Kata Kerja Transitif & Tak Transitif: Perbezaan & Contoh

Kata kerja merupakan antara pembelajaran penting yang perlu diketahui di dalam tatabahasa Bahasa Malaysia.

Ini bagi memastikan setiap ayat yang dibina dan yang mempunyai kata kerja adalah betul dalam aspek tatabahasanya.

Oleh kerana itulah, murid-murid di sekolah perlu menguasai perkara ini termasuklah di dalam penulisan.

Maksud Kata Kerja

Di dalam tatabahasa Bahasa Malaysia, terdapat 2 jenis kata kerja.

Sebelum mengetahui mengenai maksud kedua-dua kata kerja ini, adalah penting untuk mengetahui maksud kata kerja terlebih dahulu.

Apakah yang dimaksudkan dengan Kata Kerja?

Kata kerja ialah kata yang digunakan untuk menunjukkan sesuatu perbuatan atau keadaan melakukan sesuatu sama ada oleh manusia, haiwan atau sesuatu benda.

Jenis Kata Kerja

i) Kata Kerja Transitif

Kata kerja ini adalah kata kerja yang diikuti oleh objek iaitu kata nama bagi melengkapkan maksud ayat tersebut. 

Ini boleh dikenal pasti melalui imbuhan di dalam sesuatu perkataan.

ImbuhanContoh PerkataanContoh Ayat
Kata kerja berawalan meN-Mencuci, menendang, menjala, menebangHashim menendang bola di padang.
Kata kerja berawalan Ter-Terlanggar, termakan, terpijakRahman termakan roti rahim
Kata kerja berapitan meN…-iMenaiki, mendekati, menyertaiGurusamy menaiki bas ke pekan.
Kata kerja berapitan meN…._kanMengemaskan, memasukkanAmir telah mengemukakan cadangan yang baik.
Kata kerja berawalan memper-Memperbuat, memperlebarBuruh-buruh itu sedang memperlebarkan jalan raya di kawasan kampung.
Kata kerja berapitan memper-….-iMemperbaiki, mempelajariSara sedang mempelajari bahasa Jerman.
Kata kerja berapitan memper-….-kanMemperkenalkan, mempertemukanHussain telah memperkenalkan Osman kepada ibu bapanya.

ii) Kata Kerja Tak Transitif

Kata kerja tak transitif ialah kata kerja yang tidak memerlukan penyambut kerana sudah sempurna maknanya dengan tidak memerlukan objek dan boleh berdiri sendiri di dalam ayat.

ImbuhanContoh PerkataanContoh Ayat
Kata kerja berawalan meN-Menyanyi, menangisOmar menyanyi sambil makan.
Kata kerja berawalan beR-Berjalan, bersenamHakimi sedang berjalan di taman.
Kata kerja berawalan teR-Terjatuh, tersenyumAdik terjatuh di halaman rumah tadi.
Kata kerja berapitan ber-….-anBersalaman, berpelukanIbu bapa Idris berpelukan sebaik saja bertemu.

Kata kerja tak transitif boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu

  • Kata kerja tak transitif berpelengkap.
  • Kata kerja tak transitif tanpa pelengkap.

Kata kerja tak transitif berpelengkap ialah kata kerja yang memerlukan kata atau frasa tertentu selepas kata kerja untuk melengkapkan maksud ayat itu.

Contoh ayat: Pengemis itu tidur berselimutkan surat khabar.

Ayat di atas tidak akan lengkap tanpa objek surat khabar selepas kata kerja berselimutkan.

Kata kerja tak transitif tanpa pelengkap pula bermakna kata kerja itu boleh berdiri dengan sendiri dan masih membawa makna ayat yang hendak disampaikan walaupun tiada kata atau frasa selepas ayat itu.

Contoh ayat: Mereka berdua asyik berbual.

Ayat di atas telah lengkap tanpa wujudnya objek selepas kata kerja berbual. Namun kata kerja ini boleh diikuti oleh unsur keterangan untuk maklumat tambahan.

Contoh ayat: Mereka berdua asyik berbual di kedai makan.

Sumber: https://question.pandai.org/note/read/kssm-bm-08-05-06/KSSM-F2-BM-05-01-04.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: