Portal GREat KPT: Laman Web Sehenti Graduan Lepasan IPT

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah mewujudkan satu portal sehenti bagi graduan lepasan Institut Pengajian Tinggi (IPT) untuk peluang kerjaya, program, dan tips meningkatkan kebolehpasaran graduan iaitu Portal Graduates Reference Hub for Employment and Training (GREaT).

Kewujudan Portal GREaT adalah berdasarkan situasi kadar kebolehpasaran graduan di Malaysia yang telah menunjukkan trend penurunan sebanyak 1.8 peratus pada tahun 2020. 

Oleh itu, portal ini diwujudkan bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan IPT dan sejajar dengan Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021–2025 yang akan diumumkan oleh pihak KPT.

Graduan di seluruh negara dialu-alukan mendapatkan maklumat mengenai peluang pekerjaan, program yang boleh disertai dan tips kebolehpasaran graduan melalui portal ini.

Perkhidmatan Yang Ditawarkan

Terdapat 5 perkhidmatan yang disediakan dalam Portal GREaT yang boleh diakses oleh para graduan iaitu:

  • Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) Career Advancement Programme atau PENJANA-KPT CAP IPTA dan IPTS.
  • Kajian Pengesanan Graduan
  • Carian Kebolehpasaran Graduan
  • Direktori PhD dan Ijazah Kehormat
  • E-Profiling

PENJANA-KPT CAP IPTA & IPTS

PENJANA-KPT CAP IPTA dan IPTS merupakan program peningkatan kemahiran sama ada Place and Train atau keusahawanan dan gig economy.

Inisiatif kerajaan ini adalah dalam menangani impak pandemic COVID-19 ke atas kebolehpasaran graduan dan graduan berpeluang mendapat penempatan kerajaan setelah tamat program dijalankan.

Kajian Pengesanan Graduan

Kajian Pengesanan Graduan merupakan kajian tahunan yang dilaksanakan oleh KPT bagi mengetahui status pekerjaan dan destinasi graduan setelah mereka tamat pengajian.

Selain itu, kajian ini juga bertujuan untuk mendapatkan pandangan graduan berhubung program pengajian, kemudahan dan perkhidmatan di IPT masing-masing.

Kajian ini dilaksanakan secara dalam talian melalui:

  • Sistem Kajian Pengesanan Graduan 1 (SKPG 1): Untuk universiti awam, IPTS dan lain-lain IPT bukan TVET.
  • Sistem Kajian Pengesanan Graduan TVET (SKPG-TVET): Untuk institusi latihan kemahiran awam.
  • Sistem Kajian Pengesanan Graduan 2.0: Untuk graduan mengemaskini status pekerjaan pada bila-bila masa.

Carian Kebolehpasaran Graduan

Carian Kebolehpasaran Graduan membolehkan orang awam mendapatkan maklumat yang boleh dipercayai mengenai kebolehpasaran graduan baharu di IPT negara serta institusi latihan kemahiran awam.

Kadar kebolehpasaran graduan ini meliputi graduan yang bekerja/melanjutkan pengajian/meningkatkan kemahiran dan menunggu penempatan pekerjaan dalam tempoh 6 bulan selepas tamat pengajian.

Direktori PhD dan Ijazah Kehormat

Direktori ini menyediakan daftar nama yang disediakan bagi kemudahan orang awam menyemak senarai penerima Ijazah Kehormat dan Ijazah Kedoktoran IPT tempatan.

Semua penerima Ijazah Kehormat dan Ijazah Kedoktoran IPT tempatan boleh disemak melalui sistem carian yang disediakan.

E-Profiling

E-Profiling merupakan penilaian minat dan kecenderungan kerjaya kendiri graduan yang boleh dilakukan secara dalam talian.

Maklumat Lanjut

Untuk maklumat lanjut mengenai Portal GREaT, sila layari laman web http://great.mohe.gov.my/.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL: