Senarai 11 Lebuh Raya Sistem Pembayaran Tol Terbuka
Kementerian Kerja Raya (KKR) mengumumkan 11 lebuh raya di seluruh negara bakal menggunakan sistem pembayaran tol terbuka.
Sistem Pembayaran Tol Terbuka merupakan inisiatif Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuh Raya ke arah memberi kemudahan kepada pengguna lebuh raya membuat bayaran tol menggunakan kad debit, kad kredit dan kad prabayar yang mempunyai logo MyDebit, Visa atau Mastercard.
Ini sekaligus memberi alternatif baharu kepada kaedah pembayaran tol sedia ada menggunakan kad Touch ‘n Go, Smart Tag dan Radio Frequency Identification (RFID).
Ini sejajar dengan kempen MYJalan yang antara lain dilaksanakan bagi memberi kemudahan kepada pengguna jalan raya.
Pelaksanaan sistem ini bermula pada 29 September 2023.
Ujian Rintis Sistem Pembayaran Tol Terbuka
Pelaksanaan ujian ini telahpun diuji dengan Ujian Rintis Awam sebelum ini.
Ujian Rintis Awam telah dilakukan secara berperingkat di lebuh raya–lebuh raya terpilih mulai 3 Ogos 2023 bagi menguji kefungsian dan keberkesanan sistem.
Senarai Lebuh Raya Yang Melaksanakan Sistem Pembayaran Tol Terbuka
11 lebih raya yang melaksanakan sistem ini adalah:
- Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA)
- Lebuhraya Baru Pantai (NPE)
- Lebuhraya Bertingkat Ampang – Kuala Lumpur (AKLEH)
- Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE)
- Lebuhraya Damansara – Puchong (LDP)
- Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT)
- Lebuhraya Shah Alam (KESAS)
- Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART)
- Lebuhraya Kuala Lumpur – Putrajaya (MEX)
- Lebuhraya Duta – Ulu Kelang (DUKE)
- Lebuhraya Kulim – Butterworth (BKE)
Pelaksanaan sistem ini di Jambatan Pulau Pinang (JPP) dijangka akan bermula pada penghujung tahun 2023 bagi membolehkan penelitian dan perincian lanjut dibuat oleh syarikat konsesi demi kemudahan pengguna lebuh raya.
Persediaan Pengguna
Pengguna lebih raya adalah dinasihatkan untuk melakukan persediaan berikut:
- Pengguna dikehendaki mengaktifkan ‘contactless payment’ bagi kad debit/kad kredit/kad prabayar yang akan digunakan.
- Pengguna perlulah memilih lorong yang betul, yang mempunyai logo MyDebit, Visa atau Mastercard pada papan tanda lorong.
- Pengguna dikehendaki memastikan kad yang digunakan adalah sah dan baki kad debit/kad kredit mencukupi sebelum digunakan untuk pembayaran tol.
- Sekiranya transaksi menggunakan kad bank gagal, pengguna hendaklah menggunakan kad bank lain ataupun kad Touch ‘n Go yang mempunyai baki mencukupi.
- Menyentuh kad pada bahagian yang ditetapkan di terminal sistem yang diletakkan bersebelahan terminal Touch ‘n Go bagi memastikan kelancaran pembayaran tol.
Maklumat Lanjut
Maklumat lanjut mengenai Sistem Pembayaran Tol Terbuka, sila layari laman web http://www.kkr.gov.my/ms.