Ujian SEGAK KPM: Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan

Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan Untuk Murid Sekolah Malaysia (SEGAK) merupakan ujian standard kecergasan fizikal bagi mengukur tahap kecergasan fizikal murid berdasarkan kesihatan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Komponen kecergasan dalam ujian ini terkandung dalam kurikulum Pendidikan Jasmani
sekolah rendah dan sekolah menengah.

Kajian yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sejak tahun 1986 hingga kini menunjukkan kadar peningkatan peratus rakyat Malaysia mengidap penyakit kronik, penyakit tidak berjangkit, dan obesiti adalah amat membimbangkan.

Oleh kerana itu, masyarakat Malaysia perlu mengubah cara hidup sedentari kepada cara hidup aktif dan sihat dengan memberi fokus kepada meningkatkan tahap kecergasan fizikal.

Mengenai Ujian SEGAK

Pada tahun 2008 SEGAK mula dilaksanakan kepada murid Tahun 4 hingga Tingkatan 5 yang berumur 10 tahun hingga 17 tahun. SEGAK dilaksanakan secara pentaksiran sekolah dan skor murid direkodkan.

Pelaporan SEGAK memberi maklum balas kepada murid, guru, pentadbir sekolah, ibu bapa, dan pihak berkepentingan tentang tahap kecergasan fizikal murid.

Melalui maklum balas tersebut tindakan susulan dapat dirancang dan dilaksanakan
bagi meningkatkan tahap kecergasan fizikal seseorang murid.

Ujian ini dijalankan secara sistematik wajib dijalankan dua kali setahun pada bulan Mac dan Ogos serta untuk memotivasikan murid untuk mengamalkan cara hidup aktif dan sihat selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Melalui ujian ini, murid dilatih supaya lebih bertanggungjawab dalam membina masyarakat yang sihat, cergas, bersatu padu, dan harmoni ke arah mencapai kesejahteraan negara.

Objektif Ujian SEGAK

Melalui ujian ini, murid akan dapat:

  • Mengukur dan merekodkan tahap kecergasan fizikal kendiri.
  • Menganalisis dan mentafsir kecergasan fizikal kendiri.
  • Mengetahui tahap kecergasan fizikal kendiri.
  • Merancang dan melakukan tindakan susulan bagi meningkatkan tahap kecergasan fizikal.
  • Mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat untuk mencapai tahap kecergasan fizikal berdasarkan kesihatan yang optimum.

Pelaksanaan Ujian

Ujian ini dilaksanakan menerusi kaedah berikut:

  1. Semua murid Tahun 4 hingga Tingkatan 5 yang berumur 10 tahun hingga 17 tahun wajib menjalani Ujian Kecergasan Fizikal yang dicadangkan dalam panduan ini.
  2. Prosedur dan teknik ujian hendaklah mengikut jantina, keupayaan murid, dan mengambil kira peralatan serta tempat ujian dijalankan.
  3. Umur murid dikira pada 31 Disember tahun semasa untuk rujukan norma.
  4. Ujian ini bagi setiap murid mesti dilengkapkan pada hari yang sama. Ujian ini boleh dijalankan semasa atau di luar waktu pengajaran Pendidikan Jasmani bergantung kepada bilangan murid dan peralatan.
  5. Murid digalakkan membuat latihan ujian ini secara individu, bersama-sama rakan atau keluarga mereka.
  6. Bateri Ujian Kecergasan Fizikal Berdasarkan Kesihatan yang terdapat dalam SEGAK adalah seperti berikut:
    – Indeks Jisim Badan (Body Mass Index – BMI)
    – Naik Turun Bangku 3 minit
    – Tekan Tubi untuk murid lelaki dan Tekan Tubi Ubah Suai untuk murid perempuan
    – Ringkuk Tubi Separa
    – Jangkauan Melunjur.
  7. Ukuran Indeks Jisim Badan (BMI) perlu dibuat sebelum melakukan ujian-ujian lain.
  8. Ujian ini mesti dilaksanakan mengikut turutan secara berterusan oleh murid yang sama.
  9. Ujian ini perlu dilaksanakan sebanyak dua kali setahun iaitu pada bulan Mac dan Ogos.
  10. Bagi murid yang tidak sihat, ujian ini boleh dilakukan pada hari lain dalam bulan yang sama.
  11. Bagi murid berkeperluan khas tidak perlu menjalani ujian ini kerana ujian ini adalah khusus untuk murid-murid normal.

Komponen Ujian

Terdapat 5 komponen ujian iaitu:

  • Indeks Jisim Badan
  • Ujian Naik Turun Bangku 3 Minit
  • Tekan Tubi
  • Tekan Tubi Ubah Suai
  • Ringkuk Tubi Separa
  • Jangkauan Melunjur

Dokumen Lengkap

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: