Contoh Sajak Kemerdekaan Sempena Bulan Kemerdekaan

Sempena Bukan Kemerdekaan, terdapat banyak sajak kemerdekaan yang boleh dijadikan panduan yang dikarang oleh tokoh-tokoh bahasa negara.

Sajak kemerdekaan ini dikarang bagi membangkitkan semangat patriotik dan cintakan negara kepada seluruh rakyat Malaysia.

Berikut merupakan sajak yang sering digunakan sempena bulan kemerdekaan ini:

Senarai Sajak Kemerdekaan

i) Merdeka Malaysia MADANI

Merdekakah kita?

Andai masih kabur mentafsir perpaduan Langkah yang diatur kadang tak sehaluan Arah yang dituju adakala bertentangan Yakinkah kita?

Sudah benar-benar merdeka di jiwa

ltizam dan tekad bersatu bersama

Agar Malaysia terus aman, makmur dan sejahtera?

Merdekakah kita?

Andai beza masih dicari dan dikira

Dalam bicara masih ada aku, kau dan dia

Ada jurang tak terlihat tapi ketara

Nampak sama tapi nyata dibeda-beda Inikah yang dikatakan merdeka yang sebenar?

Oleh: TPr Rosmizawati binti Mohamed Salleh
Bahagian Rancangan Fizikal Negara
Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia)

ii) Damai (Tanah Airku dan Dunia)

Sisa hidup ini hendak kita pelihara juga tanah, pohon dan buah-buah juga tulang, daging dan darah

Jangan suara jadi parau di musim kemarau.

Tapi tanah kami sudah kerecikan api lama bermula, tidak hilang sampai kini dan meski tawaran damai sudah diberi orang masih tidak peduli!

Pohon getah dan tanah mengandung bijih rebutan manusia daerah asing kita gali kubur dan masuk berdiam di dalamnya!

Damai – seruan dan tawaran

Damai – untuk tanahairku dan kemerdekaan

Damai – untuk dunia dan kesejahteraan!

Oleh: Usman Awang
Mastika, Ogos 1955.

iii) Tanah Air

Engkau Tanah Air
pemilik perut yang berbudi
penampung hujan penyedut sinar mentari
lahirlah anakmu dari semaian petani

Engkau Ibu Murni
dengan jasa abadi
berdetik didenyut nafas kami
kerna kita satu sama dipunyai

Telah kau rasa
segala seperti kami
dalam ngeri perang dadamu dibongkar besi
di mana-mana wajahmu tak pernah mati

Tapi begitu
sejarah hidup zaman berzaman
pernah merangkul pahlawan kemerdekaan
mereka sujud dalam kaku
mohon perlindungan

Bukankah dengan
kasih dan harapan
kau tenggelamkan mereka dalam dakapan
di mana bunga ganti nisan bertaburan

Negara baru
di atas rongga jantungmu
akan tertegak bertapak dalam kebebasan
cinta antara kita wahyu dari Tuhan.

Oleh: Usman Awang
Tongkat Warrant

iv) Erti Sebuah Kemerdekaan

Kita sudah sampai di lereng amat indah, di bawah
pelangi, dalam ufuk yang masih mencabar;
dan kita ikhlas berjanji untuk bermaruah,
tenang dalam segala uji cabar dan debar.
Kita mencari hanya yang tulen dan jati,
sekata hidup, mengerti dan berbudi.
 
Kita wajar mendaki lagi kerana puncak
yang jauh. Dalam gelora dan taufan
tak tercalar tekad kita kerana kemerdekaan
mengasuh kita bersuara dalam sopan,
yakin menyanggah musuh, tulus menambah kawan,
inti tonggak dan menara kebahagian.
 
Kita datang bersama anak-anak yang sedia
menyanyi – sihat, teguh, bertekad dan berani.
Mengelilingi tasik, mendaki gunung, kita
mengajar mereka berjiwa besar dan berbakti.
Tanah air akan indah, megah dan bermaruah
jika kita sentiasa mensyukuri anugerah Allah;
dan bumi akan subur, makmur dan mewah
jika kita bekerja dan berikrar hidup bersama.
 
Tanah air memberi banyak, mesra mendakap kita,
kemerdekaan mendorong kita berdiri dan berbakti.
Dan kita sudah sampai di lereng indah, pasti
tetap mendaki juga, menyanggah musuh, menambah
kawan tanpa jenuh, khuatir, juga tanpa rawan.
Dan dalam alaf baru semangat kita wajar padu,
berjalan kita atas nama tanah air dan bangsa –
bangga kerana merdeka, megah kerana bahagia.
 
Anak-anak kita bakal datang tangkas dan berilmu;
dan kita, dalam sejarah, bakal syahdu dan bangga,
kerana awan yang indah, lapis pelangi lebih mesra,
wajah diri dan inti peribadi kita tunjang bagi
kehidupan dan kemerdekaan bangsa yang sentiasa
sedia belajar mengerti dan tekun hidup bersama.

Oleh: A Samad Said

v) Pada Tanah yang Indah

Dalam mata yang bersih merayap cahaya jernih
aku sama menagih kemerdekaan kekasih,
dalam dada yang mesra tenang telaga cinta
aku janji setia membela tanah pusaka.

Kira ribut mendurja mengancam tanah yang indah
setapak tiada kurela untuk melutut kecewa,
biar peluru selaksa mendendam liar mangsanya,
untuk kekasih pusaka hatiku tetap rela.

Dalam lari berlari berbaja kasih di hati
azam besi berumbi: melebur penjajah di bumi!

Dalam rindu berpadu,
hitam dendam terpendam
aku terlalu merindu fajar cemerlang menjelang.

Hati ini seluruh kasihkan kekasih sepenuh,
beri janji yang teguh hingga badanku luluh!

Oleh: A Samad Said

vi) Lidah Bangsa

Lidah bangsaku tiba-tiba kelu
di hujung satu dekad abad ke-21
buana yang resah benua tidak tentu
akan segala yang mungkin alaf baru,
ketika kuasa-kuasa bertukar haluan
krisis ekonomi gelegak di tangan
budaya hidup yang terencat
sosial manusia yang bejat
di sisi globalisasi liberalisasi
bangsaku hilang berani.

Dari dahulu di bumi merdeka ini
bangsaku bingkas
bangun berdiri
bersatu langkah sederap serentak
yakin bangunkan nusa yang hebat
dimalui disegani dihormati orang
atas kekuatan aneka macam
taat setia rakyat menjulang
satu padu bukan kepalang
sepakat nikmat kemakmuran,
jika muncul aliran baru alur fikir
menerjah tanpa nyata batin zahir
nusa ini akan nanar
jadi pohon tidak berakar.

Oleh: A. Aziz Deraman

vii) Merdeka Jiwa

Sebermula
Merdeka bermula di jiwa
Merdeka daripada syirik kepada Yang Esa
Merdeka daripada tahayul, khurafat dan wasangka.

Merdeka daripada takluk kepada dunia
Merdeka daripada perhambaan kepada manusia
Merdeka daripada mendewa-dewakan penguasa

Merdeka daripada tuntutan hawa
Merdeka daripada sifat lagha
Merdeka daripada hasad, khianat dan haloba

Merdeka daripada penjajahan minda
Merdeka daripada dualisme
Merdeka daripada sekularisme

Merdeka daripada kejahilan atma
Merdeka daripada kejumudan idea
Merdeka daripada ujub dan riyak

Oleh: Awang Sariyan

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: