Tarikh & Niat Puasa Asyura 1445H/2023

Salah satu hari yang digalakkan untuk berpuasa di dalam Bulan Muharram adalah Puasa Asyura iaitu pada 10 Muharram.

Ini adalah berdasarkan beberapa dalil yang diperoleh melalui hadis seperti riwayat berikut:

Daripada Abu Qatadah R.A. bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:

صِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ إِنِّي أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ

Maksudnya: “Berpuasa pada hari ‘Asyura sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya.” (Riwayat Ibn Majah 1738).

Satu lagi hadis mengenai berpuasa Asyura adalah daripada Abdullah Ibn Abbas R.A yang berkata:

قَدِمَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم الْمَدِينَةَ، فَرَأَى الْيَهُودَ تَصُومُ يَوْمَ عَاشُورَاءَ، فَقَالَ ‏”‏ مَا هَذَا ‏”‏‏.‏ قَالُوا هَذَا يَوْمٌ صَالِحٌ، هَذَا يَوْمٌ نَجَّى اللَّهُ بَنِي إِسْرَائِيلَ مِنْ عَدُوِّهِمْ، فَصَامَهُ مُوسَى‏.‏ قَالَ ‏”‏ فَأَنَا أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْكُمْ ‏”‏‏.‏ فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ

Maksudnya: “Rasulullah S.A.W datang ke Madinah dan kemudian baginda melihat golongan Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Lalu baginda berkata: “Apakah ini ?”. Mereka pun menjawab: “Ini adalah hari yang baik. Inilah harinya Allah menyelamatkan Bani Israel daripada musuh mereka maka Musa pun berpuasa pada hari tersebut. Lalu baginda bersabda: “Aku lebih berhak ke atas Musa berbanding kamu”. Maka baginda pun berpuasa pada hari tersebut dan memerintahkan supaya umatnya berpuasa pada hari itu.” (Riwayat al-Bukhari 2004).

Secara umumnya, kedua-dua hadis di atas dengan jelas menunjukkan bahawa puasa pada hari ‘Asyura adalah diperintahkan kepada umat Muhammad S.A.W dan hukumnya adalah sunat.

Berpuasa Sehari Sebelum/Selepas Puasa Asyura

Walaupun umat Islam digalakkan untuk berpuasa pada 10 Muharram, akan tetapi kita juga turut diperintahkan untuk mengikutinya dengan berpuasa pada hari sebelum ataupun hari selepasnya.

Tujuannya adalah untuk membezakan antara kita dengan golongan Yahudi yang hanya berpuasa pada 10 Muharram secara tunggal.

Dalilnya adalah berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas R.A beliau berkata bahawa Nabi S.A.W bersabda:

صُومُوا يَوْمَ عَاشُورَاءَ، وَخَالِفُوا فِيهِ الْيَهُودَ، صُومُوا قَبْلَهُ يَوْمًا، أَوْ بَعْدَهُ يَوْمًا

Maksudnya: “Berpuasalah kalian pada hari ‘Asyura dan berbezalah dengan golongan Yahudi. Berpuasalah sehari sebelumnya ataupun sehari selepasnya.” (Riwayat Ahmad 2154).

Terdapat juga sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abbas R.A, Rasulullah S.A.W bersabda:

لَئِنْ بَقِيتُ إِلَى قَابِلٍ لأَصُومَنَّ التَّاسِعَ

Maksudnya: “Sekiranya aku masih hidup pada tahun hadapan nescaya aku akan berpuasa pada hari yang ke 9 (Muharram).” (Riwayat Muslim 1134).

Satu lagi hadis menceritakan ketika Nabi S.A.W memerintahkan untuk berpuasa pada hari ‘Asyura, maka para sahabatnya berkata: “Wahai Rasulullah S.A.W, sesungguhnya ia adalah hari yang mana golongan Yahudi dan Nasrani membesarkannya”. Maka Rasulullah S.A.W menjawab:

فَإِذَا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ – إِنْ شَاءَ اللَّهُ – صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ

Maksudnya: “Apabila datangnya tahun hadapan Insha Allah kita akan berpuasa pada hari yang ke sembilan.” (Riwayat Muslim 1134).

Dalil-dalil di atas jelas menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W memerintahkan umat Islam untuk melakukan puasa sehari sebelum 10 Muharram ataupun sehari selepasnya.

Tarikh Puasa Asyura

Tarikh Puasa Asyura pada tahun ini adalah pada 28 Julai 2023 iaitu pada hari Jumaat.

Niat Puasa

Niat puasa bagi Hari Asyura adalah seperti berikut:

نويت صوم عشر سنة لله تعالى

Maksudnya: Sahaja aku puasa sunat ‘Asyura kerana Allah Ta’ala.

Untuk niat puasa bagi Hari Tasu’a iaitu 9 Muharram, niat puasanya adalah seperti berikut:

نَوَيْتُ صَوْم تَاسُعَاء سُنَّة لله تَعَالى

Maksud: Sahaja aku puasa sunat Tasu’a kerana Allah Ta’ala.

Sumber: https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/1225-irsyad-al-fatwa-ke-135-adakah-puasa-10-muharram-perlu-disertai-dengan-hari-selepasnya

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: