TH Khairat: Pelindungan Takaful Tabung Haji RM12,000

Tabung Haji telah memperkenalkan TH Khairat iaitu pelindungan takaful kepada semua pendeposit yang berumur seawal 30 hari sehingga 65 tahun.

Untuk makluman, TH Khairat merupakan pelan sukarela yang menawarkan perlindungan Takaful asas sebanyak RM12,000 terhadap kematian atau hilang upaya kekal dan menyeluruh dengan langganan tahunan serendah RM28 sahaja.

Perlindungan ini akan memberi bantuan kewangan kepada penerima manfaat sekiranya berlaku kematian ke atas pendeposit.

Ini bermakna, sebahagian darinya iaitu RM2,000 boleh dijadikan sumbangan (Infaq) bagi pihak si mati kepada pertubuhan kebajikan yang dinamakan oleh Pengendali Takaful. 

Pengendali TH Khairat

Takaful ini dikendalikan oleh 2 pengendali takaful iaitu:

  • Takaful Malaysia
  • Hong Leong MSIG Takaful Berhad

Syarat Pendaftaran

Syarat pendaftaran takaful ini adalah seperti berikut:

  1. Terbuka kepada pendeposit Tabung Haji berumur 30 hari sehingga 65 tahun (hari lahir berikutnya).
  2. Pendaftaran bagi pendeposit berumur bawah 18 tahun hendaklah didaftarkan oleh penjaga yang mentadbir akaun tersebut. 
  3. Pastikan baki akaun yang boleh digunakan berjumlah sekurang-kurangnya RM100.
  4. Bayaran langganan akan didebitkan daripada akaun Tabung Haji secara tahunan.
  5. Sijil Takaful tidak akan diperbaharui sekiranya pendeposit melebihi had umur 65 tahun (hari lahir berikutnya) atau baki akaun kurang daripada RM100.
  6. Pendeposit boleh menamatkan sijil Takaful pada bila-bila masa dengan memaklumkan kepada pengendali Takaful yang dilantik.
  7. Bayaran langganan yang telah dibayar tidak akan dikembalikan sekiranya langganan ditamatkan atas apa jua sebab sekalipun.
  8. Penerima manfaat yang dinamakan mestilah:
    – Mempunyai akaun Tabung Haji.
    – Berumur 18 tahun dan ke atas
  9. Pendeposit tertakluk kepada 3 bulan tempoh menunggu (waiting period) bagi kematian/hilang upaya kekal dan menyeluruh semulajadi (natural death/TPD) dan tiada tempoh menunggu bagi kematian/hilang upaya kekal dan menyeluruh disebabkan kemalangan.
  10. Tuntutan boleh dibuat dengan muat turun borang tuntutan di pautan yang disediakan di laman utama THiJARI dan dihantar terus kepada pengendali Takaful.
  11. Tuntutan hanya boleh dibuat sekali sahaja oleh penerima manfaat dan tidak boleh dipindah milik.
  12. Urusan Infaq daripada jumlah perlindungan diuruskan sepenuhnya oleh pengendali Takaful.

Cara Mendaftar

Untuk mendaftar, pendeposit boleh membuat pendaftaran seperti berikut:

  • 18 tahun dan ke atas: Pendeposit boleh mendaftarkan untuk diri sendiri melalui web/aplikasi THiJARI.
  • Bawah 18 tahun: Pendeposit bawah 18 tahun hendaklah didaftarkan melalui web/aplikasi THiJARI ibu/bapa/penjaga yang menguruskan Akaun Jagaan tersebut.

Maklumat Lanjut

Untuk maklumat lanjut mengenai TH Khairat, layari laman web https://www.tabunghaji.gov.my/ms/simpanan/perkhidmatan/th-khairat.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: