Doa Akhir Tahun 1444H Beserta Maksudnya

Sempena berakhirnya tahun 1444H, marilah kita mengakhiri penghujung tahun dengan membaca doa akhir tahun.

Untuk tahun ini, doa akhir tahun akan dibaca sebelum masuk waktu Maghrib (akhir waktu Asar atau selepas solat Asar) pada 30 Zulhijah 1444H iaitu pada hari Selasa.

Ini kerana berdasarkan kalendar Islam, pertukaran tarikh hijri (hijrah) bermula selepas masuknya waktu Maghrib.

Membaca Doa Akhir Tahun

Perkara mengenai membaca doa akhir tahun, Jabatan Mufti Negeri Perak telah mengeluarkan perkongsian mengenai perkara ini.

Apabila menyambut tahun baru Hijrah, maka terdapat doa-doa yang dibacakan oleh para imam menjelang masuknya waktu Maghrib iaitu doa untuk akhir tahun dan disusuli dengan doa awal tahun selepas alunan azan.

Menurut catatan daripada Dar al-Ifta’ al-Misriyyah bahawa doa-doa ini sebenarnya telah pun diamalkan oleh segolongan ulama dari aliran mazhab Hanbali lebih kurang 1000
tahun yang lalu.

Malah, mereka turut mengajarkan doa-doa tersebut serta mewasiatkannya kepada para ulama yang sealiran dengan mereka yang antaranya termasuklah al-Syeikh al-Imam al-Waliyy al-Soleh Abu ‘Umar al-Maqdisiyy Muhammad bin Ahmad bin Muhammad bin Qudamah al-Hanbaliyy yang juga merupakan saudara kandung kepada al-Imam al-‘Allamah al-Muwaffiq bin Qudamah, pengarang kitab al-Mughniyy dalam mazhab Hanbali.

Doa akhir dan awal tahun ini telah tercatat di dalam kitab Mir’ah alZaman fi Tawarikh al-A‘yan, jilid 22 pada halaman 180 hingga 181:

Teks Doa Akhir Tahun

Antara doa yang boleh diamalkan adalah seperti berikut:

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ

الحَمْدُ لِلّٰهِ رَبِّ العَالَمِينَ، وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّـدِنَا مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ. اَللَّهُمَّ مَا عَمِلْنَا فِى هَذِهِ السَّنَةِ مِمَّا نَهَيْتَنَا عَنْهُ فَلَمْ نَتُبْ مِنْهُ، وَلَمْ تَرْضَهُ وَلَمْ تَنْسَهُ، وَحَلِمْتَ عَلَيْنَا بَعْدَ قُدْرَتِكَ عَلَى عُقُوبَتِنَا إِلَى التَّوْبَةِ مِنْهُ بَعْدَ جَرَاءَتِنَا عَلَى مَعْصِيَتِكَ، فَإِنَّنَا نَسْتَغْفِرُكَ فَاغْفِرْ لَنَا، وَمَا عَمِلْنَا مِمَّا تَرْضَاهُ، وَوَعَدْتَنَا عَلَيْهِ الثَّوَابَ، فَنَسْأَلُكَ اللَّهُمَّ يَا كَرِيمُ يَا ذَاالجَلاَلِ وَالإِكْرَامِ، أَنْ تَتَقَبَّـلَهُ مِنَّا وَلاَ تَقْطَعْ رَجَاءَنَا مِنْكَ يَا كَرِيمُ. رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِى الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى الأَخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. وَصَلَّى اللهُ وَسلَّمَ عَلَى سَيـِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ وَالحَمْدُ لِلّٰهِ رَبِّ العَالَمِينَ

Maksudnya:

Ya Allah, apa-apa tegahan dan larangan-Mu yang kami lakukan sepanjang tahun ini dan kami belum bertaubat daripadanya sedangkan Engkau tidak lupa dan tidak meredhainya, Engkau juga telah berlemah-lembut kepada kami sedangkan Engkau berkuasa memaksa kami bertaubat daripada perbuatan maksiat yang sengaja kami lakukan, maka sesungguhnya kami memohon keampunan-Mu.

Apa-apa perbuatan kami sepanjang tahun ini yang Engkau redhai dengan pemberian pahala yang Engkau janjikan, maka dengan kemuliaan dan kebesaran-Mu, kami memohon dan berharap menerimanya, dan janganlah Engkau hampakan harapan kami kepada-Mu.

Amin ya Rabbal ‘alamin.

Sumber: https://www.mkn.gov.my/web/ms/2022/07/29/perkongsian-doa-akhir-tahun-dan-awal-tahun-hijrah/

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: