Konsep Karamah Insaniah KPM: Teras & Program Pelaksanaan

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memperkenalkan satu konsep baharu untuk dilaksanakan di peringkat sekolah iaitu konsep Karamah Insaniah.

Konsep ini merupakan salah satu teras utama KPM di dalam menerajui sistem pendidikan negara.

Berikut dikongsikan lebih lanjut tentang konsep tersebut untuk makluman semua.

Apakah Konsep Karamah Insaniah KPM?

Konsep Karamah Insaniah ialah konsep yang menekankan pembentukan adab, akhlak dan integriti bagi mewujudkan suasana harmoni yang akan menghindari gejala negatif.

Konsep ini bukan sahaja diterapkan dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) di bilik darjah malah turut diterapkan dalam pembelajaran di luar bilik darjah.

Teras Utama KPM

Terdapat 7 teras utama KPM di dalam sistem pendidikan negara iaitu:

  1. Komunikasi antara kementerian dan sekolah lebih cekap dan telus.
  2. Memberi penekanan kepada aspek karamah insaniah iaitu pembentukan adab, akhlak dan integriti.
  3. Kemiskinan berbilang dimensi B40: Malnutrisi, peranti dan ruang belajar.
  4. Keciciran pendidikan dan masalah literasi dan rapatkan kesenjangan pendidikan.
  5. Kebajikan guru sebagai teras keberkesanan penyampaian pendidikan.
  6. Ubah suai dan naik taraf sekolah daif terutama Sabah dan Sarawak.
  7. Peningkatan keupayaan pendidikan digital di sekolah.

Program Yang Dilaksanakan Selari Dengan Konsep Karamah Insaniah KPM

Dalam pembentukan karamah insaniah, Timbalan Menteri Pendidikan, KPM telah mengadakan pelbagai program untuk membentuk murid-murid agar mempunyai jati diri, keperibadian yang luhur, keterampilan, kepemimpinan yang berilmu, amanah, cekap, integriti,proaktif dan lain-lain.

Antara program yang dilakukan adalah:

  • Simposium Hal Ehwal Murid (SHEM) peringkat kebangsaan: Program yang dilaksanakan pada setiap tahun bagi memberikan pengiktirafan kepada sekolah-sekolah yang melaksanakan amalan terbaik disiplin, kaunseling dan hak asasi manusia sebagai perkongsian kepada semua sekolah KPM.
  • Program Nadwah Kepemimpinan Islam Sekolah: Program ini bertujuan melatih pemimpin-pemimpin dalam kalangan murid dengan memberi fokus kepada modul kepemimpinan Islam.
  • Menyedia dan melaksanakan Manual Kesedaran Sivik dan Amalan Nilai Murni alam Kalangan Murid di semua sekolah KPM yang menekankan kepada pembangunan sahsiah, pengukuhan jati diri dan kekuatan akal.
  • Program dan penilaian Sahsiah Unggul Murid (SUMUR) di sekolah menengah yang menekankan kepada tiga teras utama iaitu berbudi bahasa, penampilan diri dan jati diri.
  • Menyediakan modul yang dilaksanakan dalam Kem Jati Diri dan Kem Pemantapan Sahsiah di sekolah KPM untuk melahirkan insan beradab mithali.
  • Menerbitkan Modul Pembentukan Karakter dan Nilai (MPKN) pada tahun 2022 bagi memperkasakan penerapan nilai dalam mata pelajaran Pendidikan Islam dan dibina berasaskan 16 nilai murni sejagat.
  • Melalui kurikulum Pendidikan Moral, KPM telah mengambil beberapa pendekatan dalam melahirkan murid yang mempunyai jati diri tinggi. Nilai-nilai seperti hormat, harga diri, rasional, toleransi, kasih sayang, mematuhi peraturan dan undang-undang serta hemah tinggi didedahkan kepada mereka sebagai satu cara menerapkan tingkah laku terpuji dan memupuk jati diri dalam kalangan anak-anak didik.

Sumber: https://sinarbestari.sinarharian.com.my/buletin/teras-kedua-kpm-berjaya-bentuk-adab-akhlak-dan-integriti-dalam-kalangan-murid/news

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: