8 Tempat Lawatan Percuma Kuala Lumpur

Ibu bapa yang berhajat ingin membawa anak-anak mereka untuk melakukan lawatan sempena cuti sekolah, terdapat 8 tempat lawatan percuma dan menarik di Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur merupakan ibu negara dan bandaraya terbesar di Malaysia dengan penduduknya sekitar 1.9 orang. 

Bandaraya ini juga merupakan kawasan metropolitan yang paling pesat membangun di Asia Tenggara dari segi bilangan penduduk dan ekonomi.

Senarai Tempat Lawatan Percuma Kuala Lumpur

Ibu bapa yang ingin meluangkan masa bersama anak-anak mereka boleh membawa mereka ke tempat-tempat lawatan percuma Kuala Lumpur berikut:

i) Menara Berkembar Petronas

Menara Berkembar Petronas merupakan bangunan ke-11 tertinggi di dunia dan pernah memegang gelaran bangunan tertinggi dari tahun 1998 hingga 2004.

Menara berkembar ini merupakan mercu tanda bandaraya Kuala Lumpur dan telah dibuka secara rasminya oleh Perdana Menteri ke-4, Tun Dr. Mahathir Mohamad sempena ulang tahun Petronas ke-25.

Untuk melawat dan melihat secara dekat menara ini tidak memerlukan bayaran tiket namun jika ingin menaiki menara ini, pengunjung akan dikenakan tiket masuk.

ii) Bangunan Sultan Abdul Samad

Bangunan Sultan Abdul Samad yang terletak di hadapan Dataran Merdeka adalah salah satu mercu tanda bagi bandar raya Kuala Lumpur.

Nama bangunan ini mengambil nama Sultan Abdul Samad, sempena nama Sultan Selangor pada masa ia mula dibina 1894.

Di sinilah tempat di mana bendera Union Jack diturunkan pada 31 Ogos 1957 dan bendera Tanah Melayu pada masa itu dikibarkan.

Pengunjung boleh mengambil gambar di hadapan bangunan ini secara percuma tanpa dikenakan bayaran tiket masuk.

iii) River of Life Kuala Lumpur

River of Life merupakan projek tujuh tahun yang dibangunkan oleh Kerajaan Malaysia untuk mengubah Sungai Klang menjadi kawasan baharu dan boleh didiami dengan nilai ekonomi yang tinggi.

Kawasan ini terletak di sekitar Masjid Jamek yang kini mempunyai landskap, mural dan juga lampu biru bila waktu malam.

Pada waktu malam, terdapat pertunjukan air pancut yang bermula dari pukul 9:15 malam sampai ke pukul 11 malam dengan tema berbeza-beza.

iv) Pasar Seni (Central Market)

Salah satu tempat yang boleh dilawati secara percuma adalah Pasar Seni yang merupakan pusat sehenti tradisi untuk produk seni dari Malaysia dan negara Asean.

Terdapat pelbagai jenis cenderamata ditawarkan kepada pengunjung seperti kraftangan, barang pewter, songket, batik dan ukiran kayu Borneo.

v) Taman Botani Perdana

Taman Botani Perdana terletak di Taman Warisan Tun Abdul Razak atau Tun Abdul Razak Heritage Park Kuala Lumpur dan berada di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.

Taman ini merupakan rumah kepada beberapa spesies tumbuhan seperti koleksi pokok hutan, koleksi zingiberalis & heliconia, koleksi pokok spesies eksotik, koleksi pokok kurang buah dan koleksi pokok nama tempat.

Antara keunikan taman ini adalah mempunyai sebuah pulau yang dipenuhi dengan pelbagai spesies tumbuhan seperti pokok buluh dan pokok cycad.

Menariknya, pengunjung tidak dikenakan bayaran untuk memasuki taman ini.

vi) Muzium Bank Negara

Muzium Wang Bank Negara merupakan salah sebuah muzium di Kuala Lumpur dan telah dibuka pada 5 April 1989.

Muzium ini telah dirasmikan oleh Siti Hasmah Mohamad Ali, iaitu isteri kepada Perdana Menteri Malaysia ke-4, Tun Dr. Mahathir Mohamad sempena dengan Ulang tahun Bank Negara Malaysia ke-30

Muzium ini terletak di Bangunan Sasana Kijang Jalan Dato’ Onn dan diuruskan oleh Bank Negara Malaysia.

Menariknya, muzium ini mempunyai 6 galeri tetap dengan pelbagai tema iaitu Galeri Kanak-kanak, Galeri Bank Negara Malaysia, Galeri Ekonomi, Galeri Kewangan Islam, Galeri Numismatik dan Galeri Seni.

Galeri-galeri ini membolehkan pengunjung menyelami ekonomi Malaysia, peranan Bank Negara Malaysia di dalam pembangunan ekonomi serta landskap kewangan negara sejak zaman pra-kemerdekaan sehingga kini.

Tiada bayaran dikenakan dan masuk adalah percuma.

vii) Muzium Polis Diraja Malaysia

Muzium Polis Diraja Malaysia menawarkan lebih 2,500 bahan pameran kepada pengunjung.

Tarikan utama muzium ini adalah galeri senjata kerana separuh daripada senjata yang dipamerkan merupakan senjata yang dirampas daripada komunis sewaktu tempoh darurat di Malaya.

Antara senjata yang boleh dilihat adalah koleksi keris Melayu, pistol Portugis, pisau Gurkha sehingga ke barangan harian yang ditukar menjadi senjata yang digunakan oleh penjenayah-penjenayah di negara ini.

Seperti Muzium Bank Negara, muzium ini juga tidak mengenakan apa-apa bayaran kepada pengunjung.

viii) Masjid Negara

Masjid Negara dibina di kawasan seluas 13 ekar yang boleh memuatkan 15,000 jemaah pada satu-satu masa.

Masjid ini siap dibina diantara pada 27 ogos, 1965 yang dianggap simbol keagungan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia.

Sumber: https://www.jomjalan.com.my/

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: