Portal Rumah Siswa: Platform Urusan Sewa Penginapan Sekitar IPTA

Para mahasiswa yang masih belum mendapat kediaman rumah sewa di sekitar kampus Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), mereka boleh membuat semakan carian di Portal Rumah Siswa yang diwujudkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Untuk makluman, Portal Rumah Siswa dilancarkan oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pada 4 Mac 2021 yang lalu bagi menangani isu pengurusan dan keselamatan pelajar IPTA yang tidak tinggal dalam kampus (non-residents).

Portal ini secara tidak langsung dapat membantu memantapkan inisiatif ke arah hasrat pemerkasaan, memelihara kebajikan dan akses mahasiswa, terutama penuntut di luar kampus.

Selain itu, pelaksanaan Rumah Siswa ini akan menjadi panduan untuk pihak IPT untuk mentadbir, menyelaras dan menguruskan segala keperluan, maklumat, pembangunan serta hal ehwal berkaitan kebajikan mahasiswa luar kampus, terutama mereka yang menetap di rumah sewa supaya lebih teratur dan menyeluruh.

Mengenai Portal Rumah Siswa

Portal Rumah Siswa merupakan platform yang menghubungkan pelajar sebagai penyewa dengan pemilik premis, mendapatkan khidmat nasihat serta memudah cara proses pencarian bilik atau rumah sewa di sekitar kampus pada harga kompetitif.

Ini dapat memastikan bahawa mahasiswa IPT tidak teraniaya apabila berurusan dengan tuan rumah dan mereka dapat membuat persediaan untuk mencari rumah sewa dengan lebih mudah dan teratur.

IPTA Terlibat

Portal ini akan melibatkan kerjasama daripada 20 IPTA utama di seluruh negara seperti berikut:

  • Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
  • Universiti Teknologi MARA (UiTM)
  • Universiti Malaya (UM)
  • Universiti Utara Malaysia (UUM)
  • Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
  • Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)
  • Universiti Sains Malaysia (USM)
  • Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)
  • Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
  • Universiti Malaysia Pahang (UMP)
  • Universiti Putra Malaysia (UPM)
  • Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
  • Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
  • Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)
  • Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
  • Universiti Malaysia Kelantan (UMK)
  • Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)
  • Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
  • Universiti Malaysia Sabah (UMS)
  • Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Cara Mendaftar

Untuk mendaftar ke dalam portal ini, sila ikuti langkah-langkah berikut iaitu:

  1. Layari laman web https://rumahsiswa.mohe.gov.my/.
  2. Klik butang ‘Daftar’ di bahagian atas kanan laman web.
  3. Isi maklumat yang diperlukan dan klik butang ‘Daftar.’
  4. Kemudian, log masuk ke email anda dan klik butang ‘Verify Email Address’ untuk mengesahkan email.
  5. Kemudian untuk membuat carian, taip nama tempat/bandar diikuti dengan butang ‘Cari.’
  6. Senarai kediaman dipaparkan.

Maklumat Lanjut

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Portal Rumah Siswa, sila layari laman web https://rumahsiswa.mohe.gov.my/.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: