Login PBPPP: Penilaian Bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan

Untuk menilai dan membangunkan kompetensi, potensi dan keberhasilan guru, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah menggubal satu sistem penilaian bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) di Malaysia iaitu Penilaian Bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PBPPP).

Secara umumnya, PBPPP merupakan sistem penilaian yang memberi fokus kepada pembangunan kompetensi, potensi, dan keberhasilan berasaskan gred dan jawatan serta mengambil kira kepelbagaian bidang tugas PPP.

Pelaksanaan PBPPP bagi kumpulan guru dan pemimpin sekolah bermula pada tahun 2015 dan pelaksanaan menyeluruh kepada semua PPP telah bermula sejak tahun 2016.

Pelaksanaan sistem ini adalah bagi menggantikan semua penilaian prestasi termasuk fungsi Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) kepada semua PPP di KPM.

Matlamat Pelaksanaan PBPPP

Matlamat pelaksanaan PBPPP adalah seperti berikut:

  • Meningkatkan kecekapan dan komitmen bagi melahirkan PPP yang berprestasi tinggi.
  • Penilaian menyeluruh yang menggabungjalinkan kompetensi dan potensi serta keberhasilan PPP.
  • Mendokong aspirasi ke arah pendidikan yang berkualiti tinggi.

Komponen Instrumen PBPPP

Terdapat 3 komponen instrumen yang dilaksanakan iaitu Generik, Fungsional, dan Keberhasilan.

i) Generik

Komponen Generik dilaksanakan untuk menilai profesionalisme dan penglibatan PPP.


Menerusi komponen ini, semua warga PPP di KPM dinilai menggunakan komponen generik yang sama.

ii) Fungsional

Komponen Fungsional dilaksanakan untuk menilai pengetahuan dan kemahiran PPP
mengikut bidang tugas dan tempat bertugas yang dijalankan.

Terdapat lima kategori kumpulan dalam komponen fungsional berasaskan bidang
tugas iaitu PdP, PT (A), PT (B), Fasilitator dan Jurulatih.

iii) Keberhasilan

Penilaian Komponen Keberhasilan adalah penilaian hasil kerja utama outcome/output yang memberi impak kepada klien berdasarkan tugas dan tempat bertugas.

Penilaian dibuat mengikut aspek dalam instrumen dan prestasi pencapaian Pegawai Yang Dinilai (PYD) yang diberikan mengikut aras penilaian sama ada Cemerlang, Baik, Sederhana, Memuaskan atau Lemah berdasarkan rubrik yang ditetapkan.

Prestasi pencapaian PYD dalam PBPPP dibahagikan kepada empat kategori iaitu
Cemerlang, Tinggi, Sederhana dan Rendah.

Tempoh Penilaian

Terdapat tiga fasa penilaian sepanjang tempoh setahun pelaksanaan iaitu prapenilaian, semasa penilaian dan pascapenilaian.

i) Prapenilaian

  • Ketua Jabatan (Pengerusi JK PBPPP) melantik ahli-ahli dalam JK PBPPP di organisasi dan mendapatkan pengesahan daripada agensi penyelia.
  • JK PBPPP dan PP perlu merujuk takwim pelaksanaan PBPPP pada tahun semasa yang dikeluarkan oleh KPM dan agensi penyelia.
  • Pengerusi perlu mengadakan Mesyuarat JK PBPPP.
  • JK PBPPP memutuskan pelantikan PP peringkat organisasi dan mendapatkan pengesahan daripada agensi penyelia.
  • JK PBPPP melaksanakan taklimat/ pemakluman pelaksanaan PBPPP di peringkat organisasi pada tahun semasa.
  • JK PBPPP menyediakan perancangan pengurusan penilaian PBPPP peringkat organisasi.
  • PP menyediakan perancangan pelaksanaan penilaian secara individu.

ii) Semasa Penilaian

  • PP1 dan PP2 berbincang dengan PYD untuk menetapkan sasaran keberhasilan.
  • PP1 dan PP2 membuat penilaian secara berterusan terhadap PYD.
  • PP1 dan PP2 memasukkan skor melalui sistem e-Prestasi dua kali setahun.
  • PP dan PP2 memaklumkan kepada PYD berkaitan pencapaian semasa dan memberikan bimbingan untuk meningkatkan pencapaian PYD dalam tugas yang dijalankan.
  • PP1, PP2 dan PYD membuat semakan semula sasaran komponen keberhasilan selepas penilaian pertama (jika perlu).
  • PP1 dan PP2 menyimpan dan menghantar skor PYD melalui sistem e-Prestasi.
  • PP1 dan PP2 membuat salinan borang skor dan menyerahkan salinan kepada PYD bagi setiap penilaian.
  • PP1 membuat salinan penilaian borang keberhasilan dan menyerahkan salinan kepada PYD bagi setiap penilaian.
  • JK PBPPP perlu memantau pelaksanaan PBPPP di organisasi masing-masing bagi memastikan pelaksanaan mengikut takwim dan prosedur yang ditetapkan.

iii) Pascapenilaian

  • JK PBPPP perlu bermesyuarat untuk membuat pelarasan sekiranya wujud perbezaan markah yang tidak tekal antara PP1 dan PP2.
  • JK PBPPP perlu memastikan markah akhir PYD yang telah diselaraskan dihantar melalui sistem e-Prestasi.
  • PYD boleh mendapatkan markah prestasi bagi tahun penilaian melalui Sistem HRMIS selepas dimuktamadkan oleh PPSM Induk KPM.

Cara Login

Untuk login sistem ini, sila ikuti langkah-langkah di bawah berikut:

  1. Layari laman web https://eprestasi.moe.gov.my/index.cfm.
  2. Klik butang ‘Log Masuk.’
  3. Masukkan No ID dan kata laluan yang diberikan.
  4. Klik butang ‘Log Masuk.’

Maklumat Lanjut

Untuk mendapatkan makluman lanjut, sila hubungi Bahagian Pengurusan Sumber Manusia di talian 03-8884 7294/ 7287/ 72884.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: