Ayat Majmuk: Maksud, Jenis, & Contoh Penggunaanya

Jika ayat tunggal ialah ayat yang mempunyai satu subjek dan predikat, ayat majmuk pula ialah ayat yang menggabungkan beberapa ayat tunggal.

Dalam erti kata yang lain, ayat majmuk wujud disebabkan wujudnya gabungan dua atau lebih ayat tunggal.

Lazimnya, ayat ini lebih panjang dan sesuai digunakan di dalam penulisan karangan yang melibatkan penghujahan isi dan fakta yang dibincangkan.

Jenis Ayat Majmuk

Terdapat tiga jenis ayat ini di dalam tatabahasa iaitu:

  • Ayat majmuk gabungan
  • Ayat majmuk pancangan
  • Ayat majmuk campuran

Ayat Majmuk Gabungan

Ayat majmuk gabungan ialah ayat yang terdiri daripada dua atau lebih ayat tunggal.

Lazimnya, ayat ini digabungkan menggunakan kata hubung seperti dan, tetapi, sambil, serta, kecuali, dan sebagainya.

Contoh ayat: Murid-murid berlari dan bernyanyi.

Dalam ayat tersebut, terdapat dua ayat tunggal iaitu “Murid-murid berlari” dan “Murid-murid bernyanyi.”

Namun ayat tersebut menjadi kata majmuk apabila digabungkan dengan kata hubung “dan” dan menjadi satu ayat.

Ayat Majmuk Pancangan

Ayat majmuk pancangan terdiri daripada beberapa ayat yang kedudukan antara ayat tidak sama.

Ini bermaksud, satu ayat utama (ayat induk) dan satu atau beberapa ayat kecil dipancangkan dalam ayat utama.

Terdapat 3 jenis ayat pancangan iaitu:

  • Ayat relatif: mempunyai kata hubung “yang”
  • Ayat komponen: “bahawa,” “untuk,” “supaya”
  • Ayat keterangan: “kerana,” “dengan,” “apabila,” “jika,” “kalau,” “semenjak,” “sewaktu,” sungguhpun,” “walaupun,” “semoga,” dan “ketika.”

Contoh ayat majmuk pancangan mengikut jenis:

  • Ayat relatif: Saya membeli baju yang berwarna merah.
  • Ayat komponen: Dia menerangkan bahawa murid itu sakit.
  • Ayat keterangan: Anak itu menangis kerana lapar.

Ayat Majmuk Campuran

Ayat majmuk campuran ialah ayat yang mengandungi lebih daripada satu jenis ayat.

Ini bermakna ayat majmuk campuran terdiri daripada sekurang-kurangnya satu ayat tunggal dan satu ayat majmuk.

Contoh ayat majmuk campuran adalah seperti berikut: Hanif sedang membaca buku tetapi kawan-kawannya yang sudah letih telah lama tidur.

Dalam ayat ini, ayat “Hanif sedang membaca buku” ialah ayat tunggal dan “Kawan-kawannya yang sudah letih telah lama tidur” ialah ayat majmuk relatif.

Maklumat Lanjut

Bagi mengetahui lebih lanjut, sila tonton video berikut di pautan https://www.youtube.com/watch?v=EkVYEHeOmAg.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: