Pendaftaran JSEP: Junior School Enrichment Programs 2022

Ibu bapa yang ingin anak mereka mempelajari pelbagai kursus menarik dalam bidang STEM (Science, Technology, Engineering, and Mathematics) semasa cuti sekolah, mereka boleh menyertai program Junior School Enrichment Programs (JSEP) yang dianjurkan oleh Pusat GENIUS@Pintar Negara.
JSEP merupakan program yang dibangunkan untuk memenuhi keperluan pembelajaran murid dan memperkayakan pengalaman pembelajaran mereka khususnya dalam STEM.
Pada awal penubuhan program ini, Pusat GENIUS@Pintar Negara hanya menawarkan program JSEP untuk pelajar terpilih dan berbakat di Malaysia.
Antara aktiviti menarik yang ditawarkan adalah kuliah, perbincangan dalam kumpulan kecil, kerja makmal, pembentangan pelajar, lawatan ke makmal dan institut penyelidikan serta ceramah oleh pakar yang dijemput khas.
Objektif Program
Objektif program ini dijalankan adalah untuk:
- Membantu pelajar mengembangkan potensi mereka dan menjadi pemikir kritis yang kreatif dan aktif dalam aktiviti inovatif.
- Menyediakan pengalaman pembelajaran holistik di mana pelajar boleh meneroka program akademik di luar kurikulum sekolah.
- Menawarkan peluang kepada pelajar untuk menjalin hubungan antara satu sama lain dan menyediakan aktiviti pembelajaran yang akan mencabar keupayaan kognitif pelajar.
Umur Murid
Program ini hanya ditawarkan kepada murid berumur 7 tahun sehingga 10 tahun sahaja.
Yuran Penyertaan
Yuran penyertaan yang ditawarkan menerusi program ini ialah RM450.00 untuk satu kursus yang merangkumi makan dan minum serta bahan pembelajaran.
Kursus Yang Ditawarkan
Terdapat 10 kursus yang ditawarkan menerusi program ini iaitu:
- Astrokids
- Be A Scientist
- Crime Scene Investigation
- Introduction to DNA Barcoding
- Junior Automotive Club
- Genetic Engineering
- Mathematic Is Fun
- Introduction to Robotics
- Up & Atom
- Young Doctors
Jumlah Hari Program
Untuk tahun ini, program akan dijalankan bagi 2 siri semasa cuti sekolah iaitu pada 28 Mei hingga 30 Mei 2022 dan 26 November hingga 28 November 2022.
Murid dibenarkan memilih hanya satu kursus yang ditawarkan dalam setiap siri atau kedua-dua siri berdasarkan kumpulan umur mereka.
Mereka akan dibimbing oleh tenaga pengajar dan pembantu pengajar yang akan membantu mereka menyesuaikan diri dengan rutin program sepanjang program berlangsung.
Kesemua aktiviti tersebut dijadualkan bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang di kampus Pusat GENIUS@Pintar, UKM Bangi.
Jadual Program
Jadual program yang akan berlangsung dalam kedua-dua siri tersebut adalah seperti berikut:
Aktiviti | Masa |
Ketibaan Murid | 8.00 pagi |
Sarapan | 8.30 pagi |
Sesi 1 | 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari |
Makan Tengah Hari/Aktiviti Bebas | 12.30 tengah hari hingga 2.00 petang |
Sesi 2 | 2.00 petang hingga 5.00 petang |
Bersurai | 5.00 petang |
Tatacara Permohonan
Permohonan program ini boleh dibuat menerusi langkah-langkah berikut iaitu:
- Layari laman web iaitu https://www.ukm.my/geniuspintar/jsep2022/.
- Skrol laman web tersebut dan klik butang siri program yang diinginkan.
- Masukkan email dan klik butang “Register Now.”
- Masukkan maklumat pendaftaran yang diperlukan dan klik butang “Register Participant Information.”
- Buat pembayaran untuk melengkapkan pendaftaran program ini.
Keterangan Lanjut
Keterangan lanjut mengenai program JSEP, sila layari laman web https://www.ukm.my/geniuspintar/jsep2022/.