Tarikh Puasa & Awal Ramadhan 2024

Apabila tibanya bulan Puasa atau Ramadhan, sudah pasti seluruh umat Islam menantikan saat tarikh puasa selama sebulan.

Ramadan merupakan bulan Islam yang kesembilan di dalam kalendar Hijrah selepas bulan Syaaban dan terletak padanya kewajipan berpuasa ke atas seluruh umat Islam.

Bulan ini paling ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam kerana terdapat banyak keistimewaan yang dijanjikan Allah S.W.T berbanding bulan-bulan lain.

Pengertian Puasa

Menurut bahasa, Puasa ialah menahan diri daripada melakukan sesuatu, seperti makan, minum dan bercakap.

Ini adalah berdasarkan firman Allah SWT yang menceritakan perihal Maryam AS:

إِنِّي نَذَرْتُ لِلرَّحْمَـٰنِ صَوْمًا فَلَنْ أُكَلِّمَ الْيَوْمَ إِنسِيًّا

Maksudnya: Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) al-Rahman. (Surah Maryam: 26)

Manakala puasa dari segi syara’ pula ialah menahan diri daripada sebarang perkara yang membatalkannya, bermula dari terbit fajar hingga matahari terbenam dengan niat puasa.

Dalil Pensyariatan Puasa

Dalil difardhukan puasa pada bulan Ramadhan adalah berdaarkan firman Allah SWT iaitu:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ اللَّـهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّـهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu. (Surah al-Baqarah: 185)

Dalil seterusnya berkaitan puasa adalah berdasarkan hadith daripada Rasulullah SAW yang bersabda:

بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ: شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ، وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَإِقَامِ الصَّلاَةِ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ، وَالْحَجِّ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Islam dibina atas lima perkara, iaitu bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya selain Allah, dan Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, mengerjakan ibadah haji, dan puasa di bulan Ramadhan” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadith seterusnya Rasulullah SAW bersabda kepada seorang Badwi yang bertanya kepadanya:

أَخْبِرْنِي مَاذَا فَرَضَ عَلَيَّ مِنْ الصَّوْمِ؟ فَقَالَ: صِيَامُ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Beritahulah aku, apakah puasa yang Allah wajibkan ke atasku? Baginda menjawab: Puasa Ramadhan.” Riwayat al-Bukhari (1792) dan Muslim (11).

Hikmah Puasa

Terdapat 4 hikmah puasa yang disyariatkan kepada seluruh umat Islam iaitu:

  1. Puasa yang sempurna akan menyedarkan hati orang yang beriman bahawa dirinya di bawah perhatian Allah SWT. Ini kerana orang yang berpuasa akan berasa lapar dan dahaga sebaik sahaja dia melalui sebahagian daripada waktu siangnya. Nafsunya yang ingin makan dan minum, namun wujud perasaan yang menyedari dirinya berpuasa, lantas menghalang keinginan tersebut. Dalam menghadapi dugaan sebegini, hatinya sedar terhadap pemerhatian Allah, lantas ianya mengingati Allah dan kekuasaan-Nya.
  2. Bulan Ramadhan merupakan bulan yang suci. Allah SWT menghendaki hamba-Nya supaya memenuhi bulan tersebut dengan amalan ketaatan yang menghampirkan diri kepada-Nya. Pensyariatan puasa ini adalah cara yang termudah untuk menunaikan hak Allah dan tanggungjawab hamba kepada-Nya.
  3. Kekenyangan yang berterusan dalam kehidupan seseorang akan memenuhi dan menyuburkan jiwanya dengan sifat keras hati dan keterlaluan. Kedua-duanya bertentangan dengan sifat seorang Islam. Justeru, pensyariatan puasa dapat mendidik jiwanya dan mengurangkan sifat-sifat tersebut.
  4. Sifat berkasih sayang menjadi teras dalam membangunkan masyarakat Islam. Akan tetapi, orang kaya tidak dapat menghayati kasih sayang yang sebenar terhadap orang miskin tanpa merasai keperitan, kesempitan hidup dan kepahitan hidup yang diburu kelaparan. Oleh itu, bulan puasa merupakan waktu terbaik bagi golongan kaya untuk menyelami perasaan orang miskin.

Tarikh Mula Puasa & Awal Ramadhan 2024

Menurut kalendar 2024, tarikh mula Puasa dan Awal Ramadhan adalah pada 12 Mac 2024 iaitu pada hari Selasa.

Untuk Awal Ramadhan, negeri yang mengambil cuti pada hari tersebut adalah Johor, Kedah dan Melaka. 

Sumber: https://www.facebook.com/muftiWilayahPersekutuan/posts/ramadhan-11-pengertian-puasamenurut-bahasa-puasa-ialah-menahan-diri-daripada-mel/425589230914395/.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: