Tarikh Bayaran Insentif Awal Penjawat Awam 2024 RM2,000
Kerajaan telah mengumumkan tarikh bayaran Insentif Awal Penjawat Awam yang telah diumumkan sebelum ini menerusi Belanjawan 2024.
Berikut adalah maklumat mengenai insentif ini dan tarikh pembayaran.
Insentif Awal Penjawat Awam
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bersetuju memberi bayaran insentif awal penjawat awam di dalam negara sementara menunggu semakan semula skim gaji dan elaun tetap penjawat awam siap.
Untuk makluman, kerajaan sedang mengadakan Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi meneliti keperluan semua skim perkhidmatan dan dijangka akan dimuktamadkan pada penghujung tahun hadapan.
Kali terakhir, semakan kajian sistem saraan ini dilakukan adalah pada tahun 2012.
Kerajaan bersetuju memberi bayaran insentif awal penjawat awam sebanyak RM2,000 ringgit kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah.
Selain itu, bantuan sebanyak RM1,000 kepada semua Jawatan Utama Sektor Awam melibatkan semua termasuk polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata dan seluruh anggota beruniform.
Ini turut dipanjangkan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.
Syarat Penerima
Syarat penerima untuk bantuan khas ini adalah seperti berikut:
i) Penjawat Awam
- Pegawai Perkhidmatan Awam Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana Gred 56 dan ke bawah yang masih berkhidmat.
- Pegawai Perkhidmatan Awam Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana yang Iayak tersebut merupakan:
– Pegawai lantikan tetap, sementara dan Contract of Service (COS).
– Pegawai yang bercuti bergaji penuh.
– Pegawai yang bercuti separuh gaji.
– Pegawai yang bercuti tanpa gaji.
– Pegawai yang dipinjamkan termasuk ke agensi yang diasingkan pengurusan saraannya. Bantuan ini akan dibayar oleh agensi yang menerima peminjaman pegawai.
Selain itu, bantuan ini turut dibayar kepada:
- Pegawai lantikan MySTEP yang telah berkhidmat selama sekurang-kurangnya 6 bulan.
- Pemandu yang dilantik sendiri oleh pegawai Gred Jawatan Utama B dan ke atas, serta Gred Khas A dan ke atas yang layak pemandu tetapi tidak disediakan pemandu oleh jabatannya.
- Pemandu yang dilantik sendiri oleh Anggota Pentadbiran dan Hakim dan Pesuruhjaya Kehakiman.
ii) Pesara
- Pesara kerajaan yang sedang menerima pencen.
- Penerima pencen terbitan.
- Pesara perkhidmatan awam skim KWSP (bersara apabila mencapai opsyen umur persaraan)
- Bersara atas sebab kesihatan.
- Veteran berpencen dan tidak berpencen.
Namun, terdapat juga penjawat awam yang tidak layak menerima bantuan ini iaitu:
- Pegawai dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan setaraf termasuk pegawai yang memangku, dipinjam/ tukar sementara dan penempatan khas ke Gred Jawatan Utama/Gred Khas.
- Pegawai yang dikenakan hukuman tatatertib buang kerja atau turun pangkat (bergantung kepada tempoh yang bakal diumumkan).
- Pegawai yang ditamatkan perkhidmatan demi kepentingan awam (bergantung kepada tempoh yang bakal diumumkan).
- Pegawai yang meletak jawatan (bergantung kepada tempoh yang bakal diumumkan).
- Pegawai berpencen yang melepaskan hak pencen kerana menyertai Badan Berkanun Yang Diasingkan Saraan.
Tarikh Pembayaran
Bayaran insentif awal penjawat ini akan dibuat pada 23 Februari 2024.
Ini meringankan beban persediaan persekolahan serta persiapan menjelang bulan Ramadan dan Syawal.