Sambutan Hari Malaysia 16 September: Tema & Acara Sambutan

Satu lagi sambutan utama negara bagi setiap tahun adalah sambutan Hari Malaysia yang disambut pada 16 September.

Hari Malaysia merupakan hari yang disambut untuk memperingati pembentukan Persekutuan Malaysia antara Tanah Melayu, Sabah, dan Sarawak yang berlaku pada 16 September 1963.

Di peringkat kebangsaan, sambutan pada tahun 2023 akan dijalankan di Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak bermula jam 7.00 malam.

Sejarah Pembentukan Malaysia

Hari Kemerdekaan Malaysia atau juga dikenali sebagai Hari Merdeka disambut sempena memperingati tanggal 31 Ogos 1957 apabila Perdana Menteri pertama Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah mengisytiharkan kemerdekaan Tanah Melayu daripada British.

Pada ketika itu, Perdana Menteri pertama melaungkan ‘Merdeka’ sebanyak 7 kali dan upacara diteruskan dengan majlis mengibarkan Bendera Negara Malaya dan lagu kebangsaan ‘Negaraku’.

Selepas Hari Merdeka, terdapat beberapa perjanjian dan perbincangan antara pemimpin negara untuk mengukuhkan kedudukan persekutuan Tanah Melayu menentang anasir luar.

Oleh itu, Tunku Abdul Rahman mencadangkan penggabungan 3 negara jiran iaitu Borneo Utara (kini dikenali sebagai Sabah), Sarawak dan Singapura.

Hasil rundingan tersebut, wujudlah gabungan 4 wilayah ini untuk membentuk sebuah negara baru bernama Malaysia pada 16 September 1963.

Perbezaan Hari Kebangsaan & Hari Malaysia

Perbezaan utama kedua-dua hari ini ialah Hari Kebangsaan disambut untuk memperingati kemerdekaan persekutuan Tanah Melayu daripada jajahan British.

Namun, Hari Malaysia pula disambut bagi memperingati bergabungnya persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Singapura menjadi sebuah negara baru bernama Malaysia.

Cuti Umum

Setiap tahun, Hari Malaysia diisytiharkan sebagai cuti umum bagi seluruh negara bermula pada tahun 2010.

Untuk tahun 2023, tarikh 16 September akan jatuh pada hari Sabtu.

Tema Sambutan

Tema sambutan pada tahun ini ialah sama seperti Hari Kebangsaan 2023 iaitu “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan”.

Namun, terdapat tambahan cogan kata dalam Bahasa Iban iaitu “Segulai Sejalai”, yang membawa maksud “berjalan seringan”, yang turut akan digunakan pada sambutan itu nanti.

Acara Sambutan

Antara acara sambutan pada tahun ini adalah ialah upacara menandatangani Buku Khas, perarakan masuk Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang dan Konsert.

Antara tetamu kehormat yang dijangka hadir ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tan Sri Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Premier Sarawak Tan Sri Dr Abang Johari Tun Openg dan isteri Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Juliah Salang.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/09/1147610/sambutan-hari-malaysia-di-sarawak-pada-16-september

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: