FLYsiswa: Subsidi Tiket Penerbangan Siswa Mulai 3 Mei 2024

Inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan untuk pelajar institut pengajian tinggi awam bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan (FLYsiswa) disambung semula mulai 3 Mei 2024.

Berikut adalah maklumat mengenai inisiatif ini dan cara untuk memohon.

Mengenai FLYsiswa

Kerajaan Malaysia telah membuat keputusan untuk melaksanakan inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan untuk pelajar universiti awam, politeknik dan kolej komuniti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru (IPG) di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) iaitu FLYsiswa bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Inisiatif ini dilaksanakan susulan Kementerian Pengangkutan telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan Kementerian Pendidikan Tinggi, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan syarikat-syarikat penerbangan bagi memperincikan pelaksanaan inisiatif ini.

Pelaksanaan inisiatif bantuan bantuan tiket penerbangan pelajar yang terlibat bagi laluan
domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan ini dapat mengurangkan beban kewangan pelajar yang ingin pulang ke kampung halaman semasa cuti semester pengajian.

Pelaksanaan Bantuan Tiket Penerbangan Pelajar

Inisiatif ini akan dilaksanakan melalui kaedah pemberian credit shell di mana syarikat penerbangan akan mengeluarkan baucar digital bernilai RM300 kepada setiap pelajar yang layak.

Baucar tersebut akan ditebus untuk pembelian tiket penerbangan bagi laluan-laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Syarat Permohonan

Syarat permohonan untuk menerima bantuan tiket penerbangan ini adalah seperti berikut:

  1. Pelajar yang layak untuk menerima subsidi ini adalah semua pelajar warganegara Malaysia yang sedang mengikuti dan berdaftar di universiti awam sehingga 31 Disember 2023 dalam kategori berikut:
    – Berasal dari Sabah, Sarawak atau Wilayah Persekutuan Labuan (berdasarkan alamat tetap) yang sedang menuntut di Semenanjung.
    – Berasal dari Semenanjung (berdasarkan alamat tetap) yang sedang menuntut di Sabah, Sarawak atau Wilayah Persekutuan Labuan.
    – Berasal dari Sabah (berdasarkan alamat tetap) yang sedang menuntut di Sarawak atau Wilayah Persekutuan Labuan.
    – Berasal dari Sarawak (berdasarkan alamat tetap) yang sedang menuntut di Sabah atau Wilayah Persekutuan Labuan; atau
    – Berasal dari Wilayah Persekutuan Labuan (berdasarkan alamat tetap) yang sedang menuntut di Sabah atau Sarawak.
  2. Hanya sah untuk pembelian tiket penerbangan sehala atau dua hala bagi laluan penerbangan kelas ekonomi antara tempat asal (Semenanjung/Sabah/Sarawak/Labuan) dan tempat pelajar sedang menuntut (Semenanjung Malaysia/Sabah/Sarawak/ Labuan).
  3. Hanya boleh digunakan untuk pembelian tiket penerbangan Malaysia Airlines, AirAsia, Batik Air, dan Firefly.

Kaedah Penebusan Baucar

Tempoh permohonan baucar untuk pembelian tiket penerbangan adalah dari 2 Mei hingga 30 November ini, manakala baucar tersebut boleh ditebus untuk pembelian tiket penerbangan sehingga 31 Disember 2024.

Penebusan baucar boleh dibuat menerusi kaedah berikut:

  1. Membuat semakan kelayakan melalui laman sesawang Kementerian Pengangkutan yang akan dimaklumkan nanti. Sekiranya pelajar didapati tidak layak, pelajar boleh membuat semakan dan rayuan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi melalui universiti masing-masing.
  2. Membuat permohonan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan di laman sesawang syarikat penerbangan yang dipilih oleh pelajar.
  3. Setelah menerima permohonan tersebut, syarikat penerbangan akan mengeluarkan baucar digital bernilai RM300 kepada pelajar sebagai credit shell untuk membeli tiket penerbangan. Sekiranya harga tiket yang dibeli adalah kurang daripada RM300, baki baucer digital akan kekal dalam credit shell untuk digunakan bagi pembelian tiket seterusnya; dan
  4. Menggunakan baucar untuk membuat pembelian tiket penerbangan bagi laluan-laluan yang dibenarkan.

Contoh Senario Penebusan

Contoh senario penebusan boleh dirujuk melalui jadual di bawah:

Tatacara Semakan Kelayakan

Untuk semakan kelayakan, sila ikuti langkah-langkah berikut:

  1. Layari laman web https://subsidiudara.mot.gov.my/.
  2. Masukkan no MyKad dan nama universiti.
  3. Klik butang “Semak.”
  4. Status semakan sama ada:
    – Tidak layak: Pelajar boleh membuat semakan dan rayuan kepada KPT melalui universiti masing-masing.
    – Layak: Mohon baucar digital melalui laman web syarikat penerbangan yang dipilih.

Info Lanjut

Info lanjut mengenai FLYsiswa, sila layari laman web https://www.mot.gov.my/my

Baca juga:

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: