PBS 2023: Pentaksiran Berasaskan Sekolah

PBS iaitu Pentaksiran Berasaskan Sekolah adalah pentaksiran terhadap murid yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) murid selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Pentaksiran ini mula diperkasakan selepas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan pemansuhan UPSR dan PT3 kepada murid darjah 6 dan Tingkatan 3 di sekolah.

Pelaksanaan pentaksiran ini telah diperkenalkan lebih 10 tahun yang lalu iaitu mulai tahun 2011 di peringkat sekolah rendah dan tahun 2012 di peringkat sekolah menengah.

Matlamat Pentaksiran Berasaskan Sekolah

Antara matlamat pentaksiran ini dijalankan adalah:

  • Mendapatkan gambaran secara keseluruhan tentang potensi individu
  • Memantau pertumbuhan dan membantu meningkatkan potensi individu
  • Membuat pelaporan bermakna tentang pembelajaran individ

Kategori Pentaksiran Berasaskan Sekolah

Pentaksiran ini meliputi 2 kategori iaitu:

  • Akademik
  • Bukan Akademik

Kategori akademik terdiri daripada dua komponen iaitu Pentaksiran Pusat (PP) dan Pentaksiran Sekolah (PS), manakala kategori bukan akademik terdiri daripada dua komponen lagi iaitu Pentaksiran Aktivaiti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

Pentaksiran Pusat– Dilaksanakan di peringkat sekolah oleh guru berdasarkan tugasan yang dikeluarkan oleh Lembaga Pperiksaan dalam tempoh tertentu mengikut mata pelajaran tertentu berasaskan standard prestasi. Penjaminan kualiti pentaksiran  dijalankan melalui pemantauan dan penyelarasan.

Pentaksiran Sekolah– Dikenali sebagai Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) mulai hujung tahun 2016. PBD mengekalkan semua konsep Pentaksiran Sekolah dan melibatkan penentuan tahap penguasaan murid dalam setiap mata pelajaran. Tahap penguasaan ini dinyatakan dalam Standard Prestasi seperti terdapat dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) semua mata pelajaran di bawah Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK), Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), Kurikulum Standard Kelas Peralihan (KSPK) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM). Selain daripada Standard Prestasi, Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran juga dirujuk dalam pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah.

Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK)– Dilaksanakan di peringkat sekolah oleh guru untuk mengukur dan menilai prestasi, penglibatan dan penyertaan murid dalam aktiviti jasmani, kesihatan, sukan dan kokurikulum.

Pentaksiran Psikometrik– Dilaksanakan di peringkat sekolah atau pusat untuk mengukur kebolehan semula jadi, kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah, minat, kecenderungan, sikap dan personaliti murid.

Perbezaan PBD & PBS

Sebahagian pihak sering terkeliru antara Penilaian Bilik Darjah dan PBS.

Antara perbezaan kedua-dua perkara ini adalah:

  • PBS ialah Pentaksiran Berasaskan Sekolah, suatu pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani). Ini selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Oleh itu terdapat empat komponen dalam PBS iaitu Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan & Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).
  • PBD pula ialah pentaksiran yang berlaku secara berterusan sepanjang PdP, bagi semua mata pelajaran. PBD bukanlah untuk membandingkan tahap penguasaan antara seorang murid dengan murid yang lain, tetapi ia bertujuan untuk melihat perkembangan kemajuan murid dalam pembelajaran di samping membantu guru menambah baik pengajaran mereka.

Pelaksanaan PBS

Untuk memastikan kelicinan pelaksanaan PBS, guru perlu menggunakan Dokumen Standard Kurikulum yang mengandungi perkara-perkara yang patut dipelajari dan perlu disampaikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran manakala Dokumen Standard Prestasi adalah rujukan utama untuk mentaksir dan mengukur penguasaan murid.

Guru juga akan diberi pengiktirafan dan autonomi untuk menjalankan pentaksiran secara formatif semasa pengajaran dan pembelajaran ataupun secara sumatif diakhir unit pembelajaran atau pun di akhir tahun.

Pentaksiran guru tidak semestinya menyediakan lembaran kerja bagi setiap kemahiran yang hendak dinilai sebaliknya evidens atau bukti penguasaan murid boleh diperolehi melalui pemerhatian, jawapan lisan, latihan dalam buku latihan atau buku kerja dan juga kerja rumah.

Ini kerana PBS tidak membataskan kreativiti guru yang sudah tentunya lebih mengenali murid mereka.

Info Lanjut

Info lanjut mengenai Pentaksiran Berasaskan Sekolah, sila layari laman web https://www.moe.gov.my/pbs.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: