Tarikh Hari Arafah 2023 & Kelebihannya

Di dalam ibadat Haji, Hari Arafah adalah hari yang mana ianya jatuh pada 9 Zulhijjah bagi setiap kalendar Hijrah.

Di dalam hari tersebut, jemaah haji akan berwukuf di Padang Arafah bagi menunaikan salah satu rukun Haji.

Ini berdasarkan daripada hadis daripada Abdulrahman bin Ya’mur, bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: ‘Haji adalah Arafah’ (Riwayat al-Tirmizi (814)

Terdapat beberapa kelebihan hari tersebut seperti yang diungkapkan oleh Rasulullah S.A.W di dalam hadis.

Hari Raya Untuk Umat Islam

Menurut satu hadis, Nabi Muhammad S.A.W meletakkan hari tersebut adalah hari raya untuk umat Islam.

Ini adalah berdasarkan daripada Uqbah bin Amir RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Hari Arafah, hari Korban serta hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah) adalah hari raya kita orang Islam dan ia adalah hari makan dan minum” (Riwayat Abu Daud (20660), Tirmizi (704) dan al-Nasa’ie (2954).

Hari Penyempurnaan Agama

Rasulullah S.A.W juga menyatakan hari tersebut merupakan hari kepada penyempurnaan agama.

Ini berdasarkan hadis daripada Umar bin al-Khattab RA bahawa seorang lelaki telah bertanya kepadanya:

Maksudnya: ‘Wahai Amir al-Mukminin, satu ayat di dalam kitab kamu (al-Quran) yang kamu membacanya. Jika ia ke atas kami sekalian bangsa Yahudi maka kami akan mengambil hari tersebut sebagai perayaan. Umar bertanya: Apakah ayat itu?
Dia berkata: “Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu”. Umar berkata: Kami telah ketahui hari tersebut dan tempat turun ayat tersebut ke atas Nabi SAW ketika baginda SAW berdiri di Arafah pada hari Jumaat.’ Riwayat al-Bukhari  (43) dan Muslim (5334)

Hari Penyaksian

Hari trersebut juga dikatakan merupakan hari penyaksian berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Hari yang dijanjikan adalah hari Kiamat, hari Mayshud adalah hari Arafah serta  al-Syahid adalah hari Jumaat” (Riwayat al-Tirmizi (3262).

Hari Keampunan & Pelepasan Api Neraka

Hari tersebut juga merupakan hari keampunan dan pelepasan api neraka mengikut hadis daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: ‘Tidak ada satu hari yang lebih banyak dibebaskan hamba-Nya daripada api neraka melainkan pada hari Arafah’  (Riwayat Muslim (2402).

Dianjurkan Untuk Berdoa

Pada Hari Arafah juga, umat Islam dianjurkan untuk berdoa kerana hari tersebut merupakan hari yang mustajab untuk berdoa.

Daripada Abdullah bin ‘Amr, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah” (Riwayat al-Tirmizi (3509).

Dianjurkan Untuk Berpuasa

Umat Islam juga dianjurkan untuk berpuasa pada hari tersebut berdasarkan hadis daripada Abi Qatadah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda apabila ditanya tentang puasa pada hari Arafah:

“Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang”. Riwayat Muslim (1977)

Tarikh Hari Arafah 2023

Tarikh Hari Arafah bagi tahun 2023 adalah jatuh pada 27 Jun 2023 iaitu pada hari Selasa.

Ini bermakna, umat Islam yang melakukan ibadah Haji akan menjalani ibadah wukuf pada hari berkenaan iaitu kira-kira jam 12.30 tengah hari (waktu Arab Saudi) iaitu sekitar jam 5.30 petang (waktu Malaysia).

Sumber: https://sinarplus.sinarharian.com.my/fyi/6-kelebihan-hari-arafah-9-zulhijah-pintu-langit-dibuka-dosa-diampun-rebut-pahala-dengan-amalan-terbaik-ini/

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: