permohonan sebelum tarikh tutup permohonan.

Pemohon juga diwajibkan mengambil dan melengkapkan ujian psikometrik yang akan dibuka mulai 12 Jun 2023 (12.00 tengah hari) hingga 16 Jun 2023 (11.59 malam) melalui Sistem ePermohonan.

Pemohon yang tidak menduduki ujian psikometrik adalah dikira gagal dan tidak layak ditawarkan penajaan.

Student Assessment Centre (SAC)

Program SAC dijadualkan berlangsung secara fizikal mulai 10 hingga 14 Julai 2023 mengikut zon pusat temu duga.

Pemohon yang melepasi syarat sahaja akan dipanggil untuk menghadiri SAC.

Tujuan SAC adalah bagi menyediakan profil interpersonal pelajar dan menyediakan maklumat kumulatif berkenaan kompetensi pelajar bagi memilih pelajar terbaik untuk ditaja JPA.

Keputusan Permohonan Program Khas JPA-MARA (PKJM 2023)

Keputusan permohonan penajaan PKJM ini dijangka akan diumumkan melalui laman sesawang http://www.mara.gov.my pada 4 Ogos
2023 (Jumaat).

Jika pemohon tidak menerima sebarang notifikasi dalam tempoh 90 hari selepas tarikh keputusan, permohonan adalah dianggap tidak berjaya.

Pertanyaan Lanjut

Pertanyaan lanjut mengenai Program Khas PKJM 2023, sila hubungi talian 03-8885 3297 atau menghantar email ke [email protected].

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: