Diftong Tahun 1: Maksud, Jenis & Contoh Perkataan

Bagi murid yang belajar di Tahun 1, salah satu pembelajaran yang diajar oleh guru Bahasa Melayu adalah Diftong.

Menurut DBP, bermaksud gabungan dua bunyi vokal yang disebut dalam satu suku kata akibat perubahan kedudukan lidah.

Dalam erti kata lain, ianya wujud apabila dua huruf vokal iaitu a, e, i, o, u yang duduk bersebelahan dalam perkataan dan disebut dalam satu suku kata atau satu sebutan bunyi.

Ianya dieja dengan gabungan dua huruf vokal yang dilafazkan sebagai bunyi luncuran iaitu bunyi vokal yang pertama menggeluncur ke bunyi vokal yang kedua. 

Sebutan bunyi vokal yang pertama adalah lebih lantang (kuat) berbanding bunyi yang kedua. 

Pembelajaran ini penting bagi memudahkan murid mengeja dan menyebut perkataan yang mempunyai dua huruf vokal.

Jenis Diftong

Untuk makluman, terdapat tiga jenis huruf Diftong yang dieja dengan gabungan huruf vokal iaitu:

  1. ai
  2. au
  3. oi

Ianya dianggap sebagai satu suku kata dan dilambangkan oleh dua vokal tetapi bertindak sebagai satu fonem.

Ini bermaksud, lidah pada mulanya diletakkan pada keadaan sebagaimana membunyikan sesuatu vokal, kemudian digeluncurkan ke arah membunyikan vokal yang lain.

Bagi menghasilkan bunyi Diftong ai, lidah mestilah berkeadaan sebagaimana membunyikan vokal “a”, dan secara cepat geluncurkan lidah ke arah membunyikan vokal “i” pula.

Ini juga adalah cara membunyikan diftong yang lain iaitu au dan oi. 

Contoh Perkataan

Contoh perkataan yang lazim digunakan adalah seperti berikut:

  • ai – balai, gulai, tapai, tembikai, sidai, keldai, kedai, gerai, buai, cuai, misai, petai, pantai, lantai, rantai, teratai, sungai.
  • au – harimau, wau, pulau, surau, kerbau, pisau, limau, hijau, bangau, pau, aurat, saudara.
  • oi – sekoi, koboi, kaloi, amboi, dodoi, boikot, konvoi

Contoh Ayat

Contoh ayat yang menggunakan Diftong adalah seperti berikut:

  • ai- Hamid sedang mengadakan mesyuarat di Balai Raya Kampung Tersusun Banting.
  • au- Harimau Malaya merupakan spesis harimau yang sedang pupus di dalam negara.
  • oi- Kita memboikot peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang.

Sumber: https://www.cikguhijau.com/2014/06/perkataan-diftong-dan-vokal-berganding.html

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: