Permohonan Skim Zamalah Penyelidikan UKM (Semester 1 2023)

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah membuka tawaran permohonan Skim Zamalah Penyelidikan UKM untuk Semester 1 2023/2024 kepada pelajar Sarjana (mod penyelidikan) dan Doktor Falsafah yang mendaftar secara sepenuh masa.

Skim Zamalah Penyelidikan merupakan bantuan pembiayaan yuran pengajian bagi pelajar Sarjana dan Doktor Falsafah sehingga semester ke-3 pengajian.

Tawaran permohonan ini mula dibuka pada 11 Ogos 2023 sehingga 31 Ogos 2023 dan pelajar yang berminat boleh membuat permohonan dengan segera.

Syarat Umum Skim Zamalah Penyelidikan UKM

Syarat umum bagi skim zamalah ini adalah seperti berikut:

  1. Calon telah menerima surat tawaran kemasukan daripada UKM bagi pengajian Sarjana atau Doktor Falsafah melalui mod penyelidikan secara sepenuh masa.
  2. Permohonan baharu adalah terbuka kepada calon yang belum mendaftar atau berada dalam semester pertama, atau semester kedua pengajian.
  3. Permohonan hanya untuk pelajar yang mengikuti pengajian secara sepenuh masa sahaja.
  4. Pemohon mesti mempunyai cadangan penyelidikan yang diperaku oleh penyelia.
  5. Pelantikan adalah terbatal secara automatik sekiranya didapati pelajar menangguhkan atau ditamatkan pengajian. Walau bagaimanapun bagi pelajar yang menangguhkan pengajian, penangguhan untuk skim ini boleh diberikan tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan oleh Pusat Pengurusan Akademik.
  6. Pemohon tidak menerima sebarang bentuk biasiswa atau sokongan kewangan lain dan tidak terlibat dalam sebarang jenis pekerjaan sama ada bergaji atau tidak. Walau bagaimanapun, penajaan atau biasiswa yang tidak berkaitan dengan yuran pengajian adalah dibenarkan.

Syarat Permohonan Mengikut Pengajian

Syarat permohonan mengikut pengajian adalah seperti di bawah:

i) Pengajian Sarjana

  1. Terbuka kepada calon Warganegara sahaja.
  2. Memperoleh keputusan yang baik (PNGK ≥ 3.00) dalam pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda ATAU kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan Malaysia.
  3. Pelajar yang mempunyai rekod penerbitan artikel dalam jurnal dan/atau prosiding akan diberikan keutamaan untuk dipertimbangkan.

ii) Pengajian Doktor Falsafah

  1. Terbuka kepada calon Warganegara dan Bukan Warganegara.
  2. Lulus pengajian peringkat sarjana secara mod penyelidikan dengan rekod penerbitan:
    – Calon dari bidang Sains, Teknologi dan Kesihatan telah mempunyai sekurang-kurangnya 1 hasil penerbitan dalam jurnal yang terindeks WoS/SCOPUS/ERA dalam tempoh 5 tahun kebelakang.
    – Calon dari bidang Sains Sosial telah mempunyai sekurang-kurangnya 1 hasil penerbitan dalam jurnal yang terindeks WoS/SCOPUS/ERA dalam tempoh 5 tahun kebelakang.
  3. Memperoleh keputusan yang baik (PNGK ≥ 3.50) dalam pengajian Sarjana secara kerja kursus/mod campuran atau kelayakan yang setaraf dengannya yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia. Keutamaan akan diberikan kepada calon dengan rekod penerbitan:
    – Calon dari bidang Sains, Teknologi dan Kesihatan telah mempunyai sekurang-kurangnya 1 hasil penerbitan dalam mana-mana penerbitan yang terindeks oleh WoS/SCOPUS/ERA dalam tempoh 5 tahun kebelakang.
    – Calon dari bidang Sains Sosial telah mempunyai sekurangkurangnya satu (1) hasil penerbitan dalam mana-mana penerbitan yang terindeks oleh WoS/SCOPUS/ERA dalam tempoh 5 tahun kebelakang.

Kaedah Pembiayaan

Kaedah pembiayaan adalah seperti berikut:

  1. Pembiayaan skim zamalah ini adalah menggunakan dana Universiti Penyelidikan.
  2. Pembiayaan kepada pelajar Warganegara adalah mengikut kadar yuran pengajian bagi pelajar Warganegara yang dikeluarkan oleh Bendahari UKM.
  3. Pembiayaan kepada pelajar Bukan Warganegara adalah mengikut kadar yuran program pengajian bagi pelajar Warganegara yang dikeluarkan oleh Bendahari UKM. Ini bermakna, pelajar Bukan Warganegara perlu membayar sendiri baki yuran pendaftaran dan/atau yuran pengajian semester kepada Bendahari UKM.
  4. Bantuan kewangan ini diberikan kepada pelajar berdasarkan semester pengajian mengikut kalendar akademik UKM.
  5. Pelajar yang layak akan menerima pembiayaan Skim Zamalah Penyelidikan yang merangkumi yuran pendaftaran dan yuran pengajian semester pertama, dan/atau semester kedua, dan/atau semester ketiga sahaja. Semua pelajar perlu mempunyai akaun bank Malaysia (CIMB Bank Berhad) bagi tujuan pemulangan semula yuran pengajian.
  6. Penerima Skim Zamalah Penyelidikan perlu memajukan laporan prestasi penyelidikan sekurang- kurangnya 1 bulan sebelum semester baharu bermula mengikut format yang ditetapkan.
  7. Pertimbangan dan perakuan untuk pelanjutan bagi semester seterusnya akan dibuat berdasarkan prestasi penyelidikan pelajar dan tertakluk kepada kecukupan baki peruntukan kewangan CRIM.

Prosedur Permohonan

Prosedur permohonan skim zamalah ini adalah seperti berikut:

  1. Pemohon perlu melengkapkan borang permohonan dengan mengemukakan dokumen sokongan seperti dalam senarai semak permohonan di pautan https://www.ukm.my/akademik/skim-zamalah-penyelidikan-bantuan-yuran-pengajian-sahaja-semester-1-2023-2024/.
  2. Pemohon perlu mendapatkan perakuan Penyelia semasa atau Penyelia yang dicadangkan.
  3. Mengemukakan Cadangan Penyelidikan (maksimum 5 muka surat) perlu merangkumi perkara seperti berikut:
    – Tajuk Penyelidikan
    – Ringkasan Eksekutif
    – Latar Belakang Penyelidikan
    – Metodologi Kajian
    – Jangkaan Output
    – Lampiran Carta Perbatuan
  4. Borang permohonan yang diterima lewat daripada tarikh tutup permohonan iaitu 31 Ogos 2023 adalah ditolak.

Maklumat Lanjut

Maklumat lanjut mengenai Skim Zamalah Penyelidikan UKM, sila layari laman web https://www.ukm.my/akademik/skim-zamalah-penyelidikan-bantuan-yuran-pengajian-sahaja-semester-1-2023-2024/.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: