TPSM: Tatacara Tuntutan Skim Takaful Pelajar Sekolah Malaysia

Tahukah anda bahawa pelajar sekolah di Malaysia di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dilindungi oleh takaful apabila mereka mengalami kemalangan?

Skim Takaful Pelajar Sekolah Malaysia (TPSM) merupakan skim takaful pelindungan di bawah Takaful Malaysia bagi murid-murid di sekolah di seluruh Malaysia.

TPSM memberikan pelindungan kepada murid-murid 24 jam sehari dan 7 hari seminggu dan ianya percuma kepada seluruh murid di Malaysia.

Jika berlaku kemalangan melibatkan murid-murid terbabit di mana-mana sahaja di seluruh dunia, mereka boleh membuat tuntutan menerusi TPSM dan akan memperoleh manfaat mengikut skop perlindungan yang telah ditetapkan.

Skop Perlindungan

Terdapat 5 skop pelindungan yang boleh dituntut oleh ibu bapa murid tersbut sekiranya berlaku kemalangan iaitu:

  • Kematian akibat kemalangan: RM5,500.00
  • Lumpuh berkekalan seluruh anggota akibat kemalangan: RM22,000.00
  • Terpisah atau hilang anggota kedua-dua tangan, kaki, atau mata: RM22,000.00
  • Terpisah atau hilang anggota salah satu tangan, kaki, atau mata: RM11,000.00
  • Khairat Kematian: RM1,500.00
  • Tuntutan Elaun Tunai Hospital bagi setiap hari yang dimasukkan ke hospital kerajaan/swasta tidak melebihi 60 hari berturut-turut: RM25.00 sehari
  • Elaun Kerusi Roda: RM1,000.00

Tatacara Tuntutan

Setiap tuntutan mestilah dibuat dalam tempoh 30 hari dari tarikh kemalangan yang dialami oleh murid terbabit.

Tatacara untuk membuat permohonan adalah seperti berikut:

  1. Ibu bapa perlu membawa dokumen berkaitan kemalangan kepada pihak sekolah.
  2. Pihak sekolah perlu memuat turun borang tuntutan di pautan https://www.moe.gov.my/muat-turun/lain-lain/bantuan-pembelajaran-1/skim-perlindungan-murid-1/skim-tpsm/3143-borang-tuntutan/file.
  3. Pihak sekolah perlu mengisi borang tuntutan tersebut dengan lengkap dan betul.
  4. Setelah siap, borang tuntutan, dan dokumen berkaitan perlu dihantar ke mana-mana pejabat Cawangan Takaful Malaysia atau dihantar terus kepada:

    Urusetia Tuntutan TPSM
    Syarikat Takaful Malaysia Berhad,
    Tingkat 19, Blok Utama, Menara Takaful Malaysia,
    No. 4 Jalan Sultan Sulaiman,
    50000 Kuala Lumpur, Malaysia.

Dokumen Berkaitan

Dokumen berkaitan yang perlu dikemukakan bersama borang tuntutan adalah seperti berikut:

i) Tuntutan Kematian Akibat Kemalangan

  • Laporan Polis (Kematian kemalangan sahaja).
  • Salinan Sijil Kematian/Permit menguburkan.
  • Salinan Sijil Kelahiran, Muka Hadapan Buku.
  • Bank/Penyata Bank & Kad Pengenalan Penerima.
  • Bayaran Tuntutan Takaful

ii) Tuntutan lumpuh berkekalan/terpisah atau hilang anggota

  • Borang Tuntutan TPSM (diisi lengkap) bersama-sama dokumen sokongan termasuk gambar sebelum dan selepas kemalangan dan Laporan Perubatan/Pakar (kos laporan ditanggung oleh waris).
  • Laporan Polis.
  • Salinan Sijil Kelahiran.
  • Muka hadapan buku bank/penyata bank & kad pengenalan penerima bayaran tuntutan takaful.

iii) Khairat Kematian

  • Borang Tuntutan TPSM (diisi lengkap).
  • Salinan Sijil Kematian/Permit Menguburkan.
  • Salinan Sijil Kelahiran.
  • Muka hadapan buku bank/penyata bank & kad pengenalan penerima bayaran tuntutan takaful.

iv) Tuntutan Elaun Tunai Hospital

  • Borang Tuntutan TPSM (diisi lengkap).
  • Pengesahan Rawatan/Ward Chit/Discharge Note.
  • Salinan Sijil Kelahiran.
  • Muka hadapan buku bank/penyata bank & kad pengenalan penerima bayaran tuntutan takaful.

v) Elaun Kerusi Roda

  • Borang Tuntutan TPSM (diisi lengkap) bersama-sama dokumen sokongan termasuk gambar sebelum dan selepas kemalangan dan Laporan Perubatan/Pakar (kos laporan ditanggung oleh waris).
  • Salinan bil asal pembelian Kerusi Roda
  • Salinan Sijil Kelahiran
  • Muka hadapan buku bank/penyata bank & kad pengenalan penerima bayaran tuntutan takaful.

Pertanyaan Lanjut

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Urusetia Tuntutan TPSM di talian 03-22681984 atau talian bebas tol 1-800 387180.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: