Bendera Malaysia: Sejarah, Maksud Lambang & Warna

Sebagai sebuah negara yang berdaulat, Malaysia sudah tentunya mempunyai bendera iaitu Bendera Malaysia.

Bendera merupakan adalah lambang kepimpinan, simbol penghormatan, martabat dan kedaulatan bagi sesebuah negara.

Oleh kerana itulah, setiap negara mempunyai bendera yang tersendiri untuk mewujudkan perasaan bangga terhadap tanah air.

Bendera didefinisikan sebagai sebidang kain yang diperagakan bagi menunjukkan tanda dan lambang kewujudan yang juga dikenali sebagai panji dan obor.

Sejarah Bendera Malaysia

Sejarah bendera negara bermula pada 29 November 1949 apabila Majlis Raja-Raja dengan kerjasama Majlis Perundangan Persekutuan telah mengadakan pertandingan peringkat kebangsaan untuk memilih reka bentuk bendera bagi kerajaan yang bakal dibentuk.

Dalam pertandingan mereka cipta bendera peringkat kebangsaan pada Mei 1948 tersebut, seramai 373 karyawan telah mengambil bahagian dan telah melalui proses pemilihan serta pertimbangan.

Pada 15 November 1949 hanya tiga reka bentuk yang berjaya dipilih ke peringkat akhir dan ciptaan Encik Mohamed bin Hamzah, yang merupakan arkitek Jabatan Kerja Raya Negeri Johor) telah dipilih sebagai pemenang.

Namun, reka bentuk bendera tersebut telah dibuat beberapa pindaan iaitu bulan sabit dan bintang yang pada asalnya berwarna putih digantikan dengan warna kuning bagi melambangkan warna Diraja dan telah diperkenankan oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950.

Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara dan reka bentuk bendera tersebut telah mendapat kelulusan King George VI pada 19 Mei 1950.

Sehubungan dengan itu, buat pertama kalinya Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dikibarkan di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh DYMM Raja-Raja Melayu dan pegawai-pegawai King George VI pada 26 Mei 1950.

Bendera Persekutuan Tanah Melayu kemudiannya telah dinaikkan dan berkibar secara rasmi pada 31 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor seiring dengan berkumandangnya lagu Negaraku yang buat kali pertama diperdengarkan kepada umum.

Untuk pengetahuan, Bendera Persekutuan Tanah Melayu sebelum ini berjumlah 11 jalur sahaja yang melintang berwarna merah dan putih dan telah bertambah jalurnya kepada 14 jalur sebaik sahaja kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura dalam Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

Setelah berkibar megah sejak tahun 1950, pada malam 31 Ogos 1997 sempena sambutan 40 tahun kemerdekaan negara, Tun Dr. Mahathir Mohammad yang merupakan Perdana Menteri Malaysia ketika itu telah mengukir sejarah dengan mengumumkan nama baharu bagi bendera Malaysia iaitu sebagai Jalur Gemilang. 

Maksud Lambang & Warna

14 jalur merah dan putih melintang yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah.

Jalur-jalur tersebut menandakan keanggotaan 13 buah negeri dan sebuah kerajaan Persekutuan iaitu Kedah, Pahang, Kelantan, Johor, Perak, Perlis, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Sarawak, Pulau Pinang, Sabah, Melaka dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

Warna merah pada jalur membawa makna gagah berani dan warna putih pula membawa makna suci murni.

Warna kuning yang digunakan pada bulan dan bintang adalah warna Diraja yang melambangkan Raja-Raja Melayu.

Gabungan tiga warna utama iaitu merah, putih dan biru melambangkan setia kawan Persekutuan Tanah Melayu dan United Kingdom dan penyatuan Tanah Melayu dengan Negara-negara Komanwel.

Kempen Kibar Jalur Gemilang 2023

Sempena Bulan Kemerdekaan setiap tahun, salah satu cara untuk menyambut bulan tersebut adalah menerusi kempen Kibar Jalur Gemilang.

Untuk tahun 2023, Kempen Kibat Jalur Gemilang telah dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusuf pada 16 Julai 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru.

Kempen ini akan berterusan sehingga Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan dan sambutan Hari Malaysia pada 16 September.

Sumber: https://www.malaysia.gov.my/portal/content/138?language=my

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: