Koleksi Pantun Merdeka Sempena Bulan Kebangsaan

Untuk menyemarakkan bulan Kemerdekaan, terdapat banyak cara untuk menyemai sikap patriotik dan cinta akan negara antaranya menerusi pantun merdeka.

Tidak hanya puisi dan sajak, pantun juga dijadikan medium yang popular untuk menyampaikan mesej-mesej kemerdekaan kepada orang ramai.

Namun untuk membina pantun, terdapat aturan yang perlu diikuti bagi memastikan pantun yang dihasilkan adalah tepat dan betul.

Aturan Penulisan Pantun

Pantun merupakan puisi tradisional daripada masyarakat Melayu sejak zaman berzaman lagi.

Pantun lazimnya terdiri daripada 4 baris serangkap, 4 perkataan sebaris, mempunyai rima a, b, a, dan b, dengan beberapa variasi dan pengecualian.

Tiap-tiap rangkap terbahagi kepada 2, iaitu rangkap pembayang dan rangkap maksud.

Setiap rangkap tidak dapat berdiri dengan sendiri dan biasanya rangkap tersebut memerlukan beberapa rangkap lain untuk melengkapkan keseluruhan idea.

Koleksi Pantun Merdeka

Antara koleksi pantun Merdeka yang boleh dijadikan panduan adalah seperti berikut:

Laungan merdeka suara keramat,
Ribuan hadir pelbagai bangsa,
Malaysia kini negara berdaulat,
Semangat berjuang penuh perkasa.

Beratus tahun negara dijajah,
Portugis Belanda Inggeris dan Jepun,
Kini Malaysia berdiri megah,
Pelbagai langkah telah disusun.

66 tahun telah berlalu,
Negara kita mencapai merdeka,
Rakyat Malaysia berganding bahu,
Menjaga keharmonian negara tercinta.

Jalur Gemilang Bendera Malaysia,
Berkibar megah kebanggaan kita,
Sambutan kemerdekaan besar ertinya,
Hindar dijajah, jauhi sengketa.

Bendera berkibar di rumah Pak Agos,
Di halaman rumah pasang pelita,
Menjelang tiba Tiga Puluh Satu Ogos,
Tarikh kemerdekaan negara kita.

Bersyukur menjadi rakyat Malaysia,
Bumi bertuah indah permai,
66 tahun kita merdeka,
Rakyat hidup aman damai.

Setiap tahun menyambut merdeka,
Jalur gemilang berkibar megah,
Sejarah negara jangan dilupa,
Beratus tahun kita dijajah.

Kaum melayu, Cina dan India,
Hidup sejahtera bersatu padu,
Jasa pemimpin jangan dilupa,
Rakyat terbilang negara maju.

Para pemimpin silih berganti,
Menyumbang idea kemajuan negara,
Kita isi kemerdekaan ini,
Membina peradaban negara tercinta.

16 September tarikh keramat,
Hari Malaysia jangan dilupa,
Bersatu berazam penuh semangat,
Mari pertahankan kemerdekaan kita.

Buah nangka dibuat makan,
Menjamu selera saudara mara,
Hari merdeka kita raikan,
Majunya negara rakyat sejahtera.

Barang yang lepas usah dikenang,
Lantaran sudah jadi tersia,
Merdeka menjadi suatu laungan,
Tandanya kita rakyat Malaysia.

Mencari umpan menangkap ikan,
Buat santapan orang berkelana,
Laungan Merdeka menjadi kebanggaan,
31 Ogos peristiwa bermakna.

Sumber: https://tunascipta.jendeladbp.my/2022/11/17/3561/

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: