Kata Pemeri: Penggunaan & Contoh Ayat Yang Betul

Untuk makluman, menurut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, kata pemeri ialah unsur yang menjadi perihal kepada predikat atau perangkai antara subjek dengan frasa utama dalam predikat.

Dalam erti kata yang lebih mudah, kata pemeri ialah perkataan yang menghubungkan subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat.

Terdapat dua jenis kata ini di dalam Bahasa Melayu iaitu ialah dan adalah.

Kata Pemeri “Ialah”

Perkataan ialah mestilah diletakkan di hadapan kata nama, frasa nama, atau kata lain seperti kata kerja atau kata adjektif yang dapat berfungsi sebagai frasa nama.

Contoh ayat adalah seperti berikut:

i) Hafiz ialah doktor.

Ayat di atas, perkataan ialah di dalam ayat diikuti dengan kata nama iaitu doktor.

ii) Hobi Ali ialah bermain bola sepak.

Perkataan ialah dalam ayat ini diikuti dengan kata kerja yang mana menerangkan sesuatu perbuatan iaitu bermain bola sepak.

iii) Warna kegemarannya ialah hijau.

Dalam ayat tersebut, perkataan ialah diatas diikuti dengan kata adjektif hijau yang merupakan penerang bagi nama warna hijau.

Kata Pemeri “Adalah”

Perkataan adalah mestilah diletakkan di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama.

Contoh kata pemeri jenis ini boleh dilihat di bawah:

i) Hairi adalah cerdik.

Dalam ayat di atas, perkataan adalah diikuti dengan cerdik iaitu frasa adjektif.

ii) Tarikh tutup peraduan itu adalah pada hari Isnin.

Dalam ayat tersebut, perkataan adalah diikuti dengan frasa sendi nama iaitu pada.

Sumber: https://dewanbahasa.jendeladbp.my/2022/04/11/3186/

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: