Semak Senarai TASKA Berdaftar JKM Seluruh Negara

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyediakan laman web secara atas talian bagi membolehkan ibu bapa menghantar anak mereka ke TASKA berdaftar JKM di seluruh negara.

Untuk pengetahuan umum, penubuhan sesebuah TASKA adalah tertakluk kepada Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308).

Tujuan akta tersebut digubal adalah untuk mengadakan peruntukan bagi pendaftaran, pemeriksaan dan penguatkuasaan ke atas TASKA dan bagi perkara yang berkaitan dengannya demi menentukan kesejahteraan, keselamatan dan perkembangan menyeluruh kanak-kanak diutamakan.

Definisi TASKA & TASKA Berdaftar

Di bawah Seksyen 2, Akta 308, TASKA atau Taman Asuhan Kanak-Kanak diertikan sebagai mana-mana premis yang menerima masuk 4 orang atau lebih kanak-kanak di bawah umur 4 tahun dari lebih daripada satu isi rumah untuk dijaga dengan upah.

TASKA Berdaftar pula ialah suatu taman asuhan kanak-kanak yang didaftarkan di bawah seksyen 7.
 
Di bawah Seksyen 6 (1) tiada seorang pun boleh menjalankan atau mengambil bahagian dalam pengurusan suatu taman asuhan kanak-kanak yang tidak didaftarkan dibawah peruntukan–peruntukan Akta ini.
 
Selain itu, di bawah Seksyen 6 (2) Akta 308 juga memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan.

Tindakan TASKA Tidak Berdaftar

TASKA tidak berdaftar atau TASKA yang berdaftar tetapi tidak mematuhi Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984, Peraturan-Peraturan TASKA (Pengkompaunan Kesalahan) 2011, Peraturan-peraturan Taman Asuhan Kanak-kanak 2012 boleh dikenakan tindakan seperti berikut:

  • Kompaun maksimum RM5,000.00 bagi setiap kesalahan
  • Pembatalan Pendaftaran
  • Arahan TASKA ditutup sementara
  • Lak (seal)
  • Pendakwaan dan jika sabit kesalahan boleh:
    – Didenda tidak melebihi RM10,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya.
    – Bagi kesalahan kedua dan berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM 20,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.

Kategori TASKA

Di bawah Seksyen 5 Akta 308 memperuntukkan 4 kategori TASKA iaitu:

1) TASKA Institusi

  • Menerima 10 orang atau lebih kanak-kanak dalam jagaan
  • Ditubuhkan atas inisiatif pihak swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO)

2) TASKA Di Tempat Kerja

  • Menerima 10 orang kanak-kanak atau lebih dalam  jagaan
  • Ditubuhkan atas inisiatif majikan untuk kebajikan pekerja

3) TASKA Komuniti

  • Menerima  10 orang kanak-kanak atau lebih dalam jagaan
  • Menerima bantuan daripada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri 
  • Ditubuhkan atas inisiatif komuniti untuk manfaat kepada keluarga yang berpendapatan rendah di bandar dan luar bandar

5) TASKA Di Rumah

  • Menerima 4 hingga 9 orang kanak-kanak dalam jagaan
  • Dijalankan di kediaman sendiri

Syarat Penubuhan TASKA Berdaftar JKM

Untuk menubuhkan sesebuah taska berdaftar di bawah JKM, syarat penubuhan adalah seperti berikut:

  1. Berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Pendaftar Pertubuhan (ROS).
  2. Memenuhi standard minimum Jabatan Kebajikan Masyarakat.
  3. TASKA memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh agensi teknikal seperti berikut:
    – Pihak Berkuasa Tempatan
    – Jabatan Bomba dan Penyelamat
    – Jabatan Kesihatan
    – Jabatan Tanah dan Survei (Sarawak sahaja)

Semak Senarai TASKA Berdaftar

Semakan TASKA berdaftar di seluruh negara boleh dirujuk melalui pautan https://www.jkm.gov.my/jkm/index.php?r=portal/nursery&map_type=01&id=blB5RlVjdVRpSk9kTmVNYWFkWFJjdz09

Tetapkan negeri dan daerah yang ingin disemak diikuti dengan klik butang ‘Cari.’

Kemudiannya, senarai TASKA berdaftar mengikut negeri dan daerah dipaparkan menerusi paparan tersebut.

Info Lanjut

Info lanjut mengenai TASKA berdaftar JKM, sila layari laman web https://www.jkm.gov.my/jkm/index.php?r=portal/left&id=b0twWGNVR0N2VjdGV2N0S3JkbjlEZz09.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: