Maulidur Rasul 2023/1445H: Tarikh & Tema Sambutan

Sempena Bulan Rabiul Awal, umat Islam di seluruh dunia akan menyambut sambutan Maulidur Rasul 2023 bersamaan 1445 Hijrah.

Maulidur Rasul merupakan hari keputeraan Nabi Muhammad S.A.W iaitu nabi terakhir yang diutus oleh Allah S.W.T.

Ianya jatuh pada hari ke-12 bulan Rabiul Awal iaitu bulan ketiga dalam takwim Hijrah, atau dalam takwim Masihi, Isnin, 20 April 571 M.

Selepas kewafatan Nabi Muhammad S.A.W, umat Islam menyambut Maulidur Rasul sebagai tanda mengingati kelahiran baginda yang dikasihi.

Sejarah Sambutan Maulidur Rasul

Dinyatakan dalam kitab Al-Bidayah wa al-Nihayah 13/136 nukilan al-Allamah Ibn Kathir antara lain beliau memuji Raja al-Muzaffar yang telah menyambut majlis Maulid al-Rasul secara besar-besaran dengan berkata: “Adalah Raja Muzaffar menganjurkan Maulid Syarif pada Rabi’ul Awal dan membuat perhimpunan secara besar-besaran.”

Disamping itu, beliau adalah seorang yang berhati bersih, bersemangat, berani, mempunyai semangat keperwiraan, cerdik, alim, adil.

Selain itu, dinukilkan daripada beberapa kitab bagaimana para penyair di kalangan sahabat dan lainnya memuliakan Baginda SAW samada di hadapannya atau melalui syair-syair mereka.

Antaranya Al-Abbas bersyair: “Di kala dikau dilahirkan, bumi bersinar terang hingga jelas pasak bumi tidak mampu untuk menanggung cahayamu dan kami dapat terus melangkah lantaran kerana terangnya cahaya dan jalan yang terpimpin” (Lihat al-Mustadrak ala al-Sahihain).

Malah, sahabat nabi seperti Hasan bin Thabit banyak menggubah syair di hadapan Rasulullah SAW dan para Sahabat Baginda.

Tarikh Sambutan 2023

Untuk tahun 2023, sambutan hari tersebut akan jatuh pada 28 September 2023 iaitu pada hari Khamis.

Untuk makluman, Maulidur Rasul diisytiharkan sebagai cuti umum bagi seluruh negara.

Ini berdasarkan Jadual Hari Kelepasan Am Persekutuan 2023 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri.

Tema Sambutan 2023

Saban tahun, sambutan ini akan diadakan di peringkat persekutuan dan negeri menerusi pelbagai program yang dijalankan.

Pelbagai program dijalankan antaranya forum perdana, perarakan, dan penyampaian anugerah kepada tokoh-tokoh yang dipilih.

Tema sambutan pada tahun 2023/1445H adalah “Perpaduan Teras Malaysia Madani.”

Hukum Menyambut Maulidur Rasul

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum menyambut sambutan ini adalah termasuk dalam bid’ah hasanah tetapi hendaklah dengan meraikan beberapa syarat utama, antaranya:

  • Pengisian yang baik seperti tazkirah dan ceramah.
  • Tiada percampuran lelaki dan perempuan.
  • Menutup aurat.
  • Tiada unsur maksiat.
  • Mempelajari riwayat hidup Baginda SAW atau sirahnya dengan lebih baik dari tahun ke tahun.
  • Penekanan kepada keperluan mengikuti Sunnah Rasulullah SAW.
  • Disemarakkan dengan berselawat kepada Nabi SAW.
  • Meraikan kegembiraan dan kesyukuran kelahiran Baginda SAW dengan bersedekah kepada fakir miskin. 

Sumber: https://muftiwp.gov.my/en/perkhidmatan/artikel-soal-jawab/1048-bayan-linnas-siri-ke-80-hukum-menyambut-maulid-al-rasul

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: