Gelaran Profesional di Malaysia: Maksud Ar, Ir, Sr, Ts, Gs

Di Malaysia, kita mempunyai pelbagai gelaran profesional untuk pelbagai bidang kepakaran yang ada di dalam negara.

Gelaran ini lazimnya diletakkan di awalan nama seseorang, seperti Ir Hashim sekiranya Hashim merupakan seorang Jurutera Profesional yang diiktiraf.

Namun sebenarnya terdapat banyak gelaran profesional lain yang terdapat di dalam negara antaranya Ar, Ir, Sr, Ts, Gs dan lain-lain lagi.

Oleh itu, mari kita ketahui maksud setiap gelaran professional yang ada di dalam negara.

Maksud Gelaran Profesional

i) Maksud Ar

Gelaran Ar adalah merupakan singkatan kepada Arkitek Profesional.

Di Malaysia, sebelum anda ingin mendapatkan gelaran ini, anda dikehendaki memiliki tahap kelayakan yang ditetapkan oleh Lembaga Arkitek Malaysia (LAM).

Mereka perlu melalui tiga peringkat peperiksaan iaitu LAM Bahagian I, II, dan III untuk melayakkan mereka diiktiraf sebagai arkitek.

Graduan program Senibina hendaklah mendaftar dengan Lembaga Arkitek Malaysia (LAM) sebagai graduan Senibina dan mendaftar dengan Institut Arkitek Malaysia (PAM) sebagai ahli siswazah.

Dalam tempoh ini, mereka mesti memperoleh pengalaman kerja 2 tahun yang mana 1 tahun mesti diperolehi di Malaysia dalam amalan Arkitek yang berdaftar dengan LAM.

Apabila mereka sudah bersedia dan telah melengkapkan semua keperluan projek yang ditetapkan oleh LAM dan menyerahkan laporan penilaian, mereka perlu mengambil peperiksaan LAM Bahagian III sebelum menjadi ahli korporat PAM dan Arkitek profesional berdaftar dengan LAM.

ii) Maksud Ir

Gelaran Ir pula merupakan gelaran profesional kepada Jurutera Profesional.

Apabila graduan tamat pengajian, seorang jurutera perlu mendaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia untuk menjadi jurutera siswazah.

Mereka kemudiannya dikehendaki menjalani praktikal selama beberapa tahun dengan diawasi oleh jurutera profesional sebelum boleh memohon untuk menduduki Temuduga Profesional (dengan IEM atau The Institution of Engineers Malaysia).

Sekiranya lulus, mereka boleh memohon kepada Board of Engineers (BEM) untuk menjadi Jurutera Profesional bagi melayakkan menggunakan gelaran Ir.

iii) Maksud Sr

Gelaran Sr merupakan gelaran bagi seorang Juruukur Profesional.

Untuk mendapatkan gelaran ini, mereka perlu memohon kepada RISM (Royal Institute of Surveyor Malaysia) iaitu pemilik berdaftar tanda perakuan Sr.

Di dalam Perkara 13 daripada Perlembagaan RISM, mana-mana individu yang berkelayakan sama ada Felo atau ahli RISM berhak untuk menggunakan gelaran Sr sebelum nama mereka.

iv) Maksud Ts

Gelaran Ts merupakan gelaran profesional bagi Juruteknologi Profesional di bawah kawal selia Lembaga Teknologi Malaysia atau Malaysia Board of Technologists (MBOT).

Mereka daripada Juruteknologi Siswazah boleh memohon untuk menjadi Juruteknologi Profesional selepas mendapat pengalaman praktikal yang ditentukan oleh Lembaga Pengarah (minimum 3 tahun pengalaman bekerja dalam bidang teknologi dan teknikal yang berkaitan), membayar yuran yang ditetapkan, serta mematuhi semua kriteria yang ditentukan oleh Lembaga Pengarah.

v) Maksud GS

Gelaran Gs pula merujuk kepada Geospatial Profesional.

Gelaran ini baru sahaja diwujudkan iaitu sekitar tahun 2016.

Gelaran ini diperkenalkan oleh Institusi Geospatial dan Remote Sensing Malaysia (IGRSM) kepada ahlinya sebagai sebahagian daripada inisiatif IGRSM untuk meningkatkan pengiktirafan terhadap peranan pengamal geospatial dalam kedua-dua sektor awam dan swasta.

Maklumat Lanjut

Maklumat lanjut mengenai gelaran professional ini, sila layari:

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: