PBUDN 2024: Pinjaman Boleh Ubah Dalam Negara Selangor

Pelajar daripada Negeri Selangor yang menyambung pengajian Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan memerlukan pembiayaan pelajar boleh memohon Pinjaman Boleh Ubah Dalam Negara (PBUDN) 2024.

Berikut merupakan maklumat mengenai pinjaman ini dan cara untuk memohon.

Mengenai PBUDN 2024

PBUDN merupakan pinjaman pelajaran yang diberikan kepada pelajar IPTA dan IPTS yang berasal daripada Selangor yang layak.

Pinjaman ini adalah dibawah Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor (TKWBNS) yang bertanggungjawab menguruskan biasiswa dan pinjaman pelajaran untuk anak Negeri Selangor.

Bgai pelajar yang berminat untuk mendapatkan pinjaman ini, permohonan boleh dibuat secara atas talian mulai mulai 15 Mac 2024 sehingga 31 Mac 2024.

Peringkat Pengajian

Peringkat pengajian yang layak untuk membuat permohonan adalah seperti berikut:

  • Sijil
  • Diploma
  • Ijazah Sarjana Muda
  • Ijazah Perubatan

Kadar Pembiayaan PBUDN 2024

Kadar pembiayaan yang ditawarkan adalah seperti berikut:

Peringkat PengajianIPTA/IPTS
(Kadar Setahun)
SijilRM4,000.00
DiplomaRM8,000.00
Ijazah Sarjana Muda
(Pelbagai dan Veterinar)
RM10,000.00
Perubatan dan PergigianRM 12,000.00

Pengurangan Pinjaman

Pembiayaan yang akan diberikan adalah dalam bentuk pinjaman pelajaran boleh ubah di mana pengurangan bayaran balik akan diberikan mengikut pencapaian CGPA/PNGK akhir pelajar.

Selain daripada CGPA/PNGK, pelajar juga perlu memenuhi syarat-syarat berikut:

  1. Tamat pengajian dalam tempoh seperti yang ditetapkan dalam surat tawaran.
  2. Tidak melanggar mana-mana syarat seperti yang dinyatakan dalam Dokumen Perjanjian.
  3. Mengemukakan salinan transkrip rasmi dan sijil senat yang telah disahkan oleh pihak Universiti kepada Urus Setia TKWBNS.

Syarat Am

Syarat am yang perlu dipenuhi oleh pelajar yang ingin memohon adalah seperti berikut:

  1. Pemohon dan ibu dan bapa merupakan warganegara Malaysia.
  2. Pemohon, ibu atau bapa lahir di Selangor; atau
  3. Pemohon telah dan sedang bermastautin lebih daripada 10 tahun di Selangor; (keutamaan diberikan kepada anak Selangor).
  4. Telah mendaftarkan diri bagi pengajian sepenuh masa di peringkat Diploma/Ijazah Sarjana Muda/Ijazah Perubatan.
  5. Sedang mengikuti pengajian di IPTA seluruh Malaysia atau IPTS dalam Negeri Selangor dan Kuala Lumpur yang diiktiraf oleh Kerajaan secara sepenuh masa.
  6. Pemohon bukan pelajar tahun akhir pengajian atau diberikan lanjutan tempoh pengajian.
  7. Pemohon belum menerima sebarang tajaan lain (biasiswa, pinjaman atau dermasiswa) termasuk bagi Ijazah Perubatan, Pergigian dan Veterinar).
  8. Pendapatan isi rumah (ibu dan bapa) hendaklah tidak melebihi RM 20,000.00 sebulan (gaji pokok). 

Syarat Akademik

Selain itu, pelajar juga perlu memenuhi syarat akademik yang ditetapkan:

i) Sijil

  1. Memperolehi sekurang-kurangnya 3 kepujian dalam mana-mana mata pelajaran SPM (bidang dan teknikal).
  2. Memperolehi sekurang-kurangnya 4 kepujian dalam mana-mana pelajaran di peringkat SPM (IPTA).

 ii)  Diploma

  1. Memperoleh sekurang-kurangnya 5 kepujian dalam mana-mana mata pelajaran di peringkat SPM; atau
  2. Memperoleh kelayakan Sijil dengan kelulusan PNGK/CGPA 2.50 ke atas.

 iii) Ijazah Sarjana Muda

  1. Memperoleh kelayakan Sijil Tahun Asas/Pra-Ijazah/Matrikulasi/Diploma dengan kelulusan PNGK/CGPA 2.50 ke atas; atau
  2. Memperoleh sekurang-kurangnya 4 Gred C dalam mana-mana mata pelajaran di peringkat STPM; atau
  3. Memperoleh sekurang-kurangnya 5 kelulusan (jayyid) dalam mana-mana mata pelajaran di peringkat STAM.

 iv) Ijazah Perubatan

  1. Sedang mengikuti Ijazah Perubatan dan Pembedahan/Pergigian di Universiti Awam yang disenaraikan.

Cara Memohon PBUDN 2024

Permohonan pinjaman ini boleh dibuat menerusi langkah-langkah berikut:

  1. Layari pautan permohonan iaitu https://edanapendidikan.selangor.gov.my/login.
  2. Klik butang ‘Daftar.’
  3. Isi maklumat yang diperlukan dan klik butang ‘Daftar Akaun.’
  4. Log masuk dengan memasukkan no kad pengenalan dan kata laluan.
  5. Isi maklumat permohonan dengan lengkap dan betul.
  6. Muat naik dokumen yang diperlukan.
  7. Hantar permohonan setelah semua maklumat diisi dan dilengkapkan.

Dokumen Yang Diperlukan

Dokumen yang diperlukan untuk dimuat naik adalah seperti berikut:

  1. Salinan sijil lahir pemohon, salinan my kad pemohon, bapa dan ibu, salinan sijil berhenti sekolah (rendah dan menengah), salinan keputusan SPM/STPM/STAM/ Matrikulasi/Asasi/Diploma (mana yang berkaitan).
  2. Salinan slip gaji terkini (ibu dan bapa/penjaga). Untuk pesara, sila kepilkan salinan penyata pencen bulanan atau jika bekerja sendiri/tidak bekerja/suri rumah sila dapatkan pengesahan pendapatan (disahkan oleh ketua kampung/ADUN/Penghulu/Pengerusi Taman/Penghulu Mukim/Ketua Blok sahaja).
  3. Bagi pemohon dan ibubapa yang tidak lahir di Negeri Selangor perlu mengemukakan pengesahan mastautin yang disahkan oleh Ketua Kampung/ADUN/Penghulu/Pengerusi Taman/Penghulu Mukim/Ketua Blok sahaja).
  4. Salinan Surat Kematian dan Surat Bercerai (jika berkaitan).

Permohonan yang tidak lengkap atau tidak disertakan dokumen yang diperlukan akan ditolak. Dokumen yang dicetak tidak perlu dihantar.

Pemohon hendaklah membuat semakan secara talian/online dalam tempoh dua minggu selepas tarikh tutup permohonan.

Maklumat Lanjut PBUDN 2024

Maklumat lanjut mengenai PBUDN 2024, sila layari laman web https://danapendidikan.selangor.gov.my/.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: