Permohonan Kemasukan Institut Kemahiran Baitulmal MAIWP 2024

Individu yang ingin meneruskan pengajian dalam bidang kemahiran peringkat sijil adalah dialu-alukan untuk memohon kemasukan ke Institut Kemahiran Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi tahun 2024.

Institut Kemahiran Baitulmal MAIWP adalah institusi pendidikan di bawah MAIWP yang menawarkan program-program kemahiran peringkat Sijil kepada para pelajar terutamanya anak-anak keluarga asnaf dan B40.

Untuk mereka yang berminat, permohonan kemasukan dibuka sehingga 22 Oktober 2023 secara atas talian.

Mengenai Institut Kemahiran Baitulmal MAIWP

Institut ini ditubuhkan pada tahun 1991 sebagai salah satu usaha MAIWP untuk membasmi kemiskinan di kalangan masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan dengan cara memberi  mereka peluang menjalani latihan kemahiran di sebuah Institut Kemahiran yang tersusun supaya mereka boleh berdikari setelah tamat mengikuti kursus ini nanti.

Idea awal penubuhan institut ini telah dicetuskan oleh Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor, Pengerusi MAIWP pada ketika itu.

Pada awal penubuhannya, institut ini dikenali sebagai Pusat Latihan Fakir Miskin dan kemudiaanya ditukar kepada Pusat Latihan Kemahiran Baitulmal (PLKB).

Melihat perkembangan kursus dan tahap persijilan yang ditawarkan, maka nama tersebut ditukar kepada nama hari ini pada tahun 1995 sempena 5 tahun penubuhannya.

Sehingga hari ini, institut ini menawarkan kursus kemahiran yang mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Keistimewaan Institut Kemahiran Baitulmal MAIWP

Pelajar yang melanjutkan pengajian di institut ini bakal menikmati keistimewaan berikut:

  • Yuran pengajian percuma.
  • Penginapan dan makan minum disediakan.
  • Bantuan elaun bulanan.
  • Pakaian korporat dan teknikal disediakan.

Bidang Yang Ditawarkan

Bidang yang ditawarkan adalah seperti berikut:

i) Diploma

  • Teknologi Reka Bentuk Fesyen

ii) Sijil

  • Rekaan Fesyen & Pembuatan Pakaian Lelaki
  • Rekaan Fesyen & Pembuatan Pakaian Wanita
  • Kejuruteraan Elektrik
  • Perkhidmatan & Penyajian Makanan
  • Teknologi Binaan Bangunan
  • Seni Reka Grafik Komputer

Syarat Permohonan

Syarat permohonan yang ditetapkan adalah seperti berikut:

  1. Warganegara dan sihat tubuh badan.
  2. Minimum tamat darjah enam dan menguasai 3M (kecuali program diploma dan sijil Kejuruteraan Elektrik).
  3. Memiliki SKM Tahap 3 dalam bidang berkaitan (bagi permohonan program diploma).
  4. Lulus SPM dengan 3 kepujian termasuk Matematik (bagi permohonan program Sijil Kejuruteraan Elektrik).

Tatacara Permohonan

Permohonan boleh dibuat menerusi tatacara permohonan berikut:

  1. Layari laman web https://apps.maiwp.gov.my/sppikb.
  2. Masukkan no kad pengenalan.
  3. Klik butang ‘Ok.’
  4. Isi maklumat yang ditetapkan dengan lengkap.
  5. Hantar permohonan setelah semua maklumat diisi.

Info Lanjut

Untuk info lanjut mengenai kemasukan ke Institut Kemahiran Baitulmal MAIWP, sila layari laman web https://www.ikb-maiwp.edu.my.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: