Program Vaksinasi Pelajar IPT: Walk-In Di PPV Terbuka Seluruh Negara

Bagi pelajar yang bakal menyambung pengajian di Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi semester akan datang namun belum mendapatkan vaksinasi, mereka boleh mendapatkan vaksin COVID-19 secara walk-in dengan mengunjungi mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terbuka.

Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr. Noraini Ahmad, Program Vaksinasi Pelajar IPT iaitu pemberian vaksin kepada pelajar IPT secara walk-in telah dipersetujui pihak kerajaan susulan pertemuan beliau dengan Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin pada minggu lalu.

Ini kemudiannya disusuli dengan kenyataan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba yang mengumumkan penuntut IPT yang masih belum mendapatkan vaksin boleh mendapatkannya secara walk-in di PPV terbuka seluruh negara.

Vaksinasi pelajar IPT ini sangat penting bagi membentuk imuniti kelompok dan komuniti sosial yang selamat di dalam kampus apabila sesi pembelajaran di sambung semula.

Oleh itu, pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengharapkan pelajar yang masih belum mendapatkan vaksin boleh mengunjungi mana-mana PPV terbuka secara walk-in sebelum mereka menyambung pengajian secara fizikal untuk semester hadapan.

Jumlah Telah Divaksin

Sehingga kini, seramai 547,595 pelajar IPT awam dan swasta di seluruh negara sudah pun lengkap divaksinasi 2 dos.

Namun, daripada jumlah tersebut bakinya masih belum mendapat vaksinasi lengkap dan seramai 195,000 orang pelajar atau 37.5 peratus pelajar IPT awam langsung tidak mempunyai rekod pendaftaran vaksinasi sehingga setakat ini.

Vaksin Yang Dibekalkan

Sehingga hari ini, Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah meluluskan 7 jenis vaksin yang telah lulus ujian klinikal COVID-19 iaitu:

  • Pfizer-BioNTech
  • AstraZeneca-Oxford
  • Sinovac
  • CanSino
  • Sinopharm
  • Johnson & Johnson
  • Moderna

Namun, bagi pelajar yang mendapatkan vaksin secara walk-in, pemberian vaksin adalah mengikut ketersediaan jenis vaksin di PPV tersebut dan mereka tidak boleh memilih jenis vaksin yang diingini.

Senarai PPV

Bagi pelajar yang ingin mendapatkan vaksin secara walk-in, mereka boleh berkunjung ke mana-mana PPV terbuka yang terdekat dengan mereka.

Senarai PPV juga boleh dirujuk melalui pautan berikut iaitu https://www.vaksincovid.gov.my/ppv/.

Dokumen Yang perlu dibawa

Bagi pelajar yang ingin mendapatkan vaksin melalui Program Vaksinasi Pelajar IPT, pelajar perlu membawa dokumen berikut bagi tujuan pengesahan di PPV tersebut iaitu:

  • Kad Pengenalan
  • Kad Matrik

Untuk pelajar baharu, mereka boleh mengemukakan dokumen berikut bagi tujuan pengesahan:

  • Surat tawaran kemasukan
  • Kad pengenalan

Maklumat Lanjut

Untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai vaksinasi COVID-19 di Malaysia, sila layari laman web https://www.vaksincovid.gov.my/.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: