Garis Panduan Penubuhan Sekolah Swasta KPM
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mewujudkan garis panduan penubuhan sekolah swasta bagi individu atau pihak yang ingin menubuhkan sekolah swasta di dalam negara.
Semua jenis sekolah swasta adalah diwajibkan berdaftar mengikut seksyen 79 di bawah Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).
Pendaftaran sekolah swasta ini hendaklah dibuat di Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing.
Tindakan Tidak Berdaftar
Sekolah yang tidak berdaftar akan diambil tindakan oleh Bahagian Pendidikan Swasta di bawah Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) yang boleh mengenakan penalti sebanyak RM30,000.00 atau 2 tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Syarat Umum
Berikut adalah syarat umum yang perlu dipenuhi sebelum sesebuah sekolah dibenarkan pendaftarannya:
- Mengemukakan borang kelulusan penubuhan dari Jabatan Pendidikan Negeri.
- Premis pendidikan yang hendak digunakan hendaklah mendapat kelulusan dari Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Pejabat Kesihatan.
- Mengemukakakan nama-nama pengelola, guru dan pekerja institusi pendidikan.
- Memenuhi kelulusan kursus/mata pelajaran bilik darjah, bilik khas/makmal lain yang ditetapkan.
- Membayar yuran pendaftaran seperti yang ditetapkan.
Syarat Wajib
Syarat-syarat wajib bagi permohonan penubuhan sekolah swasta adalah seperti berikut:
- Perlu memuat naik dokumen ke dalam sistem automasi iaitu https://idme.moe.gov.my/login.
- Institusi swasta ini hendaklah dimiliki oleh syarikat berdaftar di bawah Akta Syarikat 1965 atau Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 atau organisasi yang didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan.
- Syarikat/Organisasi hendaklah membuktikan keupayaan kewangan.
- Syarat-syarat lain yang ditetapkan pada borang permohonan penubuhan.
Proses Penubuhan
Sebelum sesebuah sekolah swasta dibenarkan untuk didaftar, kelulusan penubuhan hendaklah diperolehi terlebih dahulu.
Permohonan kelulusan penubuhan bagi IPS hendaklah dimuat naik ke dalam sistem automasi MOEIS di pautan https://emisonline.moe.gov.my/ dan diserahkan salinan kepada Jabatan Pendidikan Negeri.
Selepas JPN meluluskan permohonan penubuhan sekolah swasta tersebut, ianya akan dipanjangkan kepada Bahagian Pendidikan Swasta untuk pendaftaran institusi.
Selepas permohonan penubuhan tersebut diluluskan, pemohon berkenaan hendaklah mengemukakan permohonan pendaftaran dengan Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing.
Info Lanjut
Info lanjut mengenai garis panduan penubuhan sekolah swasta, sila layari laman web https://www.moe.gov.my/bpswasta.